Tuesday, December 14, 2010

Ketuanan Derhaka : Tangani isu persoal ketuanan Melayu....

Norazlita Mohd Sies

15 DIS — Delusi kebesaran (delusion of grandeur) yang bersandarkan kepada prinsip-prinsip teori psikoanalisis Sigmund Freud menyatakan individu yang tergolong dalam kategori ini sering merasakan memiliki kehebatan dan kelebihan dalam pelbagai perkara berbanding individu lain.
Individu yang menghidap kecelaruan mental ini tidak menyedari implikasi setiap tindakan yang dilakukan sama ada kepada diri sendiri mahupun pihak lain kerana merasakan pendapat mereka betul atau tidak menyalahi peraturan yang telah disepakati secara kolektif.
Natijahnya individu terbabit merasakan tiada suatu sistem yang mampu menghalang tindak-tanduk mereka sedangkan ada peruntukan undang-undang yang membatasinya.
Bukannya tidak menyedari hakikat tersebut tetapi kerana mahu dijulang sebagai srikandi, ada yang sengaja memperdebatkan isu sensitif sehingga mencetuskan kemarahan dan rasa tidak puas hati, seolah-olah sengaja mencabar pihak berkuasa.
Walhal tindakan mempersoalkan kedaulatan Raja-Raja Melayu, kedudukan bahasa kebangsaan, keistimewaan orang Melayu serta pribumi Sabah dan Sarawak menurut peguam bela dan peguam cara terkenal, Datuk Salehuddin Saidin boleh terjumlah kepada perbuatan menghasut.
Peruntukan yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan seperti Perkara 153, 152, 181 dan beberapa peruntukan lain jelas beliau, telah termaktub serta terpahat dengan rapi dan tiada sesiapa boleh mempersoalkan ataupun menyentuh isu-isu berkaitan perkara tersebut.
Malah Perkara 159(5) Perlembagaan juga memperuntukkan sekiranya Parlimen ingin meminda peruntukan sedia ada mengenai keistimewaan orang Melayu dan kedaulatan Raja-Raja Melayu, ia perlu mendapat persetujuan daripada Majlis Raja-Raja.
Menurut beliau, demi memastikan kelangsungan keharmonian sesama bangsa dan bagi mengelakkan ada pihak-pihak yang mempersoalkan hak istimewa ini, Perlembagaan telah memperuntukkan Perkara 10 (fasal 4) mengenai penggubalan akta yang mengawal golongan-golongan tertentu daripada mencetuskan huru-hara di dalam negara.
Ini bermakna Parlimen boleh menggubal undang-undang bagi mengawal dan mengambil tindakan terhadap mereka yang mempersoalkan peruntukan mengenai keistimewaan ini antaranya Perkara 152, 153 dan 181 sebagai contoh Akta Hasutan 1948.
Di samping itu, katanya, Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) juga boleh digunakan sebagai undang-undang preventif bagi mencegah dan mengawal kejadian yang boleh mengancam keselamatan negara.
Keistimewaan yang terjamin di bawah Perlembagaan itu bukan sahaja tidak boleh dipersoalkan oleh rakyat malahan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) juga tidak boleh sewenang-wenangnya membangkitkan isu-isu sensitif ini seperti yang diperuntukan Artikel 63 (fasal 4) dan (5).
Di bawah peruntukan tersebut, Ahli Parlimen tidak kebal dalam menghadapi tindakan mahkamah sekiranya mereka membangkitkan isu-isu menyentuh kedaulatan Raja-Raja Melayu, keistimewaan orang Melayu dan pribumi Sabah serta Sarawak.
Secara umumnya, menurut Salehuddin, sekiranya keistimewaan diberikan kepada satu golongan tertentu pasti ada pihak yang tidak berpuas hati dengan keadaan ini. Ini sudah menjadi lumrah manusia.
Namun menurut beliau, kita semua perlu merenung kepada sejarah kewujudan peruntukan mengenai keistimewaan ini dan rasional di sebalik peruntukan sedemikian.
Dalam pada itu, bekas Ketua Unit Kes Terkelas dari Jabatan Peguam Negara itu berkata, keberkesanan suatu undang-undang bergantung kepada pemahaman individu dan juga pihak berkuasa terhadap peruntukan itu sendiri bagi membolehkan penguatkuasaan dapat dijalankan secara efektif.
Jika diimbas kembali pada tahun 1980-an, Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah menggunakan ISA secara efektif dalam operasi yang digelar “Operasi Lalang” bagi memadamkan api kemarahan perkauman pada ketika itu.
Mereka yang mencetuskan isu-isu sensitif ini telah ditahan di bawah ISA lantas terpadamlah segala api perkauman yang pada satu ketika amat meluap-luap.
Sehubungan itu Salehuddin berpendapat, peruntukan undang-undang yang ada perlu digunakan secara efektif sebagai benteng penghalang dan bukan sekadar menunggu sesuatu kejadian berlaku terlebih dahulu baru hendak bertindak.
