Friday, March 5, 2010

KEADILAN Terus Mantap - 50,000 Ahli Baru, 17 Lagi Cabang

Posted by rakyat marhaen

Oleh Jamilah Kamarudin

KUALA LUMPUR 5 Mac - KEADILAN tidak akan hancur, rosak, mahupun binasa hanya kerana 3 Ahli Parlimennya keluar daripada parti walau apa jua alasan dibangkitkan.

Demikian menurut Setiausaha Agung KEADILAN Saifuddin Nasution Ismail ketika mengulas mengenai tindakan tiga ahli Parlimen yang keluar parti.

Malah katanya walaupun parti menerima publisiti negatif sejak kebelakangan ini keadaan tersebut tidak menjejaskan sokongan rakyat terhadap KEADILAN.

Ini dapat dibuktikan apabila keahlian baru bertambah secara luar biasa hampir 50,000 orang sejak awal tahun ini.

Selain itu, KEADILAN juga menerima kelulusan daripada Pertubuhan Pendaftar (ROS) untuk mewujudkan 17 lagi cabang - 14 di Sarawak, 1 di Sungai Besar, Selangor, dan 2 di Putrajaya.

"Ini kerana KEADILAN tegas dalam menegakkan prinsip perjuangan iaitu menegakkan keadilan untuk semua dari segi ekonomi, institusi negara yang bebas tanpa campur tangan kuasa eksekutif, ini jaminan kita," katanya dalam satu rancangan temubual di Astro Awani semalam.

Ahli Parlimen Machang ini turut menyangkal dakwaan Ketua Pasukan Pemikir Umno Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo yang mendakwa isu keluar parti terjadi ekoran masalah dalaman parti yang mengamalkan sistem autokrasi dan hilang kepercayaan terhadap pimpinan parti.

Sambil menegaskan isu individu keluar parti bukanlah perkara baru, malah ia berlaku sejak dari dulu lagi, Saifuddin berkata alasan yang diberikan untuk keluar parti tidak menggambarkan keseluruhan sistem pengurusan dalaman parti itu.

"Sejarah menunjukkan sejak dulu lagi ada tokoh negara seperti Datuk Onn Jaafar dan Tun Hussein Onn yang keluar Umno. Begitu juga dengan tokoh dalam parti politik lain, malah melihat contoh kepada Parti Progresif Sabah (SAPP) yang keluar dari komponen Barisan Nasional (BN) sendiri selepas 8 Mac 2008.

"Alasan untuk keluar parti berbeza-beza. Masing-masing mempunyai pendapat dan alasan tersendiri untuk keluar parti seperti mempunyai perbezaan dengan cara pengurusan parti, ada masalah sendiri, dan sebagainya.

"Cuma kebelakangan ini tumpuan melalui media diberikan kepada KEADILAN dengan memberikan gambaran bahawa parti ini bakal hancur, musnah hanya dengan dua, tiga orang sahaja yang keluar parti," katanya.

Saifuddin turut membidas dakwaan bekas Menteri Besar Selangor itu apabila mengaitkan corak politik "tidak matang" Pakatan Rakyat yang mengamalkan "hatred politic" (politik kebencian) terhadap Barisan Nasional untuk meraih sokongan pengundi muda.

Walaupun beliau tidak menafikan perkara tersebut, namun perkara sama juga dilakukan Umno-BN, malah lebih teruk apabila meniupkan api kemarahan sehingga mampu menggugat kestabilan perpaduan antara kaum di Malaysia.

Mengambil contoh ucapan bekas Pegawai Khas Perdana Menteri, Datuk Nasir Safar yang membangkitkan isu sensitiviti kaum secara terang-terangan, beliau turut mengkritik program Biro Tata Negara yang disifatkan beliau sebagai "serangan senyap" Umno-BN menanam politik kebencian antara kaum dan juga terhadap Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

No comments: