Friday, June 17, 2011

Karikatur: Pemuda PAS Kelantan lancar kempen Boikot Utusan

KOTA BARU, 17 Jun — Dewan Pemuda PAS Kelantan hari ini menyeru seluruh rakyat agar tidak membeli dan membaca akhbar Utusan Malaysia milik Umno berikutan tindakannya menyiarkan karikatur didakwa menghina syariah Islam, kelmarin.
Ketuanya, Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, penyiaran karikatur itu satu perbuatan melampau, yang tidak sepatutnya dilakukan oleh akhbar yang dikatakan mendokong kedaulatan Melayu dan Islam.
“Tindakan ini memang jelas bercanggah dengan akidah Islam. Pemuda amat peka terhadap tindakan yang tidak bertanggungjawab ini, menyeru seluruh rakyat memboikot daripada membeli serta membaca akhbar tersebut.
“Pemuda PAS Kelantan sememangnya mengecam keras lakaran kartun disiarkan akhbar Umno terbabit kerana mesej yang cuba disampaikan adalah jelas sekali betapa zalim dan primitifnya Islam yang menggariskan syarat empat saksi dalam penghakiman kes zina, liwat dan rogol.

“Penghinaan satu perbuatan melampau,” katanya ketika melancarkan “Boikot Utusan Malaysia” di Dataran Ilmu di sini hari ini.
Abdul Latiff menandatangan pada kain rentang tertera “Boikot Utusan Malaysia” sebagai simbolik pelancaran tersebut dan disaksikan hampir 2,000 orang.

No comments: