Saturday, December 4, 2010

Apa rasionalnya PAS ganti Umno? Ini rakyat kena tahu...

Oleh Ustaz Idris Ahmad
PAS dan Umno merupakan parti yang menjadi persaingan dalam politik Malaysia. Umno ditubuhkan pada 11 Mei 1946, manakala PAS ditubuhkan pada 24 hb Nov 1951. 

Sasaran kedua-parti ini adalah orang Melayu yang beragama Islam. Masing-masing cuba untuk meraih sokongan. PAS sebagai sebuah parti yang menjadikan Islam sebagai dasar, sedangkan Amno berjuang atas perjuangan bangsa. 


Walaupun amalannya lebih kepada kebendaan dan tidak menjadikan Islam sebagai rujukan dalam tindakan. Maka sudah sampai masanya PAS menggantikan Umno, ertinya orang Melayu perlu menyertai PAS sebagai wadah penyelamat di negara ini. 

Ini memandangkan Umno semakin kehilangan arah. Umno telah menjadikan ahlinya semakin kehilangan fokus, tidak lebih daripada mengejar status dan kemewahan. Agenda perjuangan sudah tidak ada, kalau pun mereka bercakap soal memperjuangkan bangsa, tetapi tetap menyalah bangsa lain. Sedangkan apa yang mereka buat hampir setengah abad kepada bangsa sendiri ketika mereka diberi kuasa mereka buat tidak faham. 

Inilah yang menjadi tanda tanya di kalangan anak-anak muda, walaupun bapa mereka penyokong tegar Umno namun generasi yang terdedah dengan maklumat dan hidup dalam dunia yang berbeza dengan zaman bapa mereka. Orang melayu perlu mencari bahtera penyelamat, maka parti yang mempunyai landasan yang jelas, terbukti dan teruji ialah PAS.

Rasional kenapa Umno perlu diganti dengan PAS

Sejak awal lagi penubuhan Umno ialah untuk melawan MalayanUnion sahaja. Bukan untuk mempertahankan Islam. Islam hanya alat,  bukan sebagai satu asas dalam perjuangan. Kalau Islam sudah menjadi asas perjuangan, tentu mereka akan merujuk kepada Islam dalam semua hal, tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. 

Kalau soal tudung yang menjadi nas yang qat'ei dalam al-Quran, pemimpin wanita, puteri dan isteri pemimpin tidak ambil kisah. Maka apa yang hendak diharap untuk mereka bercakap perkara yang lebih besar mengenai Islam. 

Apabila Islam tidak mendasari dalam perjuangan maka modal pembangunan akan lapuk, kerana minda rakyat semakin berubah dan maju terutama generasi muda, mereka tahu apa tanggungjawab sebuah kerajaan yang memerintah. Siapa yang memerintah semuanya akan membuat pembangunan. Hujah pembangunan hanya sesuai di zaman 60an sahaja dan kawasan majoriti orang jahil. Sedangkan Islam relevan sepanjang masa sehingga hari qiamat.

Dasar Umno yang pragmatis (ikut suasana)

Kita pun tidak tahu apa dasar Umno yang dipakai sekarang, Islamkah, Melayukah, mempertahan tanah airkah. Cuma seperti yang disebut oleh seorang pemimpin umno, perjuangan Umno hanya untuk perut sahaja dalam satu forum. Maka sekarang  mereka bergaduh bukan kerana bangsa tidak terbela, agama dihina. Tetapi kerana perut sekarang sudah keroncong. Tiga negeri sudah jatuh ketangan Pakatan rakyat.

Maka banyaklah peluang terlepas, terutama negeri Selangor, Kedah dan Pulau Pinang. Tidak hairanlah kepada kita bekas  Menteri Besar Selangor sudah naik minyak dan berani lawan arus. Kerana lubuk emas sudah terlepas ke tangan orang lain. Contohnya Dato' Seri Khir Toyo marah kenapa terlalu banyak tol, dan harga barang terlalu mahal, suaranya semacam suara kita sahaja.

Islam hanya kuda tunggangan Umno

Ia bukan menjadikan Islam sebagai pedoman. Peralatkan Islam untuk kepentingan politik. Oleh kerana pengundi Manik Urai adalah orang yang kuat berpegang dengan agama maka tajuk Islam yang menjadi fokus dalam kempen. 

Sehingga Tan Sri Muhyiddin mengatakan undi BN juga masuk syurga. Kita boleh melihat pemimpin Umno turun naik ke masjid dan surau. Wanita Umno dan puteri Umno turut bertudung dan berbaju kurung. Di Manik Urai dan Galas mereka tidak pakai seluar ketat baju sendat fasal kawasan ini kuat agama. Berbeza di Permatang Pauh, Bukit Selambau dan Bukit Gantang kerana kawasan itu kurang sikit penghayatan agamanya. Inilah wajah Umno boleh bertukar corak, kerana mereka menjadikan Islam sebagai tunggangan.

