Monday, June 13, 2011

Tolak Kerajaan Yang Membebankan Rakyat dan Menguntungkan Kroni!

Penulisan ini akan memfokas tentang dua perkhidmatan utiliti – Air dan Elektrik. Kedua-dua utiliti ini memaparkan betapa kerajaan Umno/BN memperkayakan kroni dan membebankan serta memangsakan rakyat.

Sebelum ini saya telah menulis tentang macamana kerajaan BN di bawah pemerintahan Tun Dr Mahathir melaksanakan penswastaan air dan berakhir hari ini dengan satu ‘Penstrukturan Semula’. Mengapa berlaku sedemikian?

Penstrukturan semula air adalah kata lain bagi kegagalan penswastaan air yang dilakukan dulu atas andaian pihak swasta mampu meningkatkan perkhidmatan dan mengurangkan kos kepada kerajaan. Ia juga adalah bertujuan untuk melakukan “Penyelamatan Kroni” atau “Bailout”.

Ini bererti setelah penswastaan, pengurusan serta perkhidmatan air tidak dapat dilakukan secara mapan dan secara integrated atau ‘holistik’. Contoh terbaik (baca terburuk) jelas dilihat dalam kes Selangor.

JBAS, yang asal untung, setelah diswastakan pada tahun 1997, menjadi rugi kerana segmen yang untung yakni “rawatan air” diswastakan kepada 3 syarikat iaitu (i) Puncak Niaga Sdn Bhd (ii) Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn BHd (SPLASH) dan (iii) Konsortium  Abass Sdn BHd (ABASS).

Kegiatan “membekalkan air” yang merugikan kerana sebab “air tak berfaedah” (NRW) kekal ditanggung oleh JBAS. JBAS yang dulu untungnya antara RM50-RM80 juta setiap tahun menyumbang kepada pendapatan kerajaan negeri, setelah dikorporatkan menjadi Pengurusan Air Selangor Berhad (PUAS) terus menanggung defisit (rugi) sekitar RM350 juta.

Pendekkan cerita, PUAS, milik kerajaan negeri itu meneruskan perkhidmatan air yang tempang dengan beban hutang sehinggalah diswastakan kepada Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) pada tahun 2005.

Hutang terkumpul SYABAS ketika itu telah melonjak ke paras RM2 bilion.

Pemegang saham SYABAS ialah Puncak Niaga Holdings Berhad (PNSB) sebanyak 70%, Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) sebanyak 15% dan bakinya 15% di pegang oleh Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS). Kerajaan Persekutuan, melalui Kementerian Kewangan memegang satu ‘saham emas’ dalam SYABAS.

Kesemua penswastaan mengandaikan  bahawa perkhidmatan akan menjadi lebih efisien dan baik serta tanggungan kos kerajaan akan berkurangan kerana diambil alih oleh pihak swasta.

Bagi menggalakkan pihak swasta mengambil bahagian dalam penswastaan yang mempunyai kos capital yang tinggi dan masa pelaburan yang panjan, pihak kerajaan telah menawarkan tariff tinggi yang menarik berserta ‘subsidi’ dan ‘pampasan’.

Jelasnya inilah punca ia tidak dapat ditunaikan serta jelasnya membawa beban kepada rakyat ketika mahu dilaksanakan. Kisahnya sama samada dalam kes air dan elektrik. Contoh di Selangor tariff air dijanjikan kenaikan sebanyak 37% (2009), 25% (2012) dan 20% (2015). Perjanjian Penjualan Tenaga (PPA) kepada pihak Penjana Tenaga Bebas (PPA) lebih parah lagi sebab semuanya rahsia dan terkawal dan dilindungi oleh akta rimba Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Kembali ke air di Selangor, program penstrukturan semula kononnya adalah untuk menjadikan industri air lebih ‘holistik’ dan ‘integrated’ kerana terlalu banyak ‘pemain’. Sehingga kini, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) melalui Akta Perkhidmatan Industri Air (WSIA, 2006) gagal melaksanakan usaha ini.

Pertikaian pembelian semula semua asset-aset air kerajaan negeri dan pihak swasta oleh sebuah badan yang ditubuhkan oleh WSIA yakni Perbadanan Aset Air Berhad (PAAB) untuk memasukki regim baru pajakan 3 tahun sekali sekaligus menamatkan regim konsesi berterusan tanpa ada muktamadnya.

Sebaliknya terkini di Selangor, kerajaan Pusat akan melakukan satu lagi ‘bailout’ bagi menyelamatkan hutang yang ditanggung olih pihak-pihak konsesi kepada pemegang bon berjumlah RM6.4bilion seluruhnya. Atas apa jua sebabnya, kerajaan selalunya bersedia membantu pihak swasta (baca kroni). Tetapi tidak  semudah itu ketika untuk mengurangkan beban rakyat. Mengapa begitu?

Bagi pengetahuan umum, begitu halnya dalam kes Tenaga Nasional Berhad (TNB). TNB sebagai sebuah badan berkanun, samalah semacam JBAS tadi, merupakan sebuah badan yang efisien dan membuat keuntungan yang menasabah buat kerajaan sehinggalah berlaku penswastaan di mana TNB dicekik oleh pihak IPP.

Sejarah menunjukkan bahawa Unit Perancangan Ekonomi (EPU) yang bertanggungjawab menyusun kesemua ini. Mengikut sejarahnya TNB hanya perlu akur kepada arahan EPU. Amat malang, mengikut sejarahnya, bahawa sementara TNB mampu menjana tenaga pada kos 8 sen seunit (setiap kWhr), mereka dipaksa membeli daripada IPP pada harga 14 setiap kWhr atau 75% lebih tinggi. Sebenarnya dengan kaedah  ”take or pay” harga dibayar kepada IPP ialah 23 sen (termasuk kos transmisi dan pengedarn). TNB sebenarnya mampu membekal dengan 17 sen se unit tanpa IPP.  Simpanan atau kapasiti resap/lebihan pula berada pada lebih 50%, antara tertinggi di dunia. Jelas kerajaan BN menguntungkan kroni dan membebankan rakyat! TK kerajan BN!

Untuk ingatan umum, paksaan inilah yang menyebabkan Tan Sri Ani Arope, Pengerusi yang memimpin TNB dengan cemerlang, meletakkan jawatan seraya menyelarkan EPU sebagai – Economic PLundering Unit atau Unit Penyamun Ekonomi!

Mutakhir, Kerajaan persekutuan menaikkan tarif elektrik dengan purata 7.12 peratus bermula 1 Jun ini sebagai sebahagian daripada polisi rasionalisasi serta pengurangan subsidi. Bersekali dengan itu,gas asli pula dinaikkan RM3 setiap mmBtu setiap enam bulan sehingga mencecah harga pasaran pada 2016, apabila harganya diapung sepenuhnya.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Peter Chin Fah Kui mendakwa seramai 44.4 juta atau 75 peratus dariapada keseluruhan 5.94 juta isi rumah tidak akan terjejas dengan tarif baru ini. Katanya bagi yang menggunakan 301kW hingga 1000kW, tarif dinaikkan daripada 0.1 peratus hingga 10 peratus, atau RM0.07 kepada RM30.30.

Sementara itu pula, pelepasan bil elektrik untuk pengguna yang menggunakan kurang daripada RM20 sebulan akan tamat pada Disember 2011.

Kenaikan itu disebabkan oleh peningkatan harga gas asli untuk sektor tenaga.

Saya ingin tegaskan bahawa seperti juga yang diramalkan oleh pakar-pakar ekonomi serta penganalis, akibat dari kenaikan ini, kita menjangkakan bahawa harga makanan dijangka meningkat seiring pengumuman kerajaan menaikkan tarif elektrik.

Ini jelas kerana sebab industri pengeluaran makanan menggunakan sebahagian besar tenaga elektrik.

Mungkin  betul bahawa sebanyak 75 peratus isi rumah terlepas daripada kesan langsung kenaikan tarif elektrik, akan tetapi mereka akan menghadapi bebannya apabila pengeluar memindakah kos yang lebih tinggi kepada pengguna.

Tambahan dengan pemotongan tambahan subsidi atas bahan bakar, petrol dan disel maka ia akan mencetuskan lagi tekanan inflasi yang lebih parah. Rakyat akan terbeban seumpama dah jatuh ditimpa tangga. Terkini, dilaporkan bahawa Indeks Harga Barang (CPI) telah mencecah 4.7%.

Lebih parah lagi adalah kepada golongan berpendapatan rendah. Satunya kerana dulu tidak perlu membayar kalau kurang dari RM20, tetapi selepas Dis 2011, mereka akan terbeban juga. Keduanya golongan ini akan menanggung kenaikan kos ini pada peratus yang lebih tinggi dari pendapatan mereka berbeza dengan golongan berpendapatan tinggi. Kenaikan harga kos makanan dan saran adalah sama ke atas semua orang – yang kaya dan miskin.

Hakikatnya yang miskin akan menanggong pada kadar peratus yang lebih tinggi nisbah pendapatan mereka. Tambahan pula pendapatan mereka tidak pula boleh dinaikkan seperti yang makan gaji atau berniaga. Amat hairan mengapa sebuah kerajaan yang mendakwa yang mengutamakan rakyat, terus-menerus memangsakan rakyat.

Tidak kah dapat mereka fikirkan sumber lain bagi menambah pendapatan Negara dari membebankan rakyat samada dengan menaikan cukai atau mengurangkan subsidi? Menuduh rakyat ‘ketagihan candu’ subsidi adalah sebutan yang menghina rakyat.

Mana-mana kerajaan di dunia ini pun boleh sahaja menggunakan Kaedah Fiskal untuk mencapai ‘pengimbangan’ dengan sistem cukai dan subsidi mereka bagi menentukan pendapatan dan perbelanjaan. Biasa sahaja. Pengherotan ekonomi atau ‘distortion’ berlaku bukan hanya kerana subsidi bahkan termasuk mengepung pasaran dengan monopoli atau ketika kerajaan sendiri berniaga contohnya dengan memberi ‘advantage’ kepada syarikat-kaitan kerajaan (GLCs) dalam persaingan.

Pada soalan sumber pendapatan lain, tentunya ada. Pertamanya, tutup lubang-lubang kebocoran dan ketirisan di segi sistem penghantaran atau ‘delivery’. Skandal PKFZ mencecah RM12.5bilion. Kedua, elakkan pembaziran terutama dalam mengendali projek mega dengan kos ‘overrun’ yang mencecah RM billion . Bakun satu contoh. Ketiga, tarik balik subsidi kepada golongan yang tidak layak, yang untung jutaan dan billion seumpama Penjana Tenaga Bebas atau IPP, pemilik konsesionar utiliti seperti Lebuhraya dan Air.

Kalau kerajaan singkat pemikirannya, rakyat sewajarnya singkatkan riwayat usianya. Tolak kerajaan yang membebankan rakyat dan mengkayakan kroni!

Dr Dzulkefly Ahmad, AJK PAS Pusat.

No comments: