Sempena 10 tahun hak rakyat dicabuli: Kembalikan Royalti Minyak kepada rakyat Terengganu!

Kerajaan Terengganu adalah menjadi sebuah negeri pengeluar minyak yang terbesar di negara ini. Menerusi perjanjian yang dimeterai pada tahun 1974 di bawah Akta Pembangunan Petroleum (Petroleum Development Act 1974), PETRONAS perlu membayar bayaran royalti minyak atau bayaran tunai sebanyak 5% dari hasil keluaran minyak setiap tahun kepada kerajaan negeri.
Terenganu boleh dikategorikan sebagai negeri yang mempunyai bajet yang terbesar di Semenanjung Malaysia. Ia menerima lebih dari RM1 billion setiap tahun daripada kerajaan pusat dalam bentuk royalti minyak terutama sekali di ketika harga minyak naik mendadak sebelum krisis ekonomi dunia pada tahun 2008. Sebagai contoh dalam Bajet 2010, bajet negeri ialah RM1.8 billion dan RM1.5 billion adalah daripada penerimaan bukan hasil (non-revenue income) yang merupakan sumbangan terbesarnya daripada hasil royalti minyak. Kerajaan Negeri Terengganu telah mula menerima bayaran royalti minyak ini sejak tahun 1978 sehinggalah Mac 2000 apabila Petronas atas arahan kerajaan Pusat berhenti membuat bayaran tunai ini terus kepada kerajaan Negeri.
Untuk melihat sejauh mana besarnya bajet ini, kita boleh ambil contoh Kerajaan Negeri Selangor. Bajet negeri tersebut ialah RM1.5 billion sedangkan rakyat negeri Selangor ialah lebih kurang lima kali ganda jumlah rakyat negeri Terengganu yang dianggarkan sekitar 1 juta orang. Bajet negeri Pulau Pinang pula sekitar RM300 juta. Negeri Selangor ialah negeri yang paling maju di Malaysia tetapi Terengganu pula antara negeri yang mempunyai tahap kemiskinan yang tertinggi di Malaysia. Merujuk kepada ucapan-ucapan Bajet negeri sebelum ini, dalam tahun 2004, kadar kemiskinan ialah 10.6% - jauh daripada purata nasional 5.1%.
Apabila BN Negeri kalah pada tahun pilihanraya 1999, isu royalti minyak ini mula timbul apabila Petronas menerusi arahan Kerajaan Pusat menyalurkan royalti minyak ini ke dalam Dana Khas atau Wang Ehsan di Perbendaharaan (Treasury) bagi mengelakkan ianya digunakan oleh kerajaan negeri pimpinan PAS ketika itu. Dalam ucapan bajet 2001, Perdana Menteri ketika itu Mahathir Mohamad mengumumkan bahawa wang ehsan akan disalurkan kepada kerajaan negeri melalui kerajaan pusat. Menurut Pesuruhjaya PAS Negeri ketika itu iaitu Mustafa Ali, kerajaan PAS hanya menerima sejumlah RM432 juta dalam bulan Mac 2000. Kerajaan Negeri menurut beliau tidak lagi menerima royalti minyak ini selepas itu.
PAS kemudian memfailkan tuntutan sivil pada tahun 2001 terhadap Petronas dan Kerajaan Pusat atas fail "The state of Terengganu versus the government of Malaysia and Petronas". Selepas BN mengambil aih semula kerajaan negeri pada pilihanraya tahun 2004, kes ini tidak pernah dibuang (dropping the lawsuit).
Sejak tahun 2004 kerajaan negeri di bawah BN menerima antara RM1 billion dan RM1.5 billion tunai setiap tahun dan jumlah ini sekitar 90% daripada bajet tahunan negeri. Ketika kerajaan negeri di bawah PAS menerima RM432 juta, harga minyak mentah setong ketika itu ialah sekitar US$25 hingga US$26 setong (per barrel). Tetapi hari ini harga minyak mentah di sekitar US$70 setong.

Ketidaktelusan pengagihan wang ehsan untuk manfaat rakyat Terengganu juga mendapat rungutan dan bantahan oleh banyak pihak dan rakyat Terengganu wajar mengetahui penerimaan pembayaran wang ehsan ini dan ke mana ianya telah dibelanjakan oleh kerajaan negeri selama 10 tahun ini.
Oleh itu JIM Terengganu mendesak agar hak penerimaan royalti ini dikembalikan semula oleh kerajaan Pusat dan kerajaan negeri mesti telus di dalam pengagihan dan perbelanjaan wang rakyat Terengganu ini! JIM juga menyeru agar rakyat Terengganu dapat turun beramai-ramai ke majlis dialog isu royalti minyak Terengganu bersama Razaleigh Hamzah anjuran bersama Majlis Pemuafakatan Rakyat Terengganu (MAMPAT) dengan badan-badan gabungan NGO seluruh Terengganu pada 18 Mac 2010 ini di Terengganu Equestrian Resort (TER) di Kuala Terengganu.
*Kenyataan media oleh Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) Negeri Terengganu.
No comments:
Post a Comment