Tuesday, June 7, 2011

"Banyak komen, Umno buat pemilihan kalau berani"

KUALA LUMPUR, 7 Jun: Umno yang dilihat tidak putus-putus menghentam Muktamar PAS, dicabar mengadakan pemilihan parti itu segera jika benar-benar berani, kata Ketua Penerangan PAS Perak, Drs. Khalil Idham Lim.

Beliau berkata demikian sebagai membidas ulasan beberapa pemimpin tertinggi Umno termasuk Datuk Seri Najib Razak yang mendakwa Muktamar PAS ke-57 yang berlangsung 3 hingga 5 Mei lalu banyak mengambil pertimbangan soal pilihan raya dan bukan memfokuskan perjuagan Islam parti itu lagi.

"Kalau begitulah saya ingin mempersoalkan tindakan menangguhkan pemilihan Umno pada tahun ini adalah dengan pertimbangan apa?

"Jelas mereka menanguhkan pemilihan kerana takut berlaku perpecahan dan menyukarkan mereka untuk menghadapi PRU ke 13," katanya membidas tindakan Umno dan parti komponen BN yang lain yang menangguhkan pemilihan semata-mata berdepan Pilihan Raya Umum ke-13.


Najib ketika mengulas Muktamar PAS kelmarin menggambarkan perjuangan PAS tidak lagi untuk membangunkan sebuah negara Islam ataupun untuk kepentingan Islam itu sendiri.

Beliau merujuk kepada ucapan dasar Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang bertemakan 'Membangun Negara Berkebajikan' yang didakwanya sudah lama dipraktikkan oleh kerajaan Umno BN selama ini.

"Dia (Najib - gambar) sendiri telah membuka pekung didadanya. Kebajikan yang dimaksudkannya ialah dalam konteks yang sangat sempit dan melibatkan kepentingan kroni dan rakan terpilih sedangkan rakyat Malaysia mengharapkan kebajikan yang lebih luas terutama dalam soal harga barangan yang sering naik," kata Khalil yang juga Adun Titi Serong.

Tambahnya, kalaulah Umno sudah jadi penakut dan menangguhkan pemilihan pada tahun ini yang sepatutnya diadakan, apalah nilai ulasan yang berjela-jela dari 'si penakut' itu.

Kejayaan PAS mengadakan Muktamar katanya lagi, secara jelas telah memberi tamparan hebat kepada Umno BN.

"Kerana itu saya kira layak juga saya mengambil peluang untuk mencabar Najib untuk melakukan pemilihan Umno pada tahun ini.

"Jangan hanya berani memberi ulasan dari pelbagai sudut dan membuat pelbagai andaian yang tidak masuk akal terhadap PAS sedangkan Umno sangat kecut perut untuk membuat pemilihan pada tahun ini," tegasnya.

No comments: