PRU 13: Pakatan Rakyat P Pinang sudah sedia
GEORGETOWN, 22 Nov: Pakatan Rakyat Pulau Pinang bersedia berhadapan dengan jentera Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan raya Umum ke-13 (PRU 13) pada bila-bila masa sahaja.Semua jentera Pakatan Rakyat yang menggabungkan tiga parti iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan PAS telah menyatakan pergerakan dan persetujuan bersama dalam Majlis Pelancaran Jentera Pilihan raya yang diadakan di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) malam tadi sempena Konvensyen Pakatan Rakyat Pulau Pinang.
Pelancaran yang ditandatangani oleh Timbalan PKR Pulau Pinang, Law Choo Kiang yang mewakili pengerusinya, Datuk Mansor Othman, Timbalan DAP Pulau Pinang, Lim Hock Seng yang mewakili pengerusinya, Chow Kon Yeow serta Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Saleh Man.
Law Choo Kiang dalam ucapanya mahukan kerajaan menonjolkan aktiviti menjurus kepada rakyat supaya program yang diatur menepati sasaran.
Beliau tidak mahu Pakatan 'syok sendiri' sebaliknya bersungguh-sungguh memperkemaskan sistem komunikasi untuk berkongsi maklumat bagi menjalinkan kekuatan menghadapi fitnah yang dilemparkan oleh BN.
"Kita kena jauhkan sindrom Mac 2008 yang menyaksikan kemenangan Pakatan Rakyat dan jangan terlalu yakin untuk mengulanginya tanpa ada usaha yang padu dilakukan oleh ketiga-tiga parti, sebaliknya rancang dan agendakan program terus ke dalam masyarakat," tegasnya.
Bagi Lim HockSeng pula, DAP kena bangun dan bingkas pada setiap pergerakan dan usah lagi melangkah secara perlahan kerana langkah sebegitu selalunya disekat oleh Umno dan BN.
Katanya, mereka melemparkan berbagai tuduhan palsu demi mendapatkan semula undi terutamanya masyarakat Cina yang telah berpatah arang ekoran terlalu banyak penyelewengan BN sewaktu berkuasa.
Mendampingi rakyat jelata tambahnya, merupakan jalan terbaik untuk Pakatan Rakyat menyalurkan maklumat secara terus, bukan menerusi media pro BN yang lidah bercabang dan tidak bersikap profesional.
"Semua tuduhan palsu kena dinafikan secepat mungkin kerana ia sedikit sebanyak memberi kesan pada kita.
“Apa pun, setakat ini semua yang dilemparkan terhadap Kerajaan Pakatan Rakyat berjaya diatasi sekaligus memakan diri BN dan konco-konconya," katanya.
Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Saleh Man pula mahukan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat memperbanyakkan program kebajikan.
Bukan itu sahaja, malahan usaha mendaftarkan ahli atau pengundi hendaklah dicergaskan supaya Pakatan Rakyat tidak terlalu menaruh harapan kepada kelemahan pentadbiran dahulu.
"Kita kena cari sasaran kita sendiri dengan menengahkan sesuatu isu bukan mengharapkan isu nasional yang kadang-kadang tidak menimbulkan kemarahan penduduk," jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir.
Konvensyen Pakatan Rakyat bertemakan 'Kerajaan Berjiwa Rakyat, Memartabatkan Rakyat' yang pertama kali diadakan turut membincangkan lima kertas kerja.
Ucaptama yang disampaikan oleh Setiausaha Agung DAP yang juga Ketua Menteri, Lim Guan Eng bertajuk ‘Kerajaan Berjiwa Rakyat: Memartabatkan Rakyat' turut menarik perhatian wakil Jepun, Tetsuro Kai dan wakil Indonesia, Chilman Arisman yang hadir sama pada majlis itu. -Hrkh
No comments:
Post a Comment