KUALA LUMPUR- Rakyat Sabah dan Sarawak wajar menyambut tawaran yang digariskan dalam Deklarasi Kuching dengan memilih calon Pakatan Rakyat pada plihan raya umum ke-13 akan datang.
Pesuruhjaya PAS Sabah, Aminudin Aling (kanan) berkata tawaran yang diberikan kepada rakyat Sabah yang terkandung dalam deklarasi tersebut membawa seribu kebaikan sekiranya Pakatan Rakyat memenangi pilihan raya umum.
"Sudah sampai masanya, rakyat Sabah membuat perubahan dengan memilih calon Pakatan Rakyat bagi membolehkan kita menikmati tawaran yang dijanjikan Pakatan Rakyat," tegas beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.
Beliau yang mengalu-alukan deklarasi tersebut, berkata selama ini rakyat Sabah terpinggir dari kekayaan, biarpun Sabah mempunyai hasil bumi yang begitu kaya untuk dinikmati bersama.
Dalam pada itu, Aminudin juga berkata momentum di Sabah juga semakin menarik berikutan beberapa pemimpin Barisan Nasional bertindak meninggalkan parti tersebut dan menyokong Pakatan Rakyat.
Katanya, dengan pembabitan tokoh-tokoh tersebut dilihat dapat membantu menggerakkan kempen Pakatan Rakyat di negeri bawah bayu tersebut.
"Mereka tidak putus-putus meminta rakyat memilih calon daripada PAS, DAP dan PKR bagi memastikan BN tidak boleh kekal lama di Sabah," tegas beliau lagi.
Katanya lagi, dalam siri jelajah Pakatan Rakyat, deklarasi tersebut akan terus diterangkan ke akar umbi bagi memastikan penduduk di Sabah dapat membuat perubahan.
Harapan tersebut turut dikongsi bersama Pesuruhjaya PAS Sarawak, Adam Ahid (kiri) yang meminta pengundi di Sarawak mengambil pengajaran daripada Sabah.
"Sabah sudah beberapa kali menukar kerajaan, namun tidak Sarawak. Bagaimanapun, kita mengharapkan rakyat Sarawak akan membuat perubahan dengan memberi peluang kepada Pakatan Rakyat menerajui Sarawak," kata beliau.
Bagaimanapun, beliau berkata rakyat Sarawak sentiasa melihat perkembangan di Semenanjung dalam usaha membuat perubahan pada tampuk kepimpinan.
Katanya, mereka lebih suka melihat Semenanjung membuat perubahan terlebih dahulu sebelum mereka bertindak serupa.
Deklarasi yang dinamakan Deklarasi Kuching ditandatangani pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat semalam mengariskan tujuh perkara pokok bagi membela rakyat Sabah dan Sarawak.
Antara lain ianya bertujuan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat Sabah dan Sarawak serta pembangunan kedua-dua negeri.
Malah ianya juga sebagai komitmen Pakatan Rakyat untuk menghormati Perjanjian Malaysia 1963.
Deklarasi tersebut telah ditandatangani Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang di Chong Ling Park, Kuching, petang 16 Sept lalu.
Deklarasi tersebut diumumkan pada Sambutan Hari Malaysia peringkat Pakatan Rakyat yang diadakan di Sarawak.
No comments:
Post a Comment