Monday, May 3, 2010

Wisma Putra: 2 blok minyak diterokai Brunei, Malaysia

Posted by RAKYAT MARHAEN
Oleh Adib Zalkapli
KUALA LUMPUR, 3 Mei — Wisma Putra hari ini mengesahkan kawasan minyak Blok L dan M yang menjadi kini pertikaian akan dibangunkan secara bersama oleh Malaysia dan Brunei ekoran perjanjian dimeterai pada Mac 2009.
Dalam kenyataan dikeluarkan pagi ini, Wisma Putra juga mengesahkan kawasan sumber minyak itu diiktiraf berada di sempadan Brunei di bawah perjanjian atau surat pertukaran yang ditandatangani oleh bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Malah dalam kenyataan itu, Wisma Putra juga berkata perjanjian itu merangkumi usaha penubuhan Kawasan Penentuan Komersial (CAA) untuk minyak dan gas serta langkah-langkah untuk menetapkan sempadan maritim kekal dengan Brunei.
Kementerian Luar juga berkata, penubuhan CAA yang merangkumi kedua-dua Blok L dan M membolehkan perkongsian hasil minyak dan gas antara kedua-dua negara.
“Langkah menamatkan kontrak perkongsian pengeluaran merangkumi Blok L dan Blok M yang diberikan oleh Petronas kepada Petronas Carigali Sdn Bhd dan Murphy Oil pada 2003 adalah selaras dengan pembentukan CCA yang diperuntukkan dalam Pertukaran Surat,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yakin bahawa rundingan antara Malaysia dan Brunei berkaitan dengan persempadanan laut dan darat akan mencapai satu bentuk penyelesaian yang saling menguntungkan kedua-dua negara.
Perdana Menteri berkata kedua-dua negara jiran itu sedang berunding perkara berkenaan dalam semua aspek, termasuk peranan dan peluang yang boleh diraih oleh Petronas daripada segi kerja cari gali dan pembangunan serta pelaburan yang boleh dibuat oleh Brunei di Malaysia sebagai satu pakej.
Najib diminta mengulas kenyataan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menulis dalam laman blognya Khamis lalu, mempersoalkan sebab dua medan cari gali, konsesi blok L dan blok M, yang bukan lagi kepunyaan Malaysia dan berkata kehilangan itu boleh mengakibatkan kerugian kepada Malaysia sekurang-kurangnya AS$100 bilion (RM320 bilion).
Dr Mahathir mendakwa penggantinya telah menyerahkan kedua-dua blok itu sebagai pertukaran bagi Limbang.
Abdullah, yang menandatangani Pertukaran Surat pada Mac 2009, menjelaskan bahawa perjanjian darat dan laut dengan Brunei diluluskan oleh Kabinet Malaysia dan Malaysia akan dibenarkan mengambil bahagian dalam usaha sama pembangunan minyak dan gas atas dasar komersial di kedua-dua kawasan itu bagi tempoh 40 tahun.
Beliau menafikan kawasan sumber itu telah diserahkan kepada Brunei.
Petronas pula berkata syarikat minyak nasional itu telah dipelawa oleh Brunei untuk membangunkan dua kawasan penerokaan luar pesisir tersebut atas dasar persetujuan komersial.
Petronas berkata syarikat itu telah menubuhkan sebuah pasukan dan memulakan rundingan dengan Brunei untuk memperincikan terma bagi pembangunan kedua-dua kawasan itu yang kini dikenali sebagai Blok CA1 dan CA2.

No comments: