Thursday, June 2, 2011

Muktamar Pemuda PAS: Kerjasama DAP, PKR tidak gadai prinsip Islam


SHAH ALAM, 1 Jun – Pemuda PAS menolak tanggapan sesetengah pihak khususnya parti lawannya bahawa kerjasama sayap itu dengan pergerakan muda dari PKR dan DAP tidak Islamik dan bertentangan dengan prinsip-prinsip syarie.
Ketuanya Nasrudin Hassan berkata, ada pihak mempertikaikan hubungan “kita dengan AMK dan DAPSY sebagai tidak Islamik dan kononnya menggadai prinsip perjuangan asal kita.”
“Suka saya tegaskan di sini bahawa kita tidak pernah merubah dasar dan prinsip perjuangan dan hubungan kita dengan AMK dan DAPSY adalah hubungan tahaaluf yang diluluskan oleh syarak, maka tidak timbul soal tidak syarie atau tidak Islamik,” kata beliau dalam ucapan dasarnnya pada muktamar sayap itu hari ini.

Nasrudin menambah, malah pemuda mesti terus ‘enggage’ dengan semua golongan dan lapisan masyarakat, turun dan mara sebagai “duta penyelamat dan kasih sayang.”
“Menyantuni dan menyertai kehidupan harian mereka dengan membawa semangat Orang Muda Geng Kita. Terutama hubungan kita dengan rakan tahaaluf iaitu Angkatan Muda Keadilan dan DAPSY.
“Pastikan hubungan ini terus erat dan bersama menjana kemenangan demi kepentingan negara dan rakyat,” kata beliau pada muktamar sayap itu yang dirasmikan di Shah Alam.
Teks ucapannya diedarkan kepada media malam ini.
Sehubungan itu soal beliau, bukankah Islam mengajar “kita menentang kezaliman seperti ISA, selain menolak rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan seperti apa yang berlaku kepada SPR, badan kehakiman, polis dan FRU?”
Tambah beliau, “bukankah Islam mengajar kita menentang segala pembaziran seperti projek mega yang tidak menguntungkan rakyat, agihan saham hanya berlegar dikalangan kroni dan sebagainya?”
Justeru tambah beliau, Pemuda PAS bersepakat dalam perkara ini dengan AMK dan DAPSY, lalu bekerjasama, “maka di manakah yang tidak Islamik dalam perkara ini?”
“Saya harap kita tidak keliru lagi dan saya juga sebagai anggota Majlis Syura Ulama turut terlibat dalam perbahasan dan penelitian panjang mengenai perkara ini dan Majlis Syura Ulama PAS telah memutus dan meluluskan perkara ini,” katanya lagi.
“Justeru itu, kita pertahankan tahaaluf ini dengan konsep dan prinsip serta akhlak dalam bertahaaluf siasi dengan mana – mana jua pihak yang bukan dari jamaah atau parti kita.
“Dalam erti kata yang lain, marilah kita perkukuhkan Pakatan Rakyat tanpa melupakan pemerkasaan parti kita sendiri,” katanya lagi.

No comments: