Monday, June 13, 2011

Tidak perlu bazir RM100 juta untuk aktiviti kesenian

DAP terperanjat dengan laporan Bernama bahawa sebanyak RM100 juta telah dihabiskan untuk menyambut Hari Seniman pada 29 Mei lalu, kata Lim Guan Eng.
KUALA LUMPUR: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim hanya perlu membelanjakan RM2 juta pada Festival Warisan George Town selama sebulan Julai ini jika beliau benar-benar ikhlas mahu menggalakkan aktiviti kesenian dan tidak perlu menghabiskan RM100 juta.
“DAP terperanjat dengan laporan Bernama bahawa sebanyak RM100 juta telah dihabiskan untuk menyambut Hari Seniman pada 29 Mei lalu tetapi mendapat sambutan yang dingin daripada para penggiat seni,” kata Setiausaha Agung parti itu, Lim Guan Eng.

Dalam satu kenyataan media semalam, Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata, DAP merasa curiga dengan laporan Bernama itu dan berharap laporan itu tidak benar serta meminta Rais menjelaskan jumlah sebenar yang dibelanjakan.
“Adalah sukar untuk mempercayai bahawa kerajaan sanggup memperuntukkan sebanyak RM100 juta untuk aktiviti-aktiviti kesenian ketika mana seramai 27 juta rakyat menjalani kehidupan yang susah kerana dihimpit oleh kenaikan harga barangan akibat penarikan subsidi oleh kerajaan,” katanya.
Menurutnya, ketika membentangkan Bajet 2011, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan sebanyak RM200 juta untuk pembelian produk kreatif seperti penerbitan dokumentari, drama dan filem berkualiti tinggi. Lim berkata, jika Rais benar-benar ikhlas hendak menggalakkan perkembangan kesenian maka beliau hanya perlu menyediakan RM2 bjuta untuk acara sehari Hari Seniman pada Festival Warisan George Town yang akan berlangsung selama sebulan Julai ini oleh penggiat seni tempatan dan antarabangsa.
Festival Warisan George Town ini diadakan bagi memperingati pemilihannya sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO pada 7 Julai 2008.

No comments: