Monday, December 13, 2010

Khir Toyo Digantung Umno


SHAH ALAM 13 DIS: Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo digantung dari semua jawatan parti yang dipegangnya selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tuduhan rasuah minggu lalu.

Menurut laporan Sinar Harian, Setiausaha Agung Umno, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor mengesahkan tindakan tersebut sepertimana yang ditetapkan oleh perlembagaan parti. Beliau juga berkata tindakan tersebut tidak ada hubungannya dengan pertimbangan kepentingan politik Barisan Nasional(BN).

"Sesiapa sahaja yang didakwa atau menunggu kes mahkamah, akan digantung jawatannya dalam parti, seperti yang dilakukan sebelumnya," katanya.

Menurut Tengku Adnan tindakan serupa telah diambil terhadap ahli Umno yang lain pada 2009, dan walaupun mereka kemudian didapati tidak bersalah, kedudukan mereka tidak dikembalikan.

Khir yang juga ADUN Sungai Panjang, menerima surat dari ibupejabat Umno berhubung penggantungannya itu pada 8 Disember - dua hari selepas dia dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan rasuah berhubung penjualan tanah yang menjadi tapak rumah mewahnya.

Kini, tugas Khir diambil alih oleh timbalannya Datuk Ramli Norani.

Ramli, 63, sebelum ini merupakan bendahari Umno bahagian Sungai Besar.

Khir Toyo, 45, didakwa berhubung pemilikan dua lot tanah dan sebuah rumah mewah di Seksyen 7, Shah Alam.

Beliau mengaku tidak bersalah ketika tuduhan itu dibaca di hadapan Hakim Azhaniz Teh Azman Teh.

Beliau didakwa telah mendapatkan untuk dirinya dan isteri Datin Seri Zahrah Kechik, 45, suatu barang berharga dengan suatu balasan yang beliau ketahui tidak mencukupi iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat no 8 & 10, Jalan Suasa 7/1 L, Shah Alam, daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarah Ditamas, Shamsuddin Hayroni, dengan harga RM3.5 juta, sedangkan hartanah itu telah dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Khir Toyo didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi menteri besar Selangor, di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, Shah Alam, pada 29 Mei 2007.

ADUN Sungai Panjang merangkap Ketua Pembangkang DUN Selangor itu didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Shamsuddin didakwa di bawah akta yang sama serta satu tuduhan tambahan di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana bersubahat dengan Khir Toyo.

Pendakwaan dijalankan oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang dibantu Ketua Unit Pendakwa Raya Jabatan Peguam Negara, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah.

Azhanis menetapkan ikatjamin sebanyak RM750,000 tiap seorang.

Khir Toyo diwakili peguam M Athimulan dan Mohd Afifuddin Hafifi. Beliau menjadi menteri besar Selangor ke-13 dari Ogos 2000 hingga Feb 2008.

No comments: