Monday, April 16, 2012

Suhakam: Pengganti ISA dialu-alukan, tapi perlu kajian semula

SHAH ALAM - Suhakam mengalu-alukan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) atas alasan ia positif ke arah memperbaiki keadaan hak asasi manusia negara, namun mahu Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 yang menggantikannya dikaji semula.
Pengerusinya, Tan Sri Hasmy Agam berkata,  keperluan polisi anti-terorisme bagi menentang keganasan dan menjaga keselamatan negara memang diperlukan.
Bagaimanapun menurut beliau, pihaknya tetap dengan pendiriannya bahawa peruntukan dalam rang undang-undang tersebut dan pindaan ke atas undang-undang lain mestilah seimbang antara keselamatan negara, kebebasan asasi serta hak asasi manusia.

“Suruhanjaya mengalu-alukan dan menyokong usaha Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk reformasi demokrasi dan untuk melindungi hak asasi manusia serta kebebasan, sepertimana janji beliau dalam perutusan khas Hari Malaysia pada 15 September 2011.
“Suruhanjaya ambil maklum keperluan polisi anti-terorisme bagi menentang keganasan dan menjaga keselamatan negara, namun Suruhanjaya tetap dengan pendiriannya bahawa peruntukan dalam Rang Undang-undang tersebut serta pindaan ke atas undang-undang lain yang berkaitan mestilah mencari keseimbangan antara keselamatan negara dan kebebasan asasi serta hak asasi manusia," kata beliau.
Pagi tadi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan mahu Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 untuk bacaan kali kedua.
Menurut beliau, kerajaan telah mengambil keputusan mengadakan tujuh lindung jamin berikutan penggubalan Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.
Perdana Menteri berkata, antara langkah yang diadakan dalam rang undang-undang baru yang bertujuan menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 ialah tiada seseorang boleh ditangkap atau ditahan atas kepercayaan atau aktiviti politiknya.
Mengulas lanjut, Hasmy berkata, usaha Najib untuk reformasi demokrasi dan melindungi hak asasi manusia serta kebebasan, sepertimana janji beliau dalam perutusan khas Hari Malaysia pada 15 September lalu adalah disokong.
“Gesaan Perdana Menteri kepada polis pada 12 April (lalu) agar mengimbangkan antara tugas mereka dalam memastikan ketenteraman dan keselamatan awam dan menghormati hak individu.
“Kami maklum bahawa sesetengah daripada peruntukan  dalam rang undang-undang ini adalah mematuhi syor-syornya yang terkandung dalam laporan Review of the Internal Security Act 1960 yang diterbitkan pada tahun 2003,” katanya dalam satu kenyataan media petang ini.
Ujarnya, dalam laporan tersebut, Suhakam mengesyorkan agar ISA dimansuhkan dan undang-undang baru yang komprehensif digubal bagi menggantikan akta terbabit terutamanya bagi menangani ancaman keselamatan negara (termasuk keganasan) tetapi dengan peruntukan yang sejajar dengan prinsip-prinsip hak asasi manusia.
“Rang Undang-undang baru ini menyatakan bahawa polis dibenarkan menahan suspek hingga tempoh 29 hari bagi tujuan siasatan, di mana selepas tempoh tersebut suspek akan dibebaskan atau didakwa mengikut kesalahan keselamatan yang ditetapkan.
“Suhakam mengalu-alukan fasal untuk semakan semula peruntukan mengenai tempoh tahanan pada tiap-tiap lima tahun dan ia hendaklah terhenti berkuat kuasa melainkan jika dilanjutkan,” katanya.
Tambah Hasmy, Suhakam berharap tiga isu berkaitan rang undang-undang tersebut dapat diselesaikan antaranya, kuasa penangkapan dan penahanan di bawah Fasal 4 tidak menyediakan pemerhatian kehakiman dalam melanjutkan tempoh tahanan sehingga 28 hari.
Selain itu, walaupun Fasal 5 membenarkan pemberitahuan kepada waris kadim apabila seseorang itu ditangkap dan ditahan, polis mempunyai kuasa menafikan tahanan tersebut untuk mendapatkan segera khidmat peguam untuk tempoh sehingga 48 jam.
Yang terakhir, peruntukan yang membenarkan kuasa memintas komunikasi di bawah Fasal 4(6) Rang Undang-undang tersebut boleh mencabul kebebasan peribadi dan hak kepada privasi.
Katanya, kuasa ini sepatutnya dilaksanakan melalui arahan mahkamah.
Sehubungan itu, Suhakam memandang penglibatan secara berterusan agensi-agensi kerajaan, khususnya Jabatan Peguam Negara dan pihak berkepentingan lain untuk memastikan undang-undang lapuk dan tidak relevan dimansuhkan, seterusnya diganti dengan undang-undang yang konsisten dengan prinsip hak asasi manusia sejagat.
Ujar beliau, dalam melaksanakan fungsinya sebagai sebuah institusi hak asasi manusia nasional, Suhakam akan terus memantau pelaksanaan undang-undang baru dan undang-undang relevan yang dipinda.
Langkah ini, menurut beliau, bagi memastikan bahawa mereka mematuhi prinsip-prinsip dan norma hak asasi manusia antarabangsa khususnya Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948.

No comments: