Monday, November 29, 2010

Jangan anggap isu Ketuanan Melayu akan jana aliran undi, kata penganalisis

KUALA LUMPUR, 30 Nov — Isu Ketuanan Melayu yang tercetus semula membabitkan PKR dan pesaingnya Umno, di sebalik cakap-cakap akan adanya pilihan raya umum ke-13 awal tahun depan, dilihat tidak akan mengganggu gugat sokongan akar umbi, sekali gus menyebabkan perubahan arah aliran pengundi, kata penganalisis dan pemerhati politik.
Para pengundi termasuk kaum Melayu lebih memfokus untuk melihat hasil dasar-dasar membabitkan rakyat di kedua-dua peringkat kerajaan negeri persekutuan dan negeri, dan akan terpikat dengan kenyataan-kenyataan retorik seperti isu Ketuanan Melayu.
Pemimpin-pemimpin Umno dan penyokong mereka telah melancarkan sokongan terhadap PKR dengan dakwaan kononnya telah mengkhianati kaum sendiri ekoran kenyataan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail agar orang Melayu meninggalkan penggunaan perkataan Ketuanan Melayu atas alasan ia memperdayakan orang Melayu sendiri.
Dalam ucapan dasar pada Kongres Nasional PKR Sabtu lalu, Dr Wan Azizah berkata konsep Ketuanan Melayu harus “ditinggalkan” kerana ia hanya memperdayakan bangsa Melayu sendiri.
Beliau berkata konsep tersebut hanya digunakan sekumpulan kecil elit Melayu yang berkuasa untuk memperdayakan orang Melayu.
“Ketuanan Melayu adalah slogan yang digunakan oleh sekumpulan kecil elit Melayu yang berkuasa untuk memperdaya orang Melayu yang ramai demi kepentingan diri sendiri. 
“Mereka adalah manusia yang melakukan rasuah, korup, pecah amanah dan pelbagai kebejatan lagi. Selama 53 tahun mereka berkuasa, nasib Melayu dan Bumiputera, masih tetap terabai,” katanya.
Menurut Dr Wan Azizah, orang Melayu dan Bumiputera di negara ini sedang mengalami nasib hidup yang sangat menyedihkan.
Penganalisis politik Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, kenyataan Presiden PKR itu boleh dilihat sebagai satu langkah strategi bagi Umno untuk mengambil pendirian tegas, yang kemungkinan akan menyebabkan sikap menyampah di kalangan pengundi bukan Melayu.
“Saya tidak melihat ia akan menjadi satu isu. Mungkin di kalangan pengundi Melayu kawasan luar bandar tetapi tidak di kalangan pengundi-pengundi bandar yang berpelajaran dan khususnya tidak di kalangan pengundi-pengundi muda,” kata beliau.
Sivamurugan berkata, pilihan raya umum 2008 telah mengubah pemikiran pengundi di mana sokongan bulat-bulat bukan lagi satu norma.
“Pengundi-pengundi lebih rasional dan mahu melihat pelaksanaan GTP, ETP, konsep 1 Malaysia.
“Mereka mahu melihat dasar-dasar ini diterjemahkan dalam bentuk aktiviti dan program di peringkat bawah,” kata beliau.
“Saya melihat mengapa Wan Azizah berbuat demikian adalah kerana mahu mendapatkan semula sokongan bukan Melayu dan mengalih pandangan daripada apa yang berlaku ketika pemilihan parti,” katanya lagi.
Katanya, PKR telah kehilangan sokongan daripada kalangan bukan Melayu selepas beberapa calon termasuk bekas pesaing jawatan timbalan presiden Datuk Zaid Ibrahim muncul dengan dakwaan bahawa pemimpin utama parti bercampur tangan dalam soal pemilihan.
Sehubungan itu menurut Sivamurugan, setakat ini kedua-dua parti berkenaan dilihat hanya bergantung pada kelemahan masing-masing dengan harapan ia akan membawa perubahan dalam pilihan raya umum akan datang.
