PEMILIHAN PARTI : CONTOHI DAN AMBIL IKTIBAR DARI PAS
Setiap kali pemilihan parti di dalam PAS, ianya berjalan dengan baik  dan tidak menimbulkan masalah. Ahli-ahli PAS telah ditarbiah bahawa  kedudukan dan pangkat bukanlah matlamat kita berjuang. Apa yang penting  kita sama-sama bergabung tenaga mendaulatkan perjuangan Islam. Sebab itu  kita diajar walau apa sahaja posisi dan kedudukan kita di dalam parti  tiada apa-apa keistimewaan di sisi Allah. Apa yang penting dan dikira  oleh Allah ialah ketaqwaan dan keikhlasan.
Sebab itu seorang  Presiden parti belum tentu lebih mulia dari seorang penampal poster di  sisi Allah. Tarbiah ini yang ditekankan oleh PAS sehingga kita terus  kukuh dan istiqamah menegakkan kebenaran dan menentang kebatilan lebih  dari 50 tahun tanpa banyak masalah. Parti-parti lain seperti Semangat  46, Parti NASMA, Usno, Parti Negara, PEKEMAS, SDP dan sebagainya sudah  lama berkubur kerana ideologi yang tidak meletakkan Islam sebagai  panduan dan matlamat mereka.
Sepanjang pembabitan saya lebih dari  30 tahun di dalam PAS sejak dari bangku sekolah rendah lagi saya dapat  melihat betapa ikhlas pejuang-pejuang parti mempertahankan aqidah  perjuangan walaupun mehnah dan tribulasi membadai mereka. Ada Pak Cik  dan Mak Cik dikampung yang kais pagi makan pagi kais petang makan  petang, namun masih berupaya menginfakkan tenaga, kudrat, masa dan  sedikit wang ringgit untuk kelangsungan perjuangan Islam ini. Semua ini  tidak lain dan tidak bukan kerana mereka yakin apa sahaja sumbangan yang  diberikan untuk Islam akan dibalas oleh Allah di hari yang tidak ada  gunanya lagi harta dan anak pinak kecuali kita bertemu Allah dengan hati  yang sejahtera.
Pengalaman saya bersama perjuangan Islam  walaupun sedikit tetapi banyak mengajar saya erti semua perjuangan yang  memerlukan pengorbanan. Setiap kali pemilihan kita tidak nampak  perebutan jawatan yang ketara seperti dalam parti lain. Saya sendiri  yang diberikan amanah memimpin PAS Kawasan Bukit Katil setelah  diamanahkan sahabat-sahabat kerana masing-masing menolak. Insya Allah  bila sampai masanya saya juga akan berundur kerana sudah ada sahabat  yang saya lihat mampu meneruskan panji-panji Islam di kawasan saya ini.
Kita  diajar supaya tidak meminta jawatan dan menawarkan diri untuk memegang  apa-apa jawatan. Tetapi jika kita diberikan amanah kita mesti memikulnya  kerana maslahat jemaah dan kepentingan Islam bukan kepentingan diri.
Malangnya  ada orang berjuang kerana pangkat dan kedudukan. Bila dilihat ada  peluang untuk menang pilihanraya dan menjadi kerajaan maka ramailah  berlumba-lumba untuk bertanding jawatan dalam parti. Apakah ini yang  dinamakan ikhlas. Di saat kita berada dalam kesusahan semua orang  menjauhkan diri dari parti dan tidak mahu masuk campur. Tetapi bila  diwar-warkan kita akan ke Putrajaya maka berduyun-duyun menawarkan diri  untuk bertanding. Mereka mula memasang kaki dan campaign manager  menjelajah ke seluruh negara. Perangai Umno mereka warisi!. Ada yang  mencanangkan bahawa cara pemilihan yang melibatkan semua ahli adalah  terbaik dan pertama kali diamalkan oleh parti politik di Malaysia.  Tetapi apa guna jika caranya baik tetapi orangnya hampeh dan  mendukacitakan. Mewarisi perangai Umno!
Lebih baik masuk Umno kalau perangai buruk Umno masih menjalar dalam batang tubuh individu sebegini.
Alhamdulillah  perangai ini tiada dalam PAS. Kita yakin dan percaya ahli-ahli dan  pimpinan PAS akan terus istiqamah dan ikhlas dalam perjuangan kerana  matlamat kita ialah untuk mendapat keredhaan Allah bukan kemuliaan  manusia. Tahun depan PAS sekali lagi akan menjalankan pemilihan.  Walaupun mungkin pilihanraya sudah hampir tetapi PAS akan tetap  meneruskan perlembagaan parti kerana PAS tahu pemilihan dalam parti  tidak akan mengucar kacirkan PAS tidak seperti Umno dan parti-parti  lain. Matlamat kita hanyalah kepada Allah. Jawatan dan kedudukan tidak  penting.
Maka kita mengharapkan semangat dan tauladan yang ada  dalam PAS akan kekal dan dicontohi oleh sesiapa sahaja yang mahu  berjuang menegakkan keadilan dan kebenaran. Jangan kita hanya bercakap  di mulut tetapi tidak menzahirkannya melalui tindakan dan amalan  seharian kita.
 
 
No comments:
Post a Comment