Pemangku Raja Saman Setiausaha Sulit Palsu
Krisis Istana Kelantan:Tengku Muhammad Faris Saman Tengku Abd Aziz
Pemangku Raja Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra memfailkan saman bagi memohon perintah mahkamah bahawa pelantikan Pengerusi Majlis Perajaan Negeri Tengku Abdul Aziz Tengku Mohd Hamzah 25 Mac lepas sebagai Pemangku Raja Kelantan adalah tidak tidak sah dan terbatal.
Tengku Muhammad Faris (gambar) memfailkan saman pemula itu pada 11 pagi semalam di pejabat pendaftaran Mahkamah Tinggi Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas di sini, melalui peguam yang mewakili baginda, Zainur Zakaria.
Dalam saman itu baginda menamakan diri baginda sebagai plaintif pertama, Kerajaan Negeri Kelantan dan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, sebagai plaintif kedua dan ketiga manakala adinda baginda Tengku Muhammad Fakhry, Datuk Wan Hashim Wan Daud, yang mendakwa dirinya sebagai setiausaha sulit Sultan Kelantan, dan Tengku Abdul Aziz sebagai defendan.
Turut disertakan dengan saman itu ialah afidavit sokongan yang diikrarkan Tengku Muhammad Faris pada 27 Mac lepas dan juga perakuan segera oleh Zainur.
Zainur dalam perakuan itu memohon mahkamah supaya menyegerakan perbicaraan kes itu atas alasan pergolakan yang berlaku di Kelantan akibat tindak tanduk oleh Wan Hashim yang menamatkan Tengku Muhammad Faris sebagai Pemangku Raja telah menimbulkan kekeliruan, ketidaktentuan dan kegelisahan kepada negeri dan rakyat Kelantan.
Katanya sekiranya kes itu tidak disegerakan pendengarannya, pihak plaintif khuatir bahawa kemudaratan yang lebih serius akan dilakukan oleh Wan Hashim.
Mahkamah menetapkan 5 April ini untuk sebutan kes itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas, Datuk Aziah Ali.
Tengku Muhammad Faris dalam saman itu antara lain memohon deklarasi bahawa pelantikan Tengku Abdul Aziz sebagai Pemangku Raja oleh Wan Hashim adalah tidak sah dan terbatal, dan deklarasi bahawa pengumuman oleh Wan Hashim dan Tengku Abdul Aziz mengenai penamatan baginda sebagai Pemangku Raja pada 24 Mac lepas adalah tidak sah dan terbatal.
Baginda juga memohon deklarasi bahawa Wan Hashim tidak mempunyai sebarang kuasa atau otoriti dengan apa cara bentuk untuk mewakili atau bertindak bagi pihak Sultan Kelantan dalam urusan dan pelaksanaan tugas Sultan Kelantan dalam hal ehwal negeri itu.
Putera Raja Kelantan itu juga memohon perintah injunksi bagi menghalang Tengku Abdul Aziz daripada menrepresentasi atau mendakwa dirinya sebagai “Pemangku Raja” dan daripada mengganggu atau mencampuri tugas dan kuasa Pemangku Raja (Tengku Muhammad Faris) berkaitan urusan dan hal ehwal kerajaan negeri sehingga perintah mahkamah selanjutnya.
Baginda juga memohon perintah injunksi bagi menghalang kesemua defendan melalui wakil-wakil atau ejen-ejen mereka dalam bentuk apa cara sekali pun dari menrepresentasikan diri mereka mempunyai kuasa bagi mewakili atau bertindak bagi pihak Sultan Kelantan dalam hal ehwal kerajaan negeri sehingga perintah mahkamah selanjutnya.
Tengku Muhammad Faris memohon perintah injunksi bagi menghalang defendan-defendan daripada mencampuri atau mengganggu pelaksanaan fungsi dan tugas kerajaan negeri Kelantan dan setiausaha kerajaan negeri dalam pentadbiran negeri, sehingga keputusan mahkamah.
Baginda juga memohon kos dan lain-lain relif oleh mahkamah.
Antara alasan yang dikemukakan oleh Tengku Muhammad Faris dalam saman itu ialah baginda adalah Pemangku Raja Negeri Kelantan setelah dilantik oleh Majlis Perajaan Negeri Kelantan melalui pemasyhuran bertarikh 24 Mei 2009 kerana Sultan Kelantan gering dan tidak boleh menjalankan tugas hal ehwal negeri.
Baginda berkata selaku Pemangku Raja, menurut undang-undang baginda mempunyai kuasa untuk menjalankan segala urusan berkenaan dan berkaitan hal ehwal negeri itu sehingga Sultan Kelantan disahkan oleh Majlis Perajaan telah sembuh dan boleh menyambung semula tugas sebagai Sultan.
Baginda berkata Sultan Kelantan masih gering dan tiada sebarang perisytiharan oleh Majlis Perajaan bahawa Sultan telah sembuh dan boleh menyambung semula tugasnya.
Pemangku Raja itu berkata tindakan defendan dengan mempresentasikan diri mereka mempunyai kuasa untuk mewakili Sultan Kelantan dalam urusan hal ehwal negeri telah melanggar dan mencabul kuasa baginda sebagai Pemangku Raja, selain menggugat dan menjejaskan pelaksanaan tugas baginda sebagai Pemangku Raja.
Tengku Muhammad Faris berkata Tengku Abdul Aziz secara salah dan tidak sah mengisyhtiharkan, mengatakan atau mendakwa dirinya sebagai Pemangku Raja.
Baginda berkata tindak-tanduk Wan Hashim bukannya sahaja salah di sisi undang-undang malah ianya telah menimbulkan kegelisahan dan kekeliruan di kalangan orang ramai.
Tengku Muhammad Faris berkata sekiranya defendan-defendan tidak dihalang daripaa terus melakukan tindak tanduk yang bertentangan dengan undang-undang, ianyaakan mempunyai impak yang serius kepada pentadbiran dan rakyat Kelantan. — Bernama
No comments:
Post a Comment