Thursday, June 2, 2011

PRU-13: PAS perlukan kaedah ‘terbijak’ lakukan transformasi


SHAH ALAM, 1 Jun – PAS perlu mencari kaedah terbijak untuk melakukan transformasi di kalangan rakyat yang bakal mengubah kerajaan Umno-BN sedia ada kepada PAS-Pakatan Rakyat (PR), kata timbalan presidennya Nasharudin Mat Isa malam ini.
“Ingatlah rakyat jelata yang membuang undi semasa pilihan raya itulah yang bakal menentukan kemaraan kita mendaki Putrajaya melalui sistem demokrasi berparlimen yang sama-sama kita pegang berdasarkan Perlembagaan Negara.
“(Oleh itu) kita mesti mencari kaedah terbijak untuk melakukan transformasi kepada rakyat yang bakal mengtransformkan kerajaan Umno-BN sedia ada kepada PAS-PR,” kata beliau dalam ucapan perasmian Muktamar Dewan Pemuda PAS di sini malam tadi.

Kata beliau, sebenarnya sikap PAS amatlah jelas di mana ia berjuang atas nama Islam dan tidak taksub dengan partinya atau namanya PAS.
“Sikap terbuka ini amat jelas terbukti apabila kita sering mendengar ceramah Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Allahyarham Tuan Guru Datuk Fadzil Noor dan juga Tuan Guru Datuk Seri Presiden Abdul Hadi Awang yang dengan lantang menyatakan pendirian bahawa  PAS akan bekerjasama dengan mana-mana parti yang menyokong cita-cita dan dasar perjuangan PAS, iaitu Islam demi menegakkan kebenaran dan keadilan,” katanya.
Dalam hal penubuhan negara Islam, katanya, media arus perdana kerajaan sering menggambarkan bahawa PR kini menghadapi masalah dan keretakan akibat “perkahwinan sementara” PAS-PKR dan DAP yang keras menolak idea negara Islam tajaan PAS.
“Sebenarnya mereka takut dan amat gentar dengan tsunami politik yang bakal menjelma dalam pilihan raya umum ke-13.
“Memadai kita pinjam kembali kata-kata penuh hikmat Allahyarham  Datuk Fadzil Noor, mantan Presiden PAS apabila beliau menjawab isu yang sama ‘kita yang berada dalam rumah, kita tahulah apa yang sedang  berlaku’,” kata beliau.
Nasharudin juga berkata, pihaknya menanti dengan penuh teliti pilihan raya umum ke-13, dan “kita sedar gelombang tsunami politik kedua ini memerlukan gemblengan tenaga yang lebih kuat untuk merangkul semula takhta pemerintahan daripada pemerintah sedia ada yang sejak tahun 1955, gagal melaksanakan tanggungjawab dan akauntabilitinya kepada rakyat jelata.”
Kata Nasharudin, kegagalan PAS memerintah negara sepenuhnya sehingga kini melalui sistem pilihan raya negara bukanlah hujah bahawa ia berada di atas paksi yang silap.
“Kegagalan PAS memenangi sebarang kerusi di Sarawak baru-baru ini tidak bermakna PAS hilang tujuan atau kepemimpinan yang salah haluan.
“Demi sesungguhnya, Allah SWT masih sayangkan kita lalu menguji kita; iman dan taqwa kita masih perlu kita tingkatkan,” katanya lagi.
Oleh itu kata beliau, dalam konteks pilihan raya umum ke-13 yang semakin hampir, kepemimpinan Pemuda mestilah bersiap-siaga menyediakan calon-calon yang mantap dan berwibawa, calon-calon berkaliber dan mempunyai pengalaman memimpin jemaah supaya mudah diterima seluruh rakyat jelata.
“Jika kita telah menerima pentas politik sebagai sebahagian daripada medan dakwah kita secara serius, maka kita juga kena serius menyediakan bakal-bakal calon pilihanraya berpotensi tinggi hatta dihormati musuh politik kita sekalipun,” katanya lagi.

No comments: