Saturday, December 4, 2010

Peguam: PDRM tembak mati 88 tahun lalu, paling tinggi dalam sedekad

KUALA LUMPUR, 4 Dis – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menembak mati sekurang-kurangnya 88 orang sepanjang tahun lalu – jumlah paling terbanyak sepanjang satu dekad lalu, perkembangan terbaru mendesak aktivis-aktivis hak asasi manusia menggesa pihak berkuasa itu bertanggungjawab atas setiap tembakan mereka.
Kumpulan Lawyers for Liberty mendedahkan pecahan kes tembak mati dari 2000 hingga 2009 termasuk identiti mangsa, yang diperoleh daripada Timbalan Pengarah CID Bukit Aman yang keberatan, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani.
Pegawai kanan polis itu merupakan saksi dalam kes hasutan melibatkan  peguam P. Uthayakumar minggu lalu di mana beliau mendedahkan data itu merangkumi kaum, kewarganegaraan, nama dan umur mereka.
Jumlah mangsa terbanyak iaitu 88 adalah pada 2009 dan lima pada 2001.
Bilangan mangsa mengalami turun naik antara lima dan 27 kes sebelum 2008.
Daripada 279 suspek yang ditembak sepanjang satu dekad lalu, 81 mangsa tidak dikenali.
Salah seorang suspek yang ditembak mati, rakyat Liberia, diklasifikasikan sebagai “Negro”, David Saah, merupakan pelarian di bawah seliaan UNHCER, agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
Dia merupakan salah seorang daripada 82 ditembak mati pada 2008.
Anggota kumpulan Lawyers for Liberty N. Surendran mendakwa data itu menunjukkan bahawa polis bertindak mengatasi undang-undang negara ini.
“Ini menunjukkan apa yang berlaku dalam pasukan polis adalah tindakan tidak mengikut undang-undang,” kata beliau sambil menyifatkannya sebagai satu ancaman kepada rakyat Malaysia dan ketenteraman awam.
Ahli Parlimen Subang R. Sivarasa (gambar) yang turut menghadiri sidang media itu mendakwa ia sebagai “budaya bebas daripada hukuman.”
“Seolah-olah mereka boleh melakukan apa sahaja yang mereka mahukan dan mereka tidak akan bertanggungjawab... mereka boleh menembak, membunuh dan tidak akan disoal, tidak akan ada siasatan dan mereka boleh meneruskannya,” kata beliau.
Wakil rakyat PKR itu juga mendakwa Menteri Dalam Negeri secara terbuka akan mempertahankan pasukan polis sebelum sebarang siasatan dijalankan.
Sivarasa juga mengaitkan bilangan kes tembak mati dengan keengganan pemimpin-pemimpin persekutuan agar menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).
Majlis Peguam dari semasa ke semasa mendesak agar suruhanjaya itu dibentuk bagi mewujudkan keadaan semak dan imbang.
Lucas Yap, seorang penyelaras Suaram pula mendakwa, kebanyakan kes itu melibatkan anggota polis tidak berpakaian seragam dan tidak melepaskan tembakan amaran sebelum menembak suspek.
Malah menurut Sivarasa, di kebanyakan negara setiap kes tembakan secara automatik akan disiasat oleh jabatan mereka.
Pegawai-pegawai polis terbabit perlu menjelaskan dengan terperinci  dan mengemukakan kertas penjelasan untuk menjustifikasikan tindakan mereka.
“Di Malaysia... inkues hanya mandatori bagi kematian dalam tahanan, bermakna anda kena mati dalam lokap terlebih dahulu,” katanya.
Kes terbaru membabitkan setiausaha politik Exco Kerajaan Negeri Selangor Teoh Beng Hock ketika berada dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tahun lalu.
Baru-baru ini Dewan Rakyat menolak usul tergempar dikemukakan Sivarasa bagi membahaskan insiden polis menembak mati tiga lelaki termasuk remaja di Glenmarie, Shah Alam, 13 November lalu.
Dalam notis usulnya, Sivarasa menekankan bahawa insiden itu mempunyai kepentingan awam memandangkan ia satu lagi kejadian melibatkan orang awam yang ditembak oleh polis.
Berdasarkan Perkara 18(1) Peraturan Mesyuarat, beliau berkata Dewan Rakyat wajar membincangkan kematian Mohd Shamil Hafiz Shapiei, 15, Hairul Nizam Tuah, 20, dan Mohd Hanafi Omar, 22, demi kepentingan awam.
Sivarasa berkata kes terbaru ini berlaku selepas rakyat Malaysia melihat kematian Aminulrasyid Amzah, 15, yang mati ditembak oleh polis di Jalan Mak Yong, Seksyen 11 Shah Alam awal pagi 26 April lalu.
Mahkamah Sesyen Shah Alam sedang mendengar perbicaraan Koperal Jenain Subi yang didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid.
Jenain, 48, didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun, dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

No comments: