Monday, December 20, 2010

Shamsul persoal tujuan rombongan Ali Rustam ke Indonesia

Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd Akin mempersoalkan tujuan sebenar pesawat yang membawa rombongan pelaburan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam dan Pegawai-pegawai Kerajaan Negeri Melaka yang ditahan di Lapangan Terbang Surabaya, Indonesia baru-baru ini.
Ini kerana sebahagian besar rombongan yang dikatakan dalam misi mencari pelaburan ke Timor Leste itu merupakan ahli-ahli keluarga kerajaan negeri Melaka, termasuk salah seorang anak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, sepertimana yang dilaporkan akhbar dalam talian Indonesia, Kompas.com.
“Lebih menghairankan, timbul persoalan mengapakah anak perdana menteri turut serta dalam penerbangan berkenaan, berdasarkan laporan Kompas.com. “Jesteru kita mendesak Ali Rustam supaya dia memberi penjelasan apakah sebenar yang berlaku. Apakah rombongan ini mencari pelaburan atau rombongan pelancongan ala Disney land seperti yang dilakukan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Khir Toyo dahulu,” soal Shamsul.
Shamsul yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Melaka mempersoalkan kos sewa pesawat dan penginapan selama dua hari ahli rombongan terbabit, yang pastinya akan menelan belanja ratusan ribu ringgit.
“Jika sekiranya betul laporan Kompas menyatakan anak Najib dibawa sekali, kita mahu tahu apakah tujuan sebenar Ali Rustam dan apakah kaitan rombongan mencari pelaburan dengan anak perdana menteri.
“Jika ia rombongan pelaburan ke Timor Leste, ia sepatutnya untuk beri pulangan kepada negeri dan tujuan ini tidak sepatutnya disalahgunakan untuk membawa ahli-ahli keluarga pegawai kerajaan negeri Melaka,”tegas Shamsul.
Mengikut akhbar dalam talian Indonesia, Kompas.com pesawat itu ditahan di Bandar udara Internasional Juanda, Surabaya pada 14 Disember pada sekitar jam 12.15 waktu Indonesia barat.
Menurut laporan portal itu lagi, pesawat carter jenis BAE 146-200 itu membawa seramai 81 orang, sebahagian besar merupakan ahli keluarga pegawai-pegawai berpangkat senior kerajaan negeri Melaka.
“Pesawat membawa 81 penumpang dan sebagian besar merupakan keluarga Kesultanan Melaka. Di antaranya adalah salah satu menteri Malaysia dan putra Perdana Menteri Malaysia Najib Razak,”jelas laporan itu.
Walaubagaimanapun, memetik laporan Bernama, pesawat itu dikatakan dalam perjalanan pulang dari Dili Timor Leste dan ditahan pada kira-kira pukul 2 petang waktu Indonesia sebelum dibenarkan berlepas semula mengguna pesawat MAS ke Melaka pada pukul 11 malam hari yang sama.
Media-media Malaysia juga tidak menyebut bahawa anak perdana menteri turut ditahan dalam pesawat berkenaan, yang menguatkan spekulasi bahawa pesawat khas itu membawa  rombongan ‘pelaburan dalam percutian’.
Sebelum ini, Bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohd Khir Toyo bersama keluarganya dan beberapa orang bekas exco kanan negeri itu membelanjakan hampir RM 1.8 Juta untuk melakukan 2 trip lawatan ke luar negara, termasuk perjalanan ke Paris Disneyland dan Orlando Disneyland.
Perkara itu didedahkan dalam siasatan yang dijalankan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) Selangor pada April 2009.

No comments: