Subsidi untuk rakyat dipotong, Subsidi untung IPP dikekalkan
Baru-baru ini, Petronas merungut kerana terpaksa menanggung beban subsidi gas sejumlah RM116 bilion, malah menyatakan harapannya agar kerajaan menunaikan janji untuk memansuhkan subsidi secara beransur-ansur. Di samping itu, sementara Perdana Menteri Najib Razak mengumumkan potongan subsidi minyak, gas dan gula, subsidi kepada korporat dikekalkan sebaliknya, memberi manfaat yang terbesar kepada penjana kuasa bebas (IPP).

Menurut Persatuan IPP, dalam model operasi IPP yang sedia ada, harga gas ditetapkan oleh kerajaan, dan gas ini dibekalkan kepada IPP. Dalam hal ini, IPP yang menandatangani kontrak dengan TNB (Tenaga Nasional Berhad), hanya berperanan sebagai pembekal eletrik, dan tidak terlibat dalam hal ehwal pengguna.
PPA yang berat sebelah
Bagaimanapun, kenyataan Persatuan IPP ini hanya benar secara luarannya. Sememangnya IPP tidak memperolehi manfaat kewangan secara langsung daripada subsidi gas ini, tetapi IPP telah mengaut keuntungan yang besar secara tidak langsung daripada subsidi gas ini. Pada hakikatnya, Perjanjian Pembelian Tenaga (Power Purchase Agreement, PPA) antara kerajaan, TNB dengan IPP menjadi punca kepada mekanisme subsidi ini.

Sektor elektrik merupakan pengguna terbesar dalam pasaran gas semulajadi. Menurut laporan kewangan Petronas pada tahun 2009, 59.7% gas semulajadi disalurkan kepada sektor elektrik, dan kira-kira dua pertiga daripadanya pula dibekalkan kepada IPP. Jikalau dilihat mengikut nisbah, IPP merupakan unit penerima subsidi gas yang terbesar dalam sektor elektrik.

Petronas kini membekalkan gas semula jadi kepada sektor elektrik pada harga RM6.40 per mmBtu (Million Metric British Thermal Units), selepas subsidi. Menurut harga antarabangsa pada pertengahan Julai, harga pasaran gas semulajadi adalah USD 4.39 atau RM14/mmBtu. Dengan kata lain, IPP membeli gas semula jadi dengan harga RM7.60 (55%) lebih rendah daripada harga pasaran, selepas subsidi yang sudah tentu tidak kecil angkanya.
Subsidi menguntungkan IPP
Seandainya mengikut kenyataan Persatuan IPP, manfaat daripada subsidi akan dialihkan kepada pengguna melalui Pass-through mechanism. Pada hakikatnya, keadaan tidak berlaku sebagaimana yang diperkatakan. Setelah membeli gas semulajadi dengan harga yang lebih rendah dari pasaran, IPP tidak membekalkan elektrik kepada TNB dengan harga rendah, sebagaimana yang dijangkakan. Sebaliknya, IPP menjual elektrik dengan harga yang lebih tinggi kepada TNB, lantas mengaut keuntungan berganda daripadanya.

Lebih-lebih lagi, syarat-syarat yang berat sebelah dalam PPA telah mencungkil pertikaian. Jeff Rector, seorang pengkaji dari Universiti Stanford di bawah The Program on Energy and Sustainable Development, pernah mengemukakan satu laporan berjudul The IPP Investment Experience in Malaysia pada tahun 2005. Menurut laporan tersebut, syarat take or pay yang digariskan dalam PPA menyatakan bahawa TNB bertanggungjawab untuk membiayai kuasa elektrik IPP, sama ada bekalan tersebut diperlukan atau tidak.

Harga ini ditetapkan dengan mengambil purata anggaran inflasi untuk tempoh 21 tahun. Maka dengan ini, untuk beberapa tahun pada peringkat awal secara khususnya, IPP akan mengaut keuntungan yang besar, dan keuntungan akan berkurang apabila sampai ke peringkat akhir tempoh 21 tahun ini. Malah, IPP berpeluang untuk menjelaskan kos permulaannya (modal) pada peringkat awal tempoh 21 tahun ini, dan terus menikmati keuntungan setahun demi setahun kemudiannya.
Selain itu, Jeff Rector mendedahkan bahawa lima buah IPP fasa pertama dijamin dengan pulangan 20%, dalam perjanjian konsesi ini. Tetapi, IPP ini memperolehi pulangan yang lebih tinggi pada akhirnya.
IPP menjadi beban TNB
Manfaat sebagaimana yang disebut di atas tidak dikecapi oleh IPP fasa kedua, apabila PPA menyatakan bahawa risiko kos kenaikan harga bahan bakar ditanggung bersama oleh TNB dan IPP. Namun demikian, syarat take or pay tetap dikekalkan, iaitu TNB wajib membeli kuasa elektrik daripada IPP, sama ada perlu atau tidak. Syarat inilah yang menjurus kepada masalah 40% lebihan kapasiti elektrik (unutilized capacity), yang dihadapi oleh TNB.

Izzaddin Idris berkata, TNB akan memperuntukkan RM5 bilion untuk hasilan kuasa elektrik pada tahun kewangan 2009, dan kos ini dijangka akan bertambah pada masa depan.
Ringkasnya, dalam isu subisidi gas dan bekan elektrik, IPP menjadi penerima manfaat terbesar, sementara Petronas, TNB, kerajaan, malah rakyat perlu menanggung kerugian akibat daripadanya. Subsidi tidak menguntungkan rakyat, yang sebaliknya perlu menanggung kosnya kerana penyelewengan dalam hasilan elektrik.
*Neo Chee Hua
No comments:
Post a Comment