Wednesday, June 1, 2011

'Majlis Syura wajar buat endorsement pemilihan parti'

Veteran PAS, Subky Abdul Latif berpendapat Majlis Syura Ulama parti wajar membuat perakuan (endorsement) calon jawatan-jawatan tertinggi parti untuk dijadikan panduan oleh ahli dalam membuat pilihan.

Menurutnya, pemerkasaan Majlis Syura untuk menjalankan fungsi ini perlu supaya ahli-ahli parti mempunyai panduan untuk memilih pemimpin-pemimpin tertinggi parti.

"Majlis Syura mesti diperkasakan untuk menjadi pemandu kepada parti. Majlis Syura boleh menunjuk calon-calon yang dilihat layak untuk jawatan-jawatan tersebut supaya ahli mempunyai panduan siapa hendak dipilih," kata Subky kepada SiasahDaily.

Bekas pemimpin PAS Wilayah Persekutuan ini menjelaskan, sekiranya soal pemilihan calon untuk pilihan raya perlu melalui penilaian Majlis Syura, tidak ada sebab pemilihan kepimpinan parti tidak boleh mendapat perakuan majlis itu.

Katanya, Majlis Syura perlu menilai setiap calon dan memberikan perakuan untuk calon-calon pilihan supaya disokong oleh ahli dalam pemilihan di muktamar.

Beliau turut menegaskan lagi keperluan dua jawatan tertinggi parti dipegang oleh tokoh berkelulusan agama kerana berpendapat orang nombor dua ialah pemimpin yang dipersiapkan untuk menggantikan presiden.

Tegasnya lagi, ini bermakna semua anggota Majlis Syura mestilah berada pada kedudukan kuat berbanding ahli-ahli Jawatankuasa Pusat supaya pandangan kolektif mereka dihormati dalam parti.

Penulis prolifik ini menegaskan, untuk mencapai tujuan itu, Mursyidul Am kini perlu mengambil tugas memperkuatkan Majlis Syura supaya mempunyai suara yang lebih besar dan berkemampuan memandu hala tuju parti.

Pandangan Subky ini selari dengan pandangan yang disampaikan Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din pada 2009 dalam ucapannya Memperkukuh Kepimpinan Ulama pada majlis sambutan jubli perak kepimpinan ulama PAS.

Haron mencadangkan calon-calon bertanding pada pemilihan parti melalui penapisan oleh Majlis Syura seperti diamalkan dalam memilih calon pilihan raya.

Dua cadangan utama Haron dalam kertas itu ialah calon-calon pemilihan perlu disemak oleh Majlis Syura dan ahli Jawatankuasa Pusat hanya sah jawatan mereka setelah diperakukan oleh majlis itu.

No comments: