Wednesday, September 19, 2012

Hina Islam: Umno, hentikanlah hipokrasi

Saya mulakan ulasan ini dengan mengungkapkan setinggi-tinggi syukur saya ke hadhrat-Nya kerana menunjukkan saya jalan-Nya yang lurus ini, iaitu iman dan Islam. Namun begitu, saya turut ingin melahirkan rasa sedih dan kecewa atas sikap serta perangai buruk sesetengah mereka yang kononnya mengaku beriman dan seorang Islam tetapi dalam masa yang sama telah berkali-kali menodai kesucian dan maruah agama ini tanpa segan dan malu. Memang benar sekali, penghinaan terang-terangan terhadap Islam di negara kita dimulai sekitar tahun 1980-an lagi; malah, ketika pentadbiran sebelumnya, kalau adapun berlaku perselisihan faham PAS-Umno mengenai agama, tidaklah begitu tersiar secara eksklusif. Justeru, rasanya umum sudah tentu boleh mengagak, siapakah sebenarnya punca terhadap gejala tidak bermoral ini.

Juga, kenyataan Tun Mahathir yang pernah disiarkan dalam stesen televisyen pada Februari 1996 mempersenda hukum hudud jelas sekali mencerminkan kedangkalan penghayatannya terhadap rukun iman itu sendiri, apatah lagi sanggup mempersenda sunnah Rasulullah SAW menyimpan janggut, umpamanya. Walhal, dalam masa yang sama, mereka jugalah yang bersandiwara sehingga kini kononnya merekalah pemimpin dan pentadbir Islam agung yang patut dicontohi, dengan menyajikan slogan dan program-program kosmetik semata-mata.


Bukankah jelas pada zaman Tun Abdullah (Pak Lah) dengan pendekatan Islam Hadharinya, dan kini, YAB PM pula dengan konsep wasatiyahnya, masalah umat Islam kita tidak selesai, malah makin parah? Lebih menyedihkan, kedapatan pula mereka yang dipanggil "ulama" sanggup bersengkongkol.

Sedangkan pada masa yang sama ada kalangan mereka yang benar-benar ikhlas jiwanya ingin berbakti kepada negara hanya kerana Allah, apabila mengulas hukum-hakam dengan sebenarnya, boleh dimusuhi pula? Nah, bukankah ini tindakan hipokrasi (munafiq) namanya? Juga, bagaimana pula dengan sesetengah menteri yang berhujah menggunakan dalil naqli untuk menegakkan benang basah yang turut disokong para “ulama” ini, menyebabkan kita sekalian menjadi lebih keliru?

Oleh itu, pada hemat saya, hikmah di sebalik penerbitan filem 'The Innocence Of Muslims' yang tidak bertanggungjawab itu ialah, setidak-tidaknya membangkitkan kembali keinsafan umat Islam, khasnya kita di Malaysia ini, akan gejala buruk golongan kafir dan munafiq yang ingin terus memastikan nur Islam ini terhapus, sekaligus timbul rasa sensitif kita untuk mempertahankan kesucian nur Allah ini. Dengan itu, saranan Naib Presiden PAS itu sewajarnya direnung dengan penuh keseriusan, dan marilah kita bersama-sama mengenepikan sebarang perbezaan dan sentimen remeh-temeh serta bertaubat kepada-Nya. Semoga setelah ini, umat Islam dan negara Malaysia tercinta ini akan aman sentosa beroleh berkat, ampunan, rahmat dan redha-Nya dunia dan akhirat.

No comments: