KerajaanRakyat - KUBANG PASU: Tindakan keras polis yang menahan rakyat dari memakai baju kuning termasuk t-shirt Bersih 2.0, membuktikan kezaliman Umno yang memperkakaskan pihak berkuasa itu, kata Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, Umno Barisan Nasional (BN) sepatutnya tidak takut dan memerangi himpunan Bersih 9 Julai ini kerana ia merupakan himpunan aman menuntut perubahan dalam sistem pilihan raya.
“Kita tidak minta perubahan yang memihak kepada Pakatan Rakyat. Kita minta perubahan yang tunduk kepada peraturan dan ketelusan,” katanya mengulas tindakan polis yang giat menangkap orang ramai yang memakai t-shirt Bersih 2.0.
Beliau ditemui selepas merasmikan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kayu Hitam dan Pejabat KEADILAN Cabang Kubang Pasu petang tadi.
Terbaru, lima anggota Angkatan muda KEADILAN (AMK) Kapar ditahan polis sewaktu bersiar-siar di pusat membeli belah Klang Parade petang tadi, dengan memakai t-shirt Bersih. Timbalan Ketua AMK Pusat, Khairul Anuar Zainuddin pula ditahan malam semalam atas ‘kesalahan’ sama.
KeadilanDaily juga difahamkan, kira-kira 30 orang ditahan di balai polis Kepala Batas atas perbuatan itu – berdasarkan catatan twitter.
Mengulas lanjut, Anwar menyifatkan tindakan polis merampas t-shirt Bersih 2.0 itu sebagai bukti keganasan dan kezaliman berterusan pimpinan Umno BN.
“Di Malaysia ini, betapa ganas dan zalimnya pimpinan Umno. Sampai kita pakai baju kuning jual baju Bersih pun dianggap kesalahan,” katanya.
No comments:
Post a Comment