Tuesday, November 9, 2010

300 ribu Rela undi pos untuk tawan Selangor?

KUALA LUMPUR, 9 Nov: PAS mengharapkan supaya penambahan anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) seramai 300,000 di Selangor pada tahun 2011 tidak mempunyai agenda politik Umno BN untuk menawan negeri itu melalui taktik undi pos.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad mengharapkan sasaran pertambahan mendadak anggota Rela di Selangor tidak menjadi tiket untuk mereka didaftar sebagai pengundi pos dalam pillihan raya umum akan datang.

PAS, tegasnya memang meragui kewibawaan undi pos dalam setiap kali pilihan raya kerana ia adalah simpanan tetap BN.

“Sudah lama PAS menuntut undi pos dihapuskan kerana kita mempunyai bukti daripada bekas anggota tentera yang bertugas selama ini tidak tahu siapa yang undi kertas mereka,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru, ujarnya pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu telus dan jangan menjadi tali barut BN ketika mengendalikan urusan pilihan raya.

Baru-baru ini, tambahnya rakyat telah dikejutkan tindakan SPR berhubung kumpulan pengundi 'hilang layak undi awam' yang berjumlah 18,493 orang dalam Rang Daftar Pemilih Suku Ketiga 2010.

Dan lebih mencurigakan, katanya jumlah tiga negeri paling ramai pengundi “hilang layak undi awam” ialah Kelantan (3,187), Kedah (2,876) dan Perak (2,007).

Menurutnya, PAS menganggap itu adalah tindakan untuk mengepung supaya tembok Umno BN tidak runtuh dan diserbu oleh Paktan Rakyat di negara ini.

Justeru, beliau mengharapkan supaya semua jentera pilihan raya di semua peringkat sentiasa mengambil berat mengenai daftar pemilih dan memerhatikan senario tersebut.

“PAS mengharapkan jentera PAS dan Pakatan Rakyat di Selangor perlu serius menanggani perkara ini. Modus operandi untuk tawan Terengganu 2004 dahulu dengan menambah pengundi sedang berjalan di Selangor.

“BN terlalu mengidam Selangor, berbanding negeri-negeri lain, kerana Selangor lubuk emas dan balang oksigen Umno,” ujarnya. -Hrkh

No comments: