Friday, May 21, 2010

Kerugian Sime Darby: Musa sedia letak jawatan

Tun Musa Hitam membayangkan hanya akan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Sime Darby Bhd sekiranya siasatan penuh dalaman mendapati beliau dan anggota lembaga pengarah yang lain bertanggungjawab terhadap kerugian besar yang dialami oleh syarikat konglomerat itu.

Beliau menegaskan bahawa sebarang permintaan untuk melepaskan jawatan membabitkan anggota lembaga pengarah perlu dibuat oleh pemegang saham dan ia boleh dilakukan melalui mesyuarat agung luar biasa.

"Apabila saya ditanya sama ada saya bersedia berhenti, saya kata saya tidak ada masalah tetapi mesti ada asas...kerana saya seorang yang berpegang kepada prinsip," katanya ketika ditemui selepas menutup Forum Ekonomi Islam Dunia di Kuala Lumpur.

"Saya memberitahu lembaga pengarah bahawa jika kami didapati bersalah barulah bertanggungjawab," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desakan berterusan oleh pelbagai pihak supaya Musa bersama Lembaga Pengarah Sime Darby meletakkan jawatan di atas kerugian syarikat tersebut.

Sime Darby mengalami kerugian keseluruhan sebanyak RM1.63 bilion daripada Bahagian Tenaga dan Utiliti akibat lebihan kos daripada projek Qatar dan Empangan Bakun.

M
usa menjelaskan Sime Darby ketika ini dalam proses siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca masalah itu.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas mengenai bila tempoh siasatan itu selesai kerana ia mungkin menjejaskan harga saham syarikat tersebut.

"Ya, memang ada tempoh tetapi saya tidak akan memberitahu. Ia secepat mungkin...saya tidak main-main. Ia mempengaruhi saham dan segalanya, Sime Darby syarikat yang besar, kami tidakan tergesa-gesa mengenainya. Kami perlu serius,"
katanya.

Musa memberi jaminan Lembaga Pengarah tidak akan menyembunyikan sebarang maklumat kerana Sime Darby adalah sebuah syarikat yang berpegang teguh kepada amalan urus tadbir yang tinggi.

"Rugi tetap rugi, tetapi kita telus dan mengamalkan akauntabiliti. Jika sesiapapun didapati bersalah, sudah pasti tindakan diambil. Lembaga Pengarah Sime Darby bukan di kalangan yang jenis buang yang keruh, ambil yang jernih, kita juga tidak akan tunding jari kepada mana-mana pihak sehingga kita mengenal pasti hasil siasatan yang masih dilakukan oleh pihak profesional," katanya.

Ditanya bagaimana Sime Darby akan mengatasi masalah kerugian yang dialami itu, Musa berkata pihaknya akan berhati-hati dan berhemah dalam membuat sebarang keputusan dalam perbelanjaan.

-Bernama-

No comments: