RON95 Cetus Api Dalam Kemalangan? Fomca Gesa Kerajaan Kaji Dakwaan
Kaji dakwaan RON95 cetus api dalam nahas
KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (Fomca) menggesa agensi kerajaan dan pihak berkaitan mengkaji penggunaan bahan bakar RON95.
Gesaan itu dibuat berikutan terdapat dakwaan penggunaan bahan bakar berkenaan menjadi salah satu faktor kenderaan mudah terbakar apabila terbabit kemalangan.
Pengarah Komunikasi Fomca, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, walaupun dakwaan itu belum terbukti, satu kajian perlu dilakukan bagi memastikan bakar itu selamat digunakan pengguna kenderaan.
“Ada desas-desus mengenai penggunaan RON95 sebagai salah satu faktor kenderaan mudah terbakar. Bagaimanapun, dakwaan itu belum terbukti.
“Namun, perkara ini perlu dipandang serius dan pihak tertentu sewajarnya mengkaji kebarangkalian kebenaran dakwaan itu,” katanya.
Beliau mengulas mengenai jumlah kemalangan membabitkan kenderaan yang terbakar sehingga meragut nyawa kian meningkat kebelakangan ini.
Sabtu lalu, empat bersaudara rentung apabila kenderaan dinaiki terbakar selepas bertembung sebuah treler di Kilometer 119, Jalan Kuantan-Segamat, Pahang.
Mohd Yusof bagaimanapun tidak menolak kemungkinan kecuaian pemilik kenderaan menjadi salah satu faktor kenderaan terbakar apabila terbabit dalam kemalangan.
“Kini kebanyakan pemilik kenderaan gemar mengubah suai kenderaan di bengkel yang tidak bertauliah sehingga berlaku masalah pendawaian yang memudahkan kenderaan terbakar,” katanya. -metro
No comments:
Post a Comment