Banjir: BN hanya berlakon, tuduh melulu
KUALA LUMPUR, 7 Nov: Dakwaan Kerajaan Persekutuan bahawa Kerajaan Negeri Kedah melepaskan tanggungjawab untuk membantu mangsa banjir di negeri itu adalah tuduhan melulu, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.
Mahfuz yang juga ahli Parlimen Pokok Sena berkata, sejak dari awal banjir melanda negeri itu, kerajaan negeri sudah mengambil tindakan membantu mangsa banjir termasuk memastikan pusat penempatan sementara mencukupi.
(Gambar: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak turun bertanya khabar mangsa banjir di pusat pemindahan)
"Tuduhan mengatakan kerajaan Negeri Kedah tak ambil tahu masalah mangsa banjir satu tuduhan yang sangat melulu, yang dibuat oleh Barisan Nasional.
"Kerajaan negeri menyediakan bantuan untuk diagihkan kepada mangsa banjir termasuk sumbangan daripada PAS sendiri, wakil-wakil rakyat dan sumbangan orang ramai," kata Mahfuz ketika dihubungi Harakahdaily pagi ini.
Ujarnya, media hanya membuat laporan berdasarkan kenyataaan pempimpin Umno, tanpa mengikuti sendiri perkembangan dan usaha yang dilakukan kerajaan negeri.
"Media juga memberikan laporan yang tak betul. Kata tak ada pemimpin Pakatan Rakyat yang turun dan sebagainya. Media tak pernah pun ikut kita. Kita pun tak fikir waktu banjir ini nak panggil media, tak sempat nak tunggu media datang untuk kita redah kawasan banjir.
"Kalau nak tunggu media datang baru nak pergi kawasan banjir, bermasalah juga. Mana nak jaga orang media, mana nak bawa bantuan, bot pun tak cukup.
"Kita tak ada masa nak ambil gambar, nak berlakon, jadi kita pergi semata-mata untuk bagi bantuan. Sharizat datang sehari dua sahaja, bukan pergi semua kawasan pun," katanya.
Menurutnya juga, keadaan banjir di negeri itu sudah semakin pulih namun ada beberapa kawasan yang masih ditenggelami air.
Beliau memberitahu, kerajaan negeri masih meneruskan pemberian bantuan khususnya bekalan makanan dan air bersih.
"Banjir makin pulih dan sebahagian besar mangsa sudah pulang.Tapi masak dan makan minum masih di pusat penempatan. Dijangka esok sebahagian besar mangsa akan pulang ke rumah masing-masing.
"Bantuan masih diperlukan kerana kita nak pastikan setelah pulang dari pusat pnempatan, mereka dapat bagi tumpuan untuk cuci rumah yang mengalami banyak kerosakan dan harta benda.
"Kita akan bagi apa-apa sumbangan yang ada dalam stok kita khususnya air bersih kerana di kawasan tertentu bekalan air terputus," katanya lagi.
Mahfuz juga memaklumkan, misi bantuan banjir di kawasannya akan bergerak ke Kampung Empa dan Kampung Seberang Paya di Dun Bukit Lada hari ini untuk menghantar bantuan kepada mangsa di kawasan itu yang terputus hubungan dengan kawasan lain sejak beberapa hari yang lalu.
"Penduduk di sana terputus hubungan dengan kawasan lain. Bomba pun tak berani nak pergi sebab bot mereka kecil dan arus deras," jelasnya.Bekalan makanan juga akan dihantar ke Dun Bukit Pinang hari ini. -Hrkh
No comments:
Post a Comment