Wan Hamidi Hamid
Pemisahan antara kumpulan-kumpulan itu yang wujud lebih sedekad lalu tidak lagi menjadi isu dalam PAS kerana latar belakang mereka disatukan atas kesetiaan perjuangan mereka berlandaskan perlembagaan parti.
Yang menang adalah para perwakilan yang dilihat kecewa dengan kelembapan kepimpinan PAS dalam Pakatan Rakyat yang selama ini terganggu dek pujuk rayu Umno yang kononnya mahu mewujudkan perpaduan Melayu.
Yang kalah adalah mereka yang ditolak oleh para perwakilan kerana dianggap:
- Tidak melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan bersungguh-sungguh, termasuk gagal memastikan kemenangan PAS dalam semua pilihan raya kecil sepanjang 2010 dan pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini;
- Tidak mampu menggerakkan PAS dengan lebih cergas untuk sama-sama aktif dengan komponen-komponen Pakatan Rakyat; dan
- Di segi teknikal, terlalu ramai calon dari pelbagai latar belakang merebut jumlah jawatan yang terhad — 6 calon untuk 3 jawatan naib presiden dan 53 calon untuk 18 jawatan ahli jawatankuasa pusat.
Dengan kepimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang kekal sebagai presiden, sokongan daripada timbalan yang baru dipilih Mohamad Sabu akan diperkukuhkan dengan tiga naib presiden — Datuk Husam Musa yang kembali menjawat (beliau adalah naib presiden 2005—09) bersama dua penyandang Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar.
Walau pun media massa menggambarkan kumpulan profesional kini menguasai PAS, ia lebih menjurus kepada latar belakang para pemenang dan tidak dilihat di segi komitmen mereka kepada perjuangan PAS dalam era abad ke-21.
Dalam sidang akhbar selepas perasmian muktamar, Hadi apabila ditanya wartawan, menjelaskan: “Perpecahan dalam PAS tidak berlaku…Dr Haji Abas adalah Yang Dipertua PAS, Aminudin Baki (tokoh pendidikan Malaysia) dan juga Datuk Asri Muda (bekas Presiden PAS) semuanya bukan ulama, namun PAS kukuh kerana kepimpinannya secara kolektif untuk laksanakan Islam yang luas, bukan fahaman barat yang sempit”.
Semalam presiden PAS itu menambah bahawa jawatankuasa pusat parti kini diwakili oleh lapan ulamak, dua doktor, dan selebihnya jurutera serta pemimpin masyarakat.
Lagi pula, jika benar pun profesional dikatakan mendominasi parti, mereka tidak mempunyai agenda lain kecuali tekad dengan perjuangan PAS yang selaras dengan dasar-dasar bersama Pakatan Rakyat.
Pendirian itu juga telah banyak kali diulangi oleh Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat yang bukan sahaja komited kepada Islam tetapi juga teguh pendirian beliau dengan dasar-dasar bersama Pakatan Rakyat yang dilihatnya selaras dengan usaha Islam mebanteras gejala-gejala buruk yang dibawakan oleh Umno dan Barisan Nasional.
Lebih dari itu, sayap ulama yang — kekal dipimpin oleh Datuk Harun Taib — dilihat lebih konservatif, dan walau pun mungkin ada antara mereka yang bernostalgia “perpaduan Melayu”, akan memastikan usaha kepimpinan baru tidak lari dari landasan asas PAS.
Begitu juga kepimpinan sayap pemuda — kekal diterajui oleh Nasrudin Hassan — yang dilihat pro-ulama; mereka akan memastikan para pemimpin “dewasa” tidak terlampau ghairah untuk menang sehingga melupakan asas-asas perjuangan parti. Dalam masa yang sama, sayap pemuda juga mempunyai para pemimpin yang komited kepada dasar-dasar bersama Pakatan.
Sayap muslimat yang kini dipimpin oleh Ahli Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Yusof juga dilihat menjadi seimbang dan mahu penglibatan wanita yang lebih serius dan penting dalam parti.
Keseimbangan ini yang amat diharapkan oleh PKR dan DAP serta rakyat prihatin yang mahu melihat Umno dan BN diberi cabaran paling hebat dalam pilihan raya umum akan datang.
Ini bukan soal Pas kemaruk mahu menang tetapi perlu bersama dengan rakan-rakan Pakatan untuk memulihkan pemerintahan negara yang terlalu lama dikuasai oleh Umno dan BN yang melahirkan budaya buruk seperti rasuah, penyalahgunaan kuasa, penyelewengan, perkauman dan keagamaan yang sempit.
Adu domba Umno terutamanya melalui lidah rasminya Utusan Malaysia yang berkempen untuk “golongan ulama” termasuk secara terang-terang menyokong timbalan presiden yang kalah, Nasharudin Mat Isa, ternyata gagal mempengaruhi para perwakilan PAS dalam muktamar tahun ini.
Para perwakilan tidak terperangkap dengan dakyah Umno, sebaliknya tekad dengan perjuangan parti mereka walau sentiasa ditekan oleh pemerintah sejak zaman Merdeka lagi (kecuali sewaktu PAS berada dalam BN pada 1973-78).
Ucapan dasar presiden PAS juga menyusuri naluri perwakilan dan para ahli PAS yang mahu parti itu bergerak cergas setelah agak malap dirundung gangguan minda Umno sejak 2008.
Mereka menerima ketegasan ucapan Hadi yang menolak pakatan dengan Umno, yang mengulangi pendirian parti tentang negara Islam-negara berkebajikan dan yang mengingatkan semua tentang pentingnya pelaksanaan, dan bukannya cakap-cakap sahaja.
Hadi apabila yang ditanya wartawan mengenai negara Islam telah menjelaskan bahawa PAS lebih mementingkan isinya.
“Tema kita negara berkebajikan, ia sememangnya dah ada dalam Islam. Dalam al-Quran tak sebut negara Islam, dia sebut negara kebajikan, jadi kita laksanakan iaitu kita dahulukan yang ada persamaan,” katanya.
Walau pun tidak diharapkan sebarang perubahan radikal dari PAS, sekurang-kurangnya rakan-rakan dalam Pakatan serta rakyat prihatin kini lebih yakin dengan komitmen PAS yang sebelum ini sentiasa dihujani kata-kata manis dan godaan Umno.
Pakatan Rakyat juga lebih selesa sekarang apabila PAS, sebagai parti yang terbesar dalam gabungan itu, akan mula menggerakkan jentera penerangan dan pilihan raya parti bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
No comments:
Post a Comment