DAP berjaya rampas parlimen Sibu
10.58malam: DAP berjaya merampas kerusi parlimen Sibu dengan menewasan BN dengan majoriti 398 undi.
Calon DAP Wong Ho Leng mendapatkan 18,845 undi untuk menewaskan calon BN Robert Lau Hui Yew yang mendapat 18,447 undi. Manakala calon Bebas Narawi Haron mendapatkan 232 undi.
Undi rosak pula berjumlah 395. Keputusan tersebut diumumkan oleh pengurus pilihan raya, Wong See Meng.
Mengenai undi pos pula, BN memperolehi 2,323 undi manakala calon DAP mendapat 70 undi dan calon Bebas pula mendapat 36 undi.
Manakala jumlan pemilih yang keluar mengundi hari ini ialah 70 peratus atau 37,919 orang.
10.35malam: Nampaknya berlaku pertikaian kecil berhubung undi pos. Bagaimanapun, difahamkan SPR akan mengumumkan keputusan pilihan raya kecil parlimen Sibu tidak lama lagi.
Difahamkan juga, DAP menang antara 300 hingga 400 undi.
10.15malam: Di Dewan Suarah, dua pemimpin SUPP sedang mengadakan pertemuan dengan pegawai pengurus pilihan raya, Wong See Meng. Difahamkan mereka sedang berbincang mengenai kelewatan pengumuman keputusan undi pos.
Mereka kemudian disertai oleh pemimpin DAP Ng Wei Aik, Lim Lip Eng dan Ronnie Liu.
Hujan masih turun di Sibu. Penyokong kedua belah pihak yang berpayung, sedang menunggu di luar Dewan Suarah.
10.10malam: Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof memberitahu Malaysiakini melalui SMS bahawa Borang 15 bagi undi pos sedang dibawa ke pusat perjumlahan di Dewan Suarah.
"SPR sedang menunggu keputusan rasmi undi pos," katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Omar Wan Omar berkata pihaknya akan memberi penjelasan mengenai kelewatan tersebut.
"Saya akan jelaskan selepas kami umum keputusannya sebentar lagi," katanya.
10.09malam: Semua pemimpin utama DAP sedang menunggu di Wisama Sanyan, tempat undi pos dikira.
Lim Guan Eng memberitahu Malaysiakini bahawa beliau bimbang "sesuatu yang tak kena sedang berlaku" dan berharap pegawai SPR boleh mengeluarkan Borang 15 - dokumen yang mengesahkan keputusan rasmi undi pos.
Juga difahamkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah pulang ke Kuala Lumpur.
9.50malam: Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang mempersoalkan kelewatan SPR mengumumkan keputusan kiraan 2,571 undi pos.
"Pengiraan undi pos bermula jam 5.30 petang dan selesai pada jam 8.30 malam."
Beliau bertanya mengapa berlaku kelewatan lebih satu jam untuk mengumumkan keputusannya.
9.35malam: Pengiraan undi polis telah selesai. Bagaimanapun, wakil DAP gagal memperolehi Borang 15 - yang mengandungi jumlah rasmi, yang ditandatangani oleh pengurus pilihan raya.
Difahamkan BN menang 2,300 undi pos. Ini bermakna DAP menang dengan majoriti 300 undi.
Calon DAP Wong Ho Leng belum lagi mahu mengaku menang.
"Saya tak mahu ulas. Tunggulah pengumuman rasmi," katanya kepada Malaysiakini.
No comments:
Post a Comment