Sunday, July 11, 2010

Sekali Katak Selamanya Katak

Secara saintifiknya, katak berasal dari gugusan telur hasil dari ‘persenggamaan’ katak jantan dan katak betina. Dari telur/alga, ia berubah menjadi berudu. Dari berudu ia berubah menjadi katak. Sekali menjadi katak, ia akan kekal menjadi katak selamanya. Tidak akan berubah menjadi buaya, ikan mahupun kapal selam meskipun ia mempunyai kebolehan menyelam.

Katak boleh hidup di dua alam, dua-dua alam itu ialah alam yang nyata, bukan alam ghaib dan alam roh. Mereka makan apa yang mereka suka. Air kencing katak sangat bahaya, ia mampu mencederakan sesiapa yg di’kencing’nya. Ini adalah untuk melindungi kemandirian spesis katak.

Sejak zaman pasca-merdeka di Malaysia, amat sukar untuk menemui spesis katak. Kalau ada pun hanya satu dua sahaja. Ini kerana katak sukar membiak disebabkan katak betina sukar ditemui di Malaysia.

Ada seekor katak yang telah lama hidup di Malayia dan kebolehannya diikiraf oleh Buku Rekod Malaysia kerana kekentalan dan ke’perkasa’anya itu. Ia mampu melompat jauh dan mampu untuk tinggal di habitat yang berlainan. Di atas dacing, di atas bulan dan berbagai habitat lagi. Namun masih tidak mampu meneruskan spesisnya yang semakin lama diancam pembangunan rakyat.

Fenomena ini berterusan untuk satu jangka masa yang agak lama sehinggalah dua tahun kebelakangan ini. Pada suatu hari kedengaran bahawa sekumpulan katak behijrah. Bersama-sama mereka terdapat seekor katak betina! Wowww!! Sang raja katak tersangat gembira kerana berpeluang untuk meneruskan zuriat melalui proses saintifik yang telah dijelaskan di atas sebentar tadi.

Maka, semenjak itu, katak-katak membiak dengan pesatnya. Tersangat pesat dalam sejarah moden tanah air. Tersenyum lebar Sang raja melihat anak-anaknya gembira. Tidak rugi dia berjuang. Selepas satu, satu lagi yang lahir, masih banyak lagi telur dan berudu yang belum berevolusi menjadi katak dewasa. Awas!

Sekumpulan pakar yang mengkaji spesis katak baru-baru ini dikejutkan dengan berita bahawa katak mampu berubah lagi! Hasil ujikaji mereka mendapati bahawa katak ‘hybrid’ mampu berubah dari seekor katak menjadi senator! Lalu mereka menamakannya senatak. Ini membuatkan Sang raja menjadi runsing kerana senatak akan mengancam takhtanya.

Pertembungan ini sekali lagi akan menentukan ke mana arah tuju katak-katak di Malaysia untuk beberapa dekad yang mendatang. Walau bagaimanapun, katak selamanya akan menjadi katak. Tidak kira ianya katak hybrid, senatak, katak pekasam, katak pelabuhan, katak padang golf, katak alim dan berbagai lagi. Semuanya akan mati menuju Ilahi.

Seperti kata pepatah Melayu, manusia mati meninggalkan nama, harimau mati meninggalkan belang. Matinya katak? Mati katak. Mudah. ‘Mati katak’ mengikut kamus dewan ialah mati yang sia-sia. Samada digilis kereta, steam-roll, dimakan ular, dibuat sup atau dimakan usia sumuanya sia-sia.

Oleh itu, kita sebagai manusia haruslah mengambil iktibar dari kisah haiwan dua alam ini. Hidup ini hanya sementara. Janganlah kita menggunakan masa hidup kita dengan sia-sia. Aminah yang ada, maaf, amanah yang ada mestilah dijalankan dengan sempurna. Sekian...
sumber

No comments: