IHRAM: Menyamaratakan Darjat Manusia
Seruan haji bergema kembali menghimpunkan umat Islam dari segenap penjuru dunia dalam melaksanakan tanggungjawab Rukun Islam kelima.
Para jemaah haji akan menghadap ke arah kiblat yang sama dengan hanya membawa keperluan yang terhad.
Bahkan, mereka pergi hanya berbekalkan beberapa helai pakaian dan keperluan tertentu serta meninggalkan segala harta benda di kampung halaman masing-masing untuk mencari keredaan Ilahi.
Ketika ihram, jemaah haji akan memakai dua helai kain putih. Simboliknya tentang pakaian ihram itu adalah ia melambangkan persamaan darjat bagi semua manusia yang menunaikan seruan ibadah haji.
Mereka sama sekali dilarang memakai sebarang pakaian berjahit dan bercantum. Tidak kira sesiapa pun, etika pakaian mereka tetap sama iaitu pakaian ihram.
Pangkat dan darjat tidak membawa sebarang makna tetapi iman serta amalan menjadi pengukur untuk dijadikan bekalan di akhirat kelak.
Pakaian ihram menjadi pelindung badan mereka pada waktu panas terik dan sejuk semasa menunaikan haji.
Ia turut mengikis segala perbezaan di kalangan jemaah sekali gus mengukuhkan lagi kesatuan umat Islam di seluruh dunia.
Dalam pada itu, dua helai kain putih itu memberi sekelumit gambaran kecil bahawa mereka hanya memakai beberapa lapis kain kafan sebagai penutup badan ketika menghadap Tuhan pada saat kematian.
No comments:
Post a Comment