Program Islam sebagai alat politik

Memperkenalkan slogan Islam seperti Islam hadhari yang merupakan program penerapan nilai-nilai Islam, yang dipakej semula dengan botol baru. 

Waktu diistiharkan penerapan nilai-nilai Islam berlakunya zaman kebangkitan Islam abad ke-15. Kebangkitan rakyat Afghanistan menyerang Russia yang menceroboh negara mereka. Mereka bangun dengan senjata iman dan kelengkapan yang serba dhaif. Waktu itu juga Revolusi Islam Iran yang berjaya menggulingkan regim Shah Iran di bawah kepimpinan seorang ulamak Al-Marhum Ayatullah Khomeini. 

Bahang kebangkitan ini juga menjalar di kalangan rakyat Malaysia, suara untuk menyeru pihak pemerintah supaya kembali kepada Islam yang syumul kedengaran segenap rantau. Terutama di kalangan generasi muda yang berada di kampus dalam atau di luar negeri.

Waktu itu, Dr Mahathir atas nasihat pakar-pakar strategi telah melancarkan penerapan nilai-nilai Islam bagi membendung kebangkitan Islam. Beliau sedar arus ini tidak boleh dilawan kalau tidak ia akan hanyut di bawa arus.  Maka beberapa program atas nama penerapan nilai Islam ditubuhkan antaranya mendirikan Universiti Islam Antara Bangsa, Takaful, Bank Islam, Kursus Bina Insan. 

Pada peringkat awal memang nampak hebat dengan adanya Slogan  Bersih Cekap Amanah, Kepimpinan Melalui Teladan, mempercepatkan jam selama  30 minit untuk melihat dan mengejar kemajuan. Sebenarnya projek seperti ini diadakan ialah hendak  melambatkan kebangkitan Islam sahaja dan perkara ini bukan menjadi matlamat asas mereka untuk melaksanakan Islam secara menyeluruh. 

Ini hanya program politik untuk mengekalkan kuasa dan memperalatkan agama untuk memancing sokongan rakyat. Kenyataan Dr. Mahathir dalam bukunya "The Malay Dilema" dalam halam 15,  membuktikan dakwaan ini "Kerajaan masih lagi melaksanakan projek-projek seperti mendirikan masjid dan balai raya. 

Pelaksanaan projek ini dijalankan bukan kerana segala kemudahan tesebut difikirkan perlu, tetapi kerana anggapannya yang salah kononnya langkah-langkah ini  dapat memancing undi di di dalam pilihanraya yang akan datang".   

Peralatkan Melayu untuk kepentingan peribadi

Kononnya atas  nama Melayu untuk bela Melayu, walaupun pada hakikatnya, hanya batu loncatan sahaja. Menggunakan Perkara 153 dalam perlembagaan untuk mengaut keuntungan peribadi dan keluarga, akhirnya Melayu terus merempat di bumi sendiri. 

Di mana tempat Umno kuat disitu melayu merempat. Contohnya apa yang berlaku di Kampung Plentong Tengah Johor Baharu hampir 290 buah rumah yang ditolak dan dihalau, walaupun mereka sudah tinggal di situ hampir 30 tahun. 

Yang menjadi pendinding dan perunding  ialah pemimpin Pas, PKR dan DAP. Seramai 28 orang ditangkap kerana mempertahankan rumah mereka daripada diroboh pada 16 Disember 2009. Pemimpin Umno hanya datang lima tahun sekali untuk hendak menagih undi. Mereka membiarkan melayu susah, maka senang untuk mendapat keistimewaan  untuk membantu Melayu. Sebab itu berbagai-bagai dasar yang dibuat gagal untuk membela melayu. Seolah-olah ia dirancang supaya mereka senang untuk memfaridkan harta negara dengan membiarkan orang melayu susah.

Sikap individualistik 

Sikap yang hanya pentingkan diri dan kaum keluarga bukan untuk bangsa dan agama. Akhirnya rakyat sudah naik mual dengan gelagat pemimpin Umno. Parti hanya menjadi sebagai batu loncatan untuk memperkaya anak menantu, sedangkan rakyat di bawah kais pagi makan pagi. Matlamat masuk Umno ialah untuk mengumpul kekayaan sebanyak mungkin. Sikap metrealistik yang sudah berakar umbi dalam Umno sukar untuk diubah. Memegang jawatan sebagai tiket untuk kaut keuntungan. 

Melahirkan pemimpin yang tidak berakhlak, penuh dengan skandal.

Seperti yang berlaku kepada bekas ahli parlimen Gombak, bekas ahli Ampang Jaya dan Ketua Wanita Umno Kelang.  Kebetulan mereka ini tidak bernasib baik kerana media dapat tahu. Banyak lagi kelakuan yang tidak senonoh yang dilakukan oleh pemimpin mereka. Malahan apabila kita bercakap dengan ahli Umno mengenai gejala yang tidak bermaruah, maka mereka mengatakan ini  adalah lumrah.

Umno tidak membela agama. 

Kita boleh melihat apa yang Umno sudah lakukan untuk membela agama. Orang murtad Umno diam membisu. Nampaknya Umno sanggup berdiam dalam isu murtad.  Selama 62 tahun kewujudan Umno kita tidak dengar Umno bertindak sesuatu untuk mengadakan undang-undang murtad. Isu pengabaian terhadap agama mengenai murtad adalah satu contoh sahaja. Banyak lagi isu mereka yang mengguris perasaan orang Melayu Islam.

Orang Agama (ulama) Umno hanya subang tembaga. 

Peranan golongan agama hanya untuk menjadi peluru melawan Pas sahaja dan tidak lebih daripada itu. Peranan mereka hanya untuk tukang baca doa, tahlil dan marhaban. 

Mereka bukan dijadikan rujukan untuk mengemudi negara. Sebaliknya sijahil yang menjadi kepala, manakala si alim menjadi pengikut. Apabila ini terjadi banyak dasar yang bertentangan dengan Islam telah berlaku.
Ketika Datin Rosmah Mansur menjadi penaung kepada Festival Fesyen Islam (FFI) di Monte Carlo Monarco pada 9 Ogos 2010. 

Orang agama di dalam Umno membisu, seolah-olah mulut penuh dengan sagon, tidak berani tegur. Mana suara ustaz umno apabila  kerajaan BN di bawah pimpinan Dato' Seri Najib Razak yang mahu menjadikan Malaysia sebuah hub pusat hiburan malam bagi memacu industri pelancongan mengikut Program Transformasi Ekonomi (ETP). Banyak lagi bukti orang agama di dalam Umno hanya menjadi tukang baca doa dan marhaban sahaja tidak lebih daripada itu. 

PAS mencabar umno berikan bukti, peranan orang agama di dalam umno berkesan untuk mempertahankan Islam dan menentang kemungkaran. Orang agama di dalam umno hanyalah membesarkan tembolok sahaja. Mereka hanya mencari hujah untuk melawan dengan PAS. 

Hujah mereka mengenai orang bukan Islam tidak boleh masuk masjid, ditolak dengan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan sendiri yang mengharuskan orang bukan Islam masuk ke dalam masjid. Hujah berkenaan dengan sumber judi telah makan diri sendiri. Rakyat mula berkata, Umno haram duit judi, tetapi halalkan judi. Pendapatan judi 2009  2.3 bilion. 

Rakyat Malaysia berbelanja arak RM1.7 bilion setahun, nombor 10 tertinggi di dunia.  Ke manakah pergi orang-orang agama di dalam Umno yang berkelulusan tinggi, antaranya ialah Dr Hamid Osman, Dr Abdullah Mohd Zin, Dr Yusuf Nor, Ustaz Zainal Abidin Abd Kadir, Dato' Dasuki Haji Ahmad, Ustaz Fadhil Hanafi, Dr Amran Kasimin. 

Persoalannya di manakah suara mereka sekarang? Perkasakan Islam di dalam Umno? Kenapakah isteri Presiden Umno tidak bertudung mereka membisu,  tenangkah jiwa orang agama di dalam Umno yang bergelumang dengan parti yang menyuburkan maksiat? Ilmu yang mereka belajar bertentangan dengan parti yang  mereka sertai. 

Dasar Umno putera bukan Bumiputera.

Diskriminasi sesama bangsa hanya kerana berlainan ideologi, akhirnya telah menempatkan bangsa merempat di bumi sendiri. Kita tidak pernah dengar bagaimana pemimpin kaum lain yang menindas kaum sesama bangsa kerana berlainan ideologi. Tetapi ini berlaku dalam Umno akhirnya peratus kemiskinan di kalangan bumiputera meningkat. Seperti yang dinyatakan oleh bekas Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Dan Wilayah, Dato’ Zainal Osman - Cina 0.6%, India 2.9%, Melayu 8.3%. 

Diskriminasi terhadap kerajaan yang sebangsa dan seagama di Kelantan sebagai satu contoh yang ketara. Wang royalti dicabul, sebanyak 118 projek kerajaan Pusat dibekukan sejak RMK 6 1991. Apakah layak Umno hendak mendakwa mereka sebagai tulang belakang orang Melayu? Apakah slogan kuat Umno perkasa Melayu menjadi realiti?
 
Berikut sedutan bahagian pertama kertas kerja Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad bertajuk "PAS Ganti Umno: Rasional & Tindakan" yang telah dibentangkan dalam "Seminar PAS Sedia Ganti Umno" pada 13 Nov 2010, di Auditorium MBSA yang dirasmikan oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

No comments: