Dalam masa yang sama, parti itu juga turut merakamkan ucapan tahniah kepada PAS di bawah kepimpinan Mursyidul Amnya, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presidennya, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang akan mengadakan Muktamar Ke-57nya mulai 3 hingga 5 Jun ini.
Murshid Ikhwan Muslimin Mesir, Mohamed Al-Badie’ berkata, beliau berharap agar Muktamar PAS Ke-57 berjalan dengan penuh kejayaan dan perlindungan Allah.
Menurutnya, beliau mendoakan agar setiap pendokong PAS sentiasa istiqamah dalam perjuangan Islam, sentiasa tabah menghadapi segala bentuk halangan dan ujian dalam dakwah serta politik yang diceburi dan sentiasa meletakkan keyakinan akan pertolongan dari Allah.
Katanya, bagi Ikhwan Muslimin di Mesir, mereka bersyukur kepada Allah kerana telah berjaya mencipta sejarah baru, apabila telah berjaya mengadakan Muktamar Senawi secara terbuka, aman dan bebas baru-baru ini selepas kejatuhan rejim diktator Mubarak.
"Sejarah baru ini tercipta setelah kami dari Ikhwan telah menghadapi ujian besar sejak berpuluh-puluh tahun lalu di Mesir. Ikhwan diharamkan, kami dipenjarakan, kami dibuang negeri, tetapi perjuangan kami tetap mekar di hati dan sanubari rakyat Mesir yang cintakan Islam.
"Perubahan yang sedang kami nikmati di Mesir kini semuanya adalah hasil dari berkat kesabaran, keyakinan serta pertolongan dari Allah SWT," katanya menerusi perutusan khasnya sempena Muktamar PAS Ke-57 yang disampaikan melalui Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi.
Syed Azman yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan Adun Batu Buruk dalam kenyataannya kepada Harakahdaily semalam berkata, menerusi perutusan itu, Mohamed Al-Badie’ turut mengingatkan para pemimpin dan ahli-ahli PAS tentang tiga cabaran besar yang dihadapi oleh gerakan Islam di seluruh dunia.
Pertama, cabaran dalam bentuk global yang menyaksikan dunia Islam kini diserang dengan pelbagai tuduhan dan ancaman dengan meletakkan Islam dikandang orang salah.
Kedua, gerakan Islam di serata dunia akan terus ditekan tanpa mengira belas kasihan.
Ketiga, pertembungan yang sedang berlaku kini di antara gerakan Islam dan kuasa-kuasa Barat bukan hanya pertembungan pemikiran, tapi lebih merupakan pertembungan tamadun yang amat mencabar.
Tegas Mohamed, namun kita amat yakin dengan perkembangan politik baru sekarang. 'Kuasa Rakyat’ telah merubah pola politik Mesir dan Timur Tengah.
Perkembangan itu, katanya, tidak mungkin akan mumpu disekat oleh mana-mana pihak termasuk kuasa besar dunia Amerika Syarikat dan Britain. Rakyat di seluruh dunia kini mahukan kebebasan dan hak mereka dikembalikan.
"Akhirnya saya mendoakan agar setiap pendokong PAS sentiasa bersabar menghadapi ujian besar ini. Persiapan yang mendalam perlu dilakukan oleh semua ahli PAS bagi menghadapi situasi politik baru ini.
"Hanya dengan keimanan yang mendalam, persiapan ilmu yang cukup serta pengorbanan yang besar sahaja yang akan menjamin kemenangan serta masa depan Parti Islam.
"Sekali lagi saya mewakili seluruh kepimpinan dari Ikhwan Muslimin mengucapkan selamat bermuktamar kepada seluruh kepimpinan dan ahli Parti Islam SeMalaysia (PAS). Melangkahlah kamu semua dengan keberkatan dari Allah SWT," ujar beliau.
No comments:
Post a Comment