“Oleh itu, saya berpendapat ISA amat diperlukan dalam konteks negara ini yang begitu kompleks dan unik kerana mempunyai rakyat yang berbilang kaum. ISA boleh digunakan untuk menghalang sesuatu kejadian yang boleh mengancam keselamatan negara dan perpaduan rakyat. Saya amat tidak bersetuju sekiranya ada cadangan untuk menghapuskan ISA.
“Bagaimanapun, saya merasakan beberapa peruntukan di bawah ISA perlu dikemaskinikan bagi memastikan akta ini tetap relevan terutamanya di era sekarang ini,” ujar Salehuddin.
Sejak kebelakangan ini, terdapat segelintir pihak tidak kira individu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahupun ahli parti politik yang begitu lancang mempersoalkan isu sensitif namun tiada sebarang tindakan diambil.
Salehuddin melihat ia sebagai kegagalan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan proaktif bagi membendung pihak-pihak yang cuba membakar api kemarahan antara kaum.
“Undang-undang sudah ada namun ia tidak digunakan mungkin kerana kurangnya kefahaman mengenainya. Kita sebenarnya tidak perlu menunggu sehingga tercetusnya sesuatu pergolakan dan rusuhan sebelum mengambil tindakan.
“Jika tindakan segera tidak diambil oleh pihak berkuasa, saya bimbang keharmonian antara penduduk berbilang bangsa di negara ini akan terjejas.
“Akta Hasutan menjelaskan seseorang melakukan perbuatan yang ada kecenderungan menghasut dengan mempersoalkan kedudukan istimewa orang Melayu di bawah Perkara 153, kecenderungan mempersoalkan kedaulatan Raja-Raja Melayu dan kecenderungan mempersoalkan bahasa kebangsaan maka tindakan di bawah Seksyen 4 akta tersebut boleh diambil terhadap mereka,” katanya.
Menurut seksyen itu: Sesiapa yang melakukan atau cuba untuk melakukan ataupun membuat sebarang persediaan untuk melakukan, atau bermuafakat dengan mana-mana orang untuk melakukan, apa-apa perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut. Atau, jika dilakukan, tetap mempunyai kecenderungan menghasut sama ada menyebut apa-apa perkataan menghasut, mencetak, menerbitkan, menjual, menawarkan untuk dijual, mengedar atau mengeluar ulang apa-apa penerbitan menghasut.
Hukuman yang diperuntukkan jika sabit kesalahan kali pertama, dikenakan denda tidak lebih daripada RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. Manakala bagi kesalahan berikutnya, boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun.
Katanya sebaik-baik sahaja seorang individu membuat pernyataan berbaur hasutan dan kenyataan itu disiarkan dalam surat khabar atau blog maka tindakan boleh diambil kerana undang-undang membenarkannya.
Sesiapa sahaja yang mendengar pernyataan tersebut boleh membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dilakukan dan tidak perlu menunggu sama ada mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) atau tidak.
“Apabila ini berlaku dan ada pihak yang membuat laporan maka pihak polis yang dipertanggungjawabkan untuk menyiasat laporan tentang isu sensitif ini perlu segera menyiasat dan seterusnya mengemukakannya ke Jabatan Peguam Negara untuk membuat keputusan mengenai pendakwaan.
“Sehingga ke hari ini kita lihat amat kurang pendakwaan dibuat terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab ini sedangkan telah banyak laporan polis dibuat. Siapa yang harus dipersalahkan di atas kegagalan mengambil tindakan undang-undang, saya kurang pasti.
“Sebagai contoh baru-baru ini, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail telah mengeluarkan kenyataan bahawa ketuanan Melayu perlu dihapuskan. Kenyataan ini pada pandangan saya berbaur hasutan yang boleh mencetuskan perasaan tidak senang rakyat terutama orang Melayu mengenai keistimewaan dan kedaulatan Raja yang ingin cuba dihapuskan.
“Saya tidak faham maksud sebenar beliau mahu menghapuskan ketuanan Melayu. Namun jika penghapusan keistimewaan Melayu dan kedaulatan Raja-Raja Melayu yang dimaksudkan di dalam kenyataannya itu, ia boleh tergolong dalam kecenderungan menghasut seperti dijelaskan dalam Akta Hasutan. Ia juga jelas bertentangan dengan prinsip kedua Rukun Negara yang menyatakan mengenai kesetiaan kepada Raja dan Negara,” ujar beliau. — Utusan Malaysia

No comments: