Melayu kena ubah cara berfikir, tindakan
Dia tidak menoleh ke belakang dan membiarkan kumpulan lelaki yang masih terkejut melihat gadis berkemban di sebuah kampung tidak jauh dari pekan Manik Urai.
Suasana tradisi masih hidup di beberapa kawasan pedalaman Kelantan walaupun pelbagai polemik pembangunan bertebaran dan sering dipropagandakan.
Di hotel lima bintang di Lembah Klang, suasana berbeza dan kontras sering berlaku. Beberapa gadis berbikini leka berenang walaupun kolam renang letaknya tidak jauh dari kafe yang dikunjungi pelbagai peringkat usia. Mereka mengepak di kolam renang tanpa pedulikan mata nakal yang galak menjeling.
Jika di pedalaman ada perasaan malu dan memohon maaf kepada tetamu kerana berkemban di tepian perigi, suasana di ibu kota berlainan sekali. Berbikini dan mendedah aurat ialah hak peribadi. Tiada siapa berhak menegur kerana peraturan di kolam renang melarang berpakaian labuh atau berseluar panjang ketika berenang.
Sejak Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan pada awal dekad 70-an, tradisi kemelayuan terhakis sedikit demi sedikit kerana penyesuaian dengan perubahan struktur ekonomi dan sosial.
Masyarakat Melayu mula berubah daripada sektor ekonomi tradisional kepada bidang industri dan perdagangan yang turut membawa kesan dari segi struktur sosial.
Ketika insiden 13 Mei 1969, bangsa Melayu hanya 10 peratus menetap di Lembah Klang terutama di kawasan daif seperti Kampung Baru dan Kampung Datuk Keramat. Mereka bekerja sebagai buruh atau pemandu dengan upah rendah.
Sebahagian besar Kuala Lumpur berwajah asing kerana faktor penjajahan yang meletakkan garis sosial berdasarkan kaum dan agama. Melayu hanya kekal di desa dengan kehidupan daif dan bangsa lain di kota besar mendapat limpahan projek pembangunan negara.
Ketika Tun Dr Mahathir Mohamad mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri keempat pada 17 Julai 1981, rakyat mengharapkan perubahan dasar pimpinan negara kerana Dr Mahathir adalah pemimpin di kalangan rakyat, berbeza tiga Perdana Menteri sebelum ini yang dianggap sebagai bangsawan dan tidak menghayati sepenuhnya penderitaan Melayu di luar bandar.
Selama 22 tahun mentadbir negara, Dr Mahathir perkenal pelbagai dasar yang ada kaitan dengan kepentingan Melayu.
Industrialisasi negara menyediakan peluang pekerjaan dan perubahan cara hidup di kota. Melayu tidak lagi bertapak di luar bandar, malah menjadi usahawan besar di Kuala Lumpur dengan menguasai pelbagai syarikat. Ada dalam kalangan mereka mempunyai hubungan dengan syarikat bertaraf antarabangsa.
Peluang pendidikan dan perusahaan meletakkan Melayu pada ruang persaingan sebenar. Dasar Ekonomi Baru dimanfaatkan hingga mencetuskan fenomena Melayu baru yang dikaitkan dengan Umno — tunjang Barisan Nasional dan dominan perjuangan Melayunya.
Kekuatan ekonomi dan pendidikan secara langsung mengubah persepsi kehidupan. Istilah ketuanan Melayu sering dilaungkan, sekali gus membawa konotasi perubahan sikap dan cara bertindak di kalangan Melayu sendiri.
Jika dulu Melayu desa dianggap sebagai tradisional cara berfikir, berhujah dan berpolitik, Melayu baru memberi gambaran perubahan cara hidup dan tindakan. Penyesuaian dan proses asimilasi di kota besar melahirkan golongan yang bukan saja berbeza, malah ada masanya meragukan.
Istilah politik wang dikaitkan dengan Umno, walaupun parti lain tidak terkecuali menggunakan kuasa untuk menghalalkan cara. Isu kroni, nepotisme dan korup sering berulang. Bukan saja menjelang Perhimpunan Agung Umno, malahan bertebaran di media baru sejak dekad 90-an.
Perubahan cara hidup juga melahirkan Melayu baru yang menyisihkan tradisi muafakat dan kerjasama sejak temurun. Pada hari ini amat jarang majlis kenduri dilakukan secara kerjasama dan gotong-royong. Perubahan sistem ekonomi dan taraf hidup menyebabkan majlis kenduri dilakukan katering merangkap kontraktor majlis dilengkapi pelbagai pakej menarik.
Kerjasama sesama penanggah, tukang masak dan ipar duai sudah berlalu. Ia bukan saja di kota besar, bahkan merebak di luar bandar. Melayu baru sudah berubah sikap kerjasamanya. Begitu juga pada kes kematian apabila urusan gali kubur dan pengangkutan jenazah membabitkan upah dan nilaian harga.
Perubahan sikap dan ruang pemikiran menjadikan segala-galanya berteraskan perkiraan harga. Untung dan rugi menjadi sandaran utama. Kehidupan Melayu baru tanpa sedar meminggirkan tradisi muafakat yang lama tersemai dalam masyarakat di luar bandar.
Perubahan juga meletakkan nilai ekonomi pada setiap tindakan dan pemikiran. Hal ini kian mendesak kerana segala-galanya menuntut perkiraan untung dan rugi seperti di sektor ekonomi semasa.
Luahan “maaf be, ambo tok sengajo” mengingatkan kembali detik spontan yang tidak mungkin berulang. Masih ada sikap tradisional walaupun ia amat terpencil di pedalaman jiwa masing-masing. — Berita Harian
No comments:
Post a Comment