KUALA LUMPUR, 5 Jun: Keputusan yang dibuat oleh para perwakilan dengan memilih Mohamad Sabu sebagai Timbalan Presiden PAS yang baru akan memberikan keuntungan besar kepada PAS.
Dengan pemilihan itu, para pemimpin Umno BN diyakini tidak akan lena tidur kerana bimbang dengan kekuatan PAS dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 yang akan diadakan tidak lama lagi.
Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Mohamad Sabu sememangnya merupakan pemimpin PAS yang dibenci oleh Umno kerana memiliki kehebatan tersendiri.
Menurut beliau, antara kehebatan Mohamad Sabu termasuklah kekentalan semangat, ketabahannya dalam perjuangan dan kesetiaannya yang jitu terhadap PAS.
Katanya, perkara itu terbukti setelah Mohamad Sabu diuji dengan beberapa ujian besar termasuk setelah dua kali ditahan di penjara di bawah ISA.
"Namun Mohamad Sabu tetap tidak lari dengan perjuangannya, tetap tidak memilih Umno, malah tetap terus berada dalam PAS," katanya ketika menyampaikan ceramah perdana di Dewan Datuk Fadzil Mohd Noor di Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad di Taman Melewar, di sini, malam ini.
Selain mempunyai sikap-sikap itu, menurut beliau, Mohamad Sabu turut diketahui oleh para pemimpin Umno sebagai pemimpin PAS yang berbisa.
"Sebab itulah dengan pemilihan Mohamad Sabu sebagai Timbalan Presiden PAS yang baru, Umno tidak akan tidur lena selepas ini.
"Kita bersyukur dapat seorang timbalan presiden yang dibenci oleh Umno. Kita doakan semoga Mohamad Sabu terus diberikan perlindungan oleh Allah," katanya.
Para pemimpin Umno seperti yang dilaporkan akhbar milik parti itu, Utusan Malaysia mengatakan, para perwakilan PAS telah melakukan kesilapan besar memilih para pemimpin yang dikatakan dari kalangan profesional bagi menjawat jawatan timbalan dan Naib Presiden PAS pada Muktamar PAS Ke-57.
Dengan pemilihan itu, lapor media Umno, ahli-ahli PAS kini ternyata telah menolak golongan ulama untuk memimpin PAS yang tentunya tidak selari dengan dasar perjungan PAS dan konsep kepimpinan Ulama yang diketengahkan dalam PAS.
Menurut Nik Aziz, tuduhan Umno itu ternyata meleset kerana realiti dalam PAS sendiri tidak timbul soal golongan ulama dan profesional, malah kesemua pemimpin dan ahli-ahlinya tetap terus dengan dasar perjuangan parti untuk menegakkan Islam sebagai ad-deen di tanah air tercinta ini.
"Walaupun dikatakan bukan dari golongan ulama, tetapi Mohamad Sabu ternyata jauh lebih baik dari orang-orang lepasan Al-Azhar terutama yang berada dalam Umno," katanya.
Beliau juga tidak hairan dengan tuduhan Umno itu kerana ia melambangkan ketakutan para pemimpin Umno sendiri dengan pemilihan terhadap Mohamad Sabu sebagai Timbalan Presiden PAS.
"Ini melambangkan Umno semakin cemas dan makin terdesak sebab itulah mereka memainkan isu itu untuk memecahbelahkan dan melemahkan PAS.
"Namun itu semua tak akan terjadi. Malah pemilihan ke atas Mohamad Sabu pasti menguntungkan PAS sendiri termasuk dalam soal tarikan ke atas golongan non Muslim kepada PAS," katanya.
Mohamad Sabu, katanya, diketahui semua pihak sebagai pemimpin yang disukai oleh orang-orang Cina dan India. Dengan pemilihan ke atas Mohamad Sabu sebagai Timbalan Presiden PAS, pasti akan memudahkan beliau mendekati golongan non Muslim.
"Dengan itu, Mohamad Sabu pasti akan lebih mudah mendedahkan ajaran Islam kepada golongan non Muslim, sejajar dengan usaha kita untuk suburkan fahaman Islam dalam masyarakat," tegas beliau. -Hrkh
No comments:
Post a Comment