Sunday, December 5, 2010

Istana gaya Bali: Khir Toyo hadapi tuduhan rasuah miliki lot tanah, banglo


Khir Toyo
SHAH ALAM, 6 Dis - Bekas menteri besar Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo hari ini dituduh di Mahkamah Sesyen berhubung kesalahan membeli dua lot tanah dan sebuah banglo di Seksyen 7 di sini - yang berkaitan dengan isu 'istana gaya Bali' - untuk kepentingan diri dengan menggunakan kedudukan sebagai ketua kerajaan negeri tiga tahun lalu. Dr Khir, 45, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azhaniz Teh Azman Teh.
Beliau merupakan pemimpin tertinggi kedua daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) dihadapkan di mahkamah sejak Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri dan Presiden Umno.
Bekas presiden MCA dan bekas menteri pengangkuatan Tun Dr Ling Liong Sik dibawa ke mahkamah berhubung isu projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) sebelum ini.
Dr Khir dihadapkan ke mahkamah sehari selepas BN mengadakan konvensyennya.
Beliau didakwa telah mendapatkan untuk dirinya dan isteri Datin Seri Zahrah Kechik, 45, suatu barang berharga dengan suatu balasan yang beliau ketahui tidak mencukupi iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat no. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1 L, Shah Alam, daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarah Ditamas, Shamsuddin Hayroni, dengan harga RM3.5 juta, sedangkan hartanah itu telah dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7  di sini pada 29 Mei 2007.
Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Panjang merangkap Ketua Pembangkang DUN Selangor itu didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dijalankan oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang dibantu Ketua Unit Pendakwa Raya Jabatan Peguam Negara, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah.
Khir diwakili peguam M.Athimulan dan Mohd Afifuddin Hafifi.
Beliau merupakan Menteri Besar Selangor ke-13, dan memegang jawatan itu dari Ogos 2000 hingga Februari 2008.
Tuduhan dikenakan sekitar 11.30 pagi selepas bekas menteri besar itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) di pejabatnya di sini kira-kira pukul 9 pagi tadi.
Dr Khir dituduh di bawah Sekyen 165 Kanun Keseksaan atas kesalahan rasuah.
Di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan, seseorang boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Difahamkan, penahanan Khir Toyo berkaitan dengan dakwaan bahawa beliau menerima rasuah berhubung pembelian tanah untuk 'Istana Khir' atau 'istana gaya Bali' iaitu rumahnya yang ala Bali di Seksyen 7 di sini.
Dr Khir menjadi Menteri Besar Selangor yang ke-13 pada Ogos 2000 ketika berumur 35 tahun dan merupakan penjawat jawatan Menteri Besar yang termuda.

No comments: