Saturday, December 4, 2010

Di Sekolah Undang-undang Mana Peguam Ini Belajar Undang-undang?

Lihat bagaimana UMCO berjaya merosakkan pemikiran dan wibawa seorang peguam. Ketaksuban kepada kelangsungan sesebuah parti politik  berjaya membuatkan seorang peguam meminggirkan prinsip asas undang-undang, iaitu seseorang itu berhak diadili di mahkamah jika dituduh atau disabitkan dengan sebarang kesalahan atau pelanggaran undang-undang.

Di mana Penasihat Undang-undang UMNO, Datuk Mohd Hafarizam Harun menuntut ilmu undang-undang?  Beliau menyarankan undang-undang rimba ISA diguna pakai terhadap Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkaitan dengan ucapannya  mengenai "Ketuanan Melayu" semasa Kongres Nasional PKR Sabtu lalu.

Kita perlu bertanya kepada peguam ini: Adakah termaktub frasa "Ketuanan Melayu" dalam Perlembagaan negara? Setahu saya, Perlembagaan hanya menjaga dan memerihalkan hak dan keistimewaan Bumiputera seperti yang termaktub dalam Artikel 153.

Semasa Kongres PKR lalu, puan presiden hanya menyatakan bahawa: "Ketuanan Melayu adalah slogan yang digunakan oleh sekumpulan kecil elit Melayu yang berkuasa untuk memperdaya orang Melayu yang ramai, demi kepentingan diri sendiri. Mereka adalah manusia yang melakukan rasuah, korup, pecah amanah dan pelbagai kebejatan lagi."


Presiden PKR itu tidak pun menyentuh hak orang Melayu, beliau langsung tidak menyentuh Raja Melayu atau institusi raja-raja, beliau tidak pun menjentik hak keistimewaan orang Melayu. Malah parti itu bersama-sama dengan sekutunya berikrar mahu mempertahankan Perlembagaan negara

Atas dasar apa peguam UMCO ini  mencadangkan agar undang-undang rimba diguna pakai terhadap Presiden PKR itu? Tiada sesiapa pun mempersoalkan kedudukan dan keistimewaan Melayu. Orang hanya mempersoal sesetengah Melayu elit yang mempergunakan slogan itu untuk memperkayakan diri, keluarga dan kroni mereka.

Saya petik:
[Bernama] KUALA LUMPUR: Penasihat Undang-undang UMNO, Datuk Mohd Hafarizam Harun, menyarankan agar Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) diguna pakai dalam isu berhubung kenyataan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, mengenai "Ketuanan Melayu" semasa Kongres Nasional PKR Sabtu lalu.

Beliau berkata, kenyataan itu sekali lagi mencabar kedudukan dan hak istimewa orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan apa yang dikatakan oleh Dr Wan Azizah bahawa ketuanan Melayu harus "dibakulsampahkan" adalah satu bentuk cabaran secara khusus kepada peruntukan undang-undang iaitu Perlembagaan Persekutuan dan ia bukanlah satu hak kebebasan untuk bersuara.
Katanya, oleh kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sudah menyatakan bahawa jangan dipersoalkan hak keistimewaan Melayu dan ia disambut pemimpin daripada badan politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan juga pakar perundangan, beliau menyarankan supaya ISA diguna pakai dalam menangani isu itu.

"ISA perlu dilakukan terhadap pemain utama dalam PKR, DAP ataupun PAS yang masih lagi terus mempersoalkan kedudukan dan hak istimewa orang Melayu kerana terbukti mereka cuba mewujudkan kebencian terhadap orang Melayu disebabkan hak-hak istimewa ini," katanya dalam wawancara dengan UMNO-online.com.

Beliau berkata, apabila kenyataan ketuanan Melayu, hak keistimewaan orang Melayu, kedudukan Raja-raja Melayu dan apa juga yang berkaitan dengan Artikel 153 dan lain-lain perkara dikatakan dengan begitu terbuka, apatah lagi dalam satu kongres yang turut dihadiri bukan Melayu, ia bukan lagi berbentuk cabaran tetapi lebih kepada memperlekehkan kedudukan, status hak orang Melayu dan Majlis Raja-raja Melayu.

"Artikel 153 adalah sesuatu yang terpahat kemas dan tersimpul mati atau dalam bahasa undang-undangnya berbentuk 'entrenched' yang mana ia adalah satu perkara yang bukan hanya tidak boleh dipinda tetapi juga adalah terlarang untuk diperkatakan," katanya.

Mohd Hafarizam berkata, beliau menyokong penuh cadangan agar tindakan undang-undang diambil terhadap Dr Wan Azizah berikutan kenyataan itu.

"Bagi saya, kini sudah sampai masanya untuk pihak berkuasa mengambil tindakan dan orang Melayu bangkit mempertahankan hak mereka sama ada orang perseorangan, badan bukan kerajaan atau orang Melayu dari mana-mana parti politik pun," katanya....

P/s: Patutlah negara kehilangan Pulau Batu Putih, telaga minyak dan sebagainya. Rupa-rupanya, peguam yang rapat dengan kerajaan hanya pandai memanipulasi undang-undang untuk kepentingan UMCO sahaja!

No comments: