Tuesday, March 16, 2010

Lebih 3 Batu Nautika Bukan Alasan Tolak Royalti

Posted by RAKYAT MARHAEN


oleh Jamilah Kamarudin
KUALA LUMPUR 16 Mac - Ahli Parlimen Kubang Kerian Salahuddin Ayub hari ini berkata jarak telaga minyak melebihi tiga batu nautika bukanlah alasan untuk Kelantan tidak memperoleh hasil royalti daripada Petronas.
Ini dibuktikannya melalui contoh dua dokumen perjanjian royalti Petroleum Kelantan pada 19 Mei 1975 melalui Menteri Besar ketika itu Allahyarham Datuk Nasir Muhammad serta dokumen perjanjian Petronas dengan kerajaan Terengganu pada 16 September 1978.
"Dalam surat yang dihantar Petronas kepada pegawai kewangan Terengganu pada 16 September 1978, telaga minyak di Terengganu itu berada di luar melebihi tiga batu nautika dan surat ini menyebut dengan jelas bahawa anggaran bayaran royalti minyak petroleum pada tahun 1979 berjumlah RM3.2 juta.
"Malah penjanjian antara Petronas dan kerajaan Kelantan yang ditandatangani pada Mei 1975 oleh Menteri Besar ketika itu membuktikan tidak wujud syarat tiga batu nautika dalam hak untuk mendapatkan wang royalti minyak, katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Salahuddin berkata melalui kedua-dua contoh perjanjian tersebut jelas membuktikan isu jarak telaga minyak sejauh tiga batu nautika bukanlah alasan utama kerajaan Barisan Nasional enggan memberikan royalti kepada Kelantan selagi mana ia berada di pesisiran pantai negeri terbabit.
"Tidak timbul langsung isu tiga batu nautika, 'onshore' atau 'offshore', mahupun pemberian wang ihsan kerana yang penting selagi mana ia diletakkan di perairan negeri maka Petronas perlu membayar royalti 5 peratus," katanya.
Beliau menambah bukti ini sekaligus menepis dakwaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini menggariskan syarat perjanjian sesebuah negeri untuk menerima royalti.
"Dua dokumen yang saya kemukan ini merupakan hujah yang cukup kuat untuk kita menafikan langsung tentang isu tiga batu nautika dan isu wang ihsan sepertimana jawapan yang diberikan oleh PM dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada sesi Parlimen yang lepas,” katanya.
Berikutan itu, Salahuddin pada 10 Mac lalu menghantar usul untuk membahaskan isu ini dalam Dewan Rakyat semasa penangguhan sidang Parlimen bagi penggal ini nanti.
Namun usul itu ditolak Speaker Dewan Tan Sri Pandikar Amin Mulia pagi ini atas alasan isu ini bukanlah perkara yang perlu segera diselesaikan.
"Sebagai wakil rakyat Pakatan Rakyat Kelantan, saya berjanji akan terus perjuangkan isu ini dalam perbahasan akan datang kerana banyak lagi bukti dokumen yang akan dibawa kelak," katanya.

No comments: