PKR tunggu surat rasmi Zaid
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, parti akan menunggu surat rasmi daripada Zaid yang merupakan Pengerusi Perhubungan PKR Wilayah Persekutuan sebelum menerima bulat-bulat keputusan itu.
"Setakat ini setiausaha agung parti belum menerima surat rasmi daripada beliau. Jadi kita tunggu surat rasmi beliau sebelum membuat apa-apa keputusan," kata Anwar kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Zaid juga dalam blognya memaklumkan bahawa beliau menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden parti.
Anwar bagaimanapun tidak menolak kemungkinan bahawa Zaid membuat keputusan untuk mengundurkan diri daripada bertanding jawatan itu berikutan prestasi yang mengecewakan pada pemilihan di Sabah pada hujung minggu lalu.
"Sekarang ini belum ada kenyataan rasmi, ini cuma reaksi awal setelah keputusan di Sabah. Saya pun tidak tahu sejauh mana pengesahan keputusan di Sabah.
"Kalau saya boleh bagi pandangan saya katakan ini hanyalah pertandingan biasa, persahabatan, ia tidak harus menjejaskan komitmen kepada perjuangan dan juga parti dan juga kedudukan lain," kata beliau yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh.
Berhubung dakwaan Zaid, beliau menarik diri kerana PKR membenarkan penyelewengan dan penipuan pada pemilihan itu bagi mencapai tujuan mereka, Anwar berkata isu berkenaan telah ditangani oleh setiausaha agungnya, Saifuddin Nasution Ismail.
Katanya, Saifuddin telah menjelaskan secara panjang lebar berhubung dakwaan penipuan undi oleh penulis blog, Haris Ibrahim dengan menjelaskan bahawa kertas undi yang berlainan warna dikeluarkan setiap minggu.
"Saya sendiri tidak tahu (warna kertas undi). Ia langkah bijak oleh pihak parti," katanya.
No comments:
Post a Comment