KUALA TERENGGANU - Presiden Amanah (Angkatan Amanah Merdeka) YBM Tengku Razaleigh Hamzah dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kepada dua anak raja Terengganu yang hadir dalam Majlis Pelancaran Amanah di sebuah hotel di sini Pada Sabtu 6 April lalu.
Kedua-dua anak raja itu adalah Tengku Ibrahim, Tengku Seri Paduka Raja Terengganu dan Tengku Raja Dato’ Kamarul Bahrin.
Beliau yang juga anak raja Kelantan berkata, kedua-dua anak raja Terengganu itu telah sudi dan sanggup menjemput beliau untuk bertemu rakyat Terengganu dan memberi ruang kepadanya memperkenalkan Amanah.
Apa yang menarik, yang sama, terpacul dari mulut ketiga-tiga anak raja itu adalah isu yang bekait dengan royalti petroleum.
[Gambar atas - dari kanan; Tengku Paduka, Tengku Razaleigh, Raja Kamarul Bahrin dan Tengku Ahmad Hussin]
Raja Kamarul Bahrin dalam ucapan alu-aluannya selaku koordinator Majlis tersebut menyebut negara Malaysia dan negeri Terengganu terlalu bergantung kepada sumber pendapatan petroleum, minyak dan gas.
Menurutnya dalam bajet yang dibentang oleh kerajaan negeri Terengganu baru-baru ini, 95% hasil negeri bergantung dari Dana Khas yang disalurkan, nama lain bagi nama royalti petroleum yang telah diselewengkan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN).
Sehubungan itu, Tengku Paduka, terus sahaja membuka ucapannya selaku Penaung MAMPAT memperoalkan mengapa kerajaan Umno/BN pusat tidak mahu menjelaskan royalti petroleum kepada kerajaan PAS Kelantan dan merampas royalti tersebut dari kerajaan PAS Terengganu.
Menurutnya, negeri Kelantan dan Terengganu adalah dua negeri yang mempunyai majoriti penduduk Melayu dan yang menguasai kerajaan pusat adalah Umno yang juga mengaku sebagai sebuah parti Melayu.
“cuba kita lihat kerajaan Kelantan yang dipimpi oleh PAS telah memohon kepada kerajaan persekutuan untuk diberi hasil (royalti) minyak bukan banyak cuma RM1 bilion sahaja,
“kerajaan PAS di Kelantan adalah sebuah kerajaan Melayu, penduduk negeri Kelantan berjumlah 96% orang Melayu,
“mengapakah tidak diterima rayuandan permohonan kerajaan Kelantan untuk mendapat wang royalti ini,”soal Tengku Paduka.
Beliau yang juga bekas ADUN Tanggul dari Parti Melayu Semangat 46, menempelak sikap pemimpin Umno Terengganu yang disifatkannya sebagai takut untuk berdepan dengan pemimpin Umno Pusat.
Menurutnya sejak royalti menjadi wang ehsan ketika PAS memerintah Terengganu dan kini menjadi dana Khas, kerajaan Pusat telah berhutang sebanyak RM5 bilion
“Setakat ini kalau tak salah saya wang royalti ini tertunggak lebih kurang RM5 bilion, ini yang duk main sorong tarik tak beri juga,
“kerajaan (Terengganu) yang ada pada hari ini adalah kerajaan BN, kerajaan Pusat adalah kerajaan (Umno)BN, hok duk sini tu duk takut, takut nak main kasar sikit, takut peteh keting, dia (Umno) sama dia (umno) pun tak beri pitih,”tegasnya.
Tengku Razaleigh pula memulakan ucapannya mengungkap sejarah ketika beliau menjadi Pengerusi Petronas dan isu yang berkaitan dengan royalti petroleum.
Beliau dalam sesi soal jawab, selain mengupas soal royalti Petroleum, Ku Li menolak dasar kerajaan Umno/BN membawa buruh asing sehingga menyebabkan kebanjiran ‘warga asing’ kelas bawahan yang tidak membawa manfaat yang banyak.
Malah katanya, ia menyebabkan banyak masalah social dan menimbulkan malapetaka kepada keselamatan Negara.
Ku Li turut menceritakan bagaimana kerajaan negeri Terengganu yang diwakili Menteri Besar ketika itu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad menandatangani perjanjian Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA 1974) di serambi rumah rasmi ketika hujan pada waktu hampir maghrib.
Katanya, perjanjian PDA 1974 yang dibuatnya sendiri adalah ‘perjanjian bodoh’ sahaja yang mudah difahami.
“kita tandatangani perjanjian itu senang saja, tidak ada perkara yang pelik yang dimasukkan dalam perjanjian itu,
“tidak ada kaitan langsung dengan undang-undang pada masa itu, apatah lagi undang-undang darurat yang sering dikaitkan oleh ‘lawyer’ Umno,
“undang-undang darurat dibuat pada tahun 1969, Akta kemajuan Petroleum dilulus oleh parlimen dalam tahun 1974, ‘bodoh’ lawyer (Umno) ni,”kata Ku Li.
Katanya, ia adalah ‘simple contract obligation’ dan tidak perlu pergi ke mahkamah Persekutuan kerana senang difahami.
Dalam sidang media selepas Majlis tersebut, beliau yang juga bekas menteri Kewangan menegaskan selagi wang royalti dibayar dengan nama wang ehsan atau dana khas, ia bukanlah wang royalti.
Wang royalti adalah, menurutnya, dibayar terus kepada kerajaan negeri oleh Petronas, bukan dibayar oleh kerajaan pusat.
Disebalik kritikan kepada dasar dan perlaksanaan kerajaan Umno/BN, Ku Li masih sayangkan Umno dan tidak berhasrat meninggalkan parti itu.
Ada dikalangan khalayak yang hadir mempersoalkan, bagaimana orang ramai mahu memberikan amanah kepada ‘Amanah’ kerana Presiden Amanah masih lagi manjadi ahli kepada parti umno yang tidak amanah.
Walaupun Ku Li mengakui terdapat penyelewengan dan salah laku yang dilakukan oleh para pemimpin Umno, beliau tidak akan keluar Umno seperti tindakanyang diambil oleh Timbalan Presiden Amanah, yang juga Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.
Ku Li terus terang menyatakan beliau kurang percaya dengan janji-janji yang dikemukakan Pakatan Rakyat.
Beliau menganggap dirinya tidak berdosa seperti pemimpin Umno yang lain, walaupun masih menjadi ahli Umno.
“apa jaminan yang Pakatan rakyat itu lebih baik daripada Umno, beritahu saya….. berjanji senang kita buat bagaimana kita hasilkannnya bukan mudah…..,
“saya walaupun menjadi anggota Umno, masih menjadi anggota Umno, tidak bererti saya ini berdosa seperti orang lain, kerana saya tak buat dosa, saya masih menegur saya masih mengkritik apa yang tak betul……,”katanya. -BO
No comments:
Post a Comment