logo_psc
SHAH ALAM - Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) mengenai pilihan raya mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merangka satu kod etika tatalaku berkenaan kerajaan sementara ketika negara mengadakan pilihan raya umum.
Kod etika tatalaku itu terpakai kepada kerajaan peringkat negeri dan pusat sebaik sahaja Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) dibubarkan.
Sebagai salah satu daripada 22 syor yang dikemukakan, PSC berkata, SPR disyorkan menyediakan satu garis panduan dan kod etika tatalaku, dalam tempoh tiga bulan dari hari ini, yang terpakai bagi mana-mana pihak yang kena menjalankan fungsi kerajaan sementara sehinggalah satu kerajaan yang baru dibentuk di peringkat persekutuan atau negeri.

"Jawatankuasa (PSC) mengambil maklum cadangan diwujudkan kerajaan sementara selain kerajaan yang memerintah sebaik selepas Parlimen dibubarkan bertujuan bagi memastikan negara ditadbir sementara
kerajaan yang baru dibentuk," katanya lagi.
Keperluan mewujudkan kerajaan sementara dan tatacara pentadbiran seringkali mendapat perhatian apabila negara mengadakan pilihan raya umum pusat dan negeri.
Syor itu selari dengan pandangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) minggu lalu, yang mengadakan pihaknya akan mengusulkan kepada kerajaan  supaya ada garis panduan dalam pengurusan ‘caretaker government’ atau kerajaan sementara apabila Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (Dun) dibubarkan.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Mohd Shukri Abdull berkata, langkah itu perlu bagi mengelakkan penyalah­gunaan aset kerajaan, termasuk penggunaan kenderaan rasmi kerajaan untuk urusan rasmi dan juga pilihan raya.
Katanya, pada masa ini tiada peruntukan undang-undang dalam perkara tersebut.
“Penggunaan kenderaan pada masa itu memang tidak boleh, tetapi sebelum ini ianya digunakan oleh semua parti, Barisan Nasional dan pembangkang, termasuk Kerajaan Negeri.
“Ini bermakna semua pihak membuat perkara yang sama (iaitu mengguna kenderaan rasmi kerajaan),” katanya menjawab soalan penonton pada  Wacana Sinar Harian Ke-12 minggu lalu.