Malah Sivamurugan juga berkata kemungkinan isu “Ketuanan Melayu” akan menjejaskan PKR sendiri kerana pengundi-pengundi muda mahu melihat lebih banyak pencapaian dalam pelaksanaan agenda reformasi termasuk di negeri-negeri yang dikawal oleh Pakatan Rakyat. “Bagaimana dengan hasilan pilihan raya umum ke-13, ia masih satu teka-teki,” kata beliau.
Pemerhati politik James Chin juga melahirkan pendapat yang senada bahawa isu Ketuanan Melayu tidak akan mengalih sokongan kepada kedua-dua parti dalam pilihan raya umum akan datang.
Bagaimanapun menurut beliau, pandangan Dr Wan Azizah itu akan membawa peralihan yang akan signifikan semasa pilihan raya umum ke-14 khususnya di kalangan pengundi-pengundi muda.
Kata beliau, mesej itu akan mendapat penerimaan baik di kalangan pengundi generasi muda dan pengundi-pengundi berpotensi yang kebanyakannya banyak membaca dan mengembara.
Kata beliau, mereka tidak akan menerima hujah bahawa orang Melayu sahaja akan menerajui.
“Keseluruhan konsep Ketuanan Melayu ialah mereka mesti nombor satu dalam semua bidang (tidak kira), dalam politik, dalam ekonomi, sosial,” kata beliau.
Justeru ahli akademik dari Monash University ini memuji kerana Dr Wan Azizah merupakan pemimpin pertama dari parti dominan Melayu itu, sejak 1970-an, menyeru akan dihentikan hujah mengenai konsep Ketuanan Melayu, satu konsep yang dipercayai berasaskan kepada Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.
“Kenyataan Wan Azizah adalah sesuatu yang bersejarah dari segi standard rakyat Malaysia. Ia kali pertama sejak 1970-an. Tiada pemimpin Melayu lain berbuat demikian. Mesej yang beliau mahu sampaikan ialah Umno-BN adalah parti politik rasis,” kata beliau lagi.
“Apa yang beliau cuba hendak sampaikan konsisten dengan pendirian PKR sejak 10 tahun lalu.
“PKR menggambarkannya sebagai parti pelbagai kaum. Ia satu penegasan semula perkara itu, tetapi tiada pihak yang datang dan bercakap mengenainya,” kata beliau.
Dalam pada itu, penganalisis Prof A. Aziz Bari dari Universiti Islam Antarabangsa berkata, kenyataan Dr Wan Azizah bukan sesuatu yang baru.
“Sebenarnya banyak pihak sudah mengatakan perkara itu. PAS sebagai contoh, telah menolak Ketuanan Melayu sejak (era) (bekas presiden) Fadzil Noor lebih satu dekad lalu.
“Dan, kita tahu bahawa ungkapan ini tiada kaitan dengan kedudukan orang Melayu dalam Perlembagaan. Ia satu terma yang dibawa oleh Tan Sri Abdullah Ahmad pada 1986,” kata beliau.
Abdullah merupakan bekas anggota Majlis Tertinggi Umno dan pernah menjadi Ahli Parlimen Kok Lanas serta pernah mengetuai New Straits Times Press.
Aziz juga berkata, kenyataan Dr Wan Azizah itu satu langkah strategi untuk meletakkan Umno dalam kedudukan defensif dan untuk mendapatkan semula sokongan di kalangan orang Melayu dan kawasan bandar dengan menarik Umno agar mengikut “rentak” mereka.
“Bagi saya, ia satu usaha untuk mengekalkan pengundi-pengundi bukan Melayu dan memberitahu orang Melayu bahawa Umno boleh dicampakkan,” kata beliau dengan menambah, Umno sebagai parti lama sudah hilang tapak sebagai penjaga dan pelindung orang Melayu.
Sebagaimana dikatakan oleh Sivamurugan, Aziz juga mengatakan bahawa orang Melayu pada keseluruhannya lebih berminat untuk melihat bagaimana Putrajaya dan kerajaan-kerajaan negeri akan melaksanakan dasar-dasar awam dan tidak terbawa-bawa dengan isu Ketuanan Melayu.

No comments: