Monday, May 10, 2010

Sultan K'tan dibawa pulang dari HUSM

25 Jamadil Awal 1431 H

Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra Sultan Yahya Petra dibawa pulang dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) pada jam 5.15 petang ini.

Baginda diiringi Raja Perempuan, Tengku Anis Tengku Hamid dan doktor peribadi, Dr Amir Ramli, lapor Star Online.

Mereka bertolak dari kawasan hospital di Kubang Kerian, di tengah-tengah kawalan keselamatan yang ketat, menuju ke Istana Mahkota yang terletak kira-kira 900 meter dari situ.

Menurut laporan itu lagi, peguam Gobind Singh Deo mengesahkannya dan berkata beliau akan berbincang dengan pasangan diraja itu sebelum memutuskan tindakan udang-undang selanjutnya.

Gobind adalah salah seorang peguam yang memfailkan writ habeas corpus di Mahkamah Khas Putrajaya Jumaat lalu untuk "membebaskan" sultan dan membolehkan baginda mendapatkan rawatan perubatan pilihannya.

Mahkamah akan mendengar permohonan tersebut esok.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Tuanku Ismail Petra berangkat pulang ke Istana Mahkota hari ini setelah tahap kesihatan baginda di dalam keadaan stabil dan mendapat perkenan Pemangku Raja Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra.

Pengelola Istana Diraja Kelantan Datuk Abdul Halim Hamad berkata Sultan Kelantan dibawa pulang setelah lima hari menjalani rawatan susulan masalah jantung di HUSM dan setelah panel 10 pakar perubatan menjalankan pemeriksaan ke atas status kesihatan baginda.

"Tuanku Al-Sultan dibawa keluar menerusi perkenaan Pemangku Raja Kelantan yang memberi titah membenarkan Tuanku Al-Sultan dibawa pulang ke Istana Mahkota. Titah itu dibuat selepas tahap kesihatan Tuanku Al-Sultan berada dalam keadaan stabil.

"Tuanku Al-Sultan akan berehat di Istana Mahkota dan baginda kini dalam keadaan stabil serta berada di bawah pengawasan doktor," katanya ketika
dihubungi di Kota Bharu.

Pada malam Selasa lepas, Sultan Kelantan dibawa ke HUSM atas pilihan Pemangku Raja Kelantan untuk baginda menjalani rawatan susulan di situ.

Kerajaan Negeri dan Kementerian Kesihatan telah melantik panel 10 pakar perubatan untuk memeriksa tahap kesihatan Sultan Kelantan dan mereka menjalankan pemeriksaan itu sejak dua hari lepas.

Malaysiakini/-

No comments: