Thursday, February 3, 2011

Solat hajat untuk pelajar Mesir Jumaat ini

KOTA BAHRU, 3 Feb: Satu solat hajat untuk keselamatan pelajar di Mesir akan diadakan pada hari Jumaat ini selepas kuliah mingguan dari Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, di Medan Ilmu.

Sehubungan itu, semua rakyat Kelantan yang berkesempatan diajak untuk bersama-sama dalam solat ini.

“Selepas kuliah pagi Jumaat ini, saya hendak mengadakan sembahyan hajat. Oleh tu, semua yang hadir pada kuliah pagi Jumaat tu supaya bersedia dengan air sembahyang,” kata Nik Aziz kepada Harakahdaily.

Beliau juga meminta agar kerajaan pusat segera membawa pulang semua pelajar dan rakyat Malaysia di Mesir.

Ujarnya, beliau menyerahkan kebijaksanaan kerajaan Malaysia cara untuk membawa pulang semua pelajar dan rakyat Malaysia.

“Pelajar-pelajar Malaysia disana pun tak boleh nak belajar, jadi lebih bawa balik semua mereka yang berasa di Mesir,” ujarnya lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui oleh Harakahdaily di pejabatnya pagi tadi selepas menerima kunjungan hormat dari Panglima Wilayah Laut 1, Markas Wilayah Laut 1, Pangkalan TLDM Tanjung Gelang Kuantan, Laksamana Pertama Datuk Pahlawan Mohamad Roslan Mohamad Ramli.

Sementara itu,semalam Persatuan  Alumni Keluarga Pelajar Kelantan Mesir juga menggesa kerajaan Malaysia berusaha membantu pelajar negara ini pulang ke tanah air.

Pengerusinya, Zulkifli Mat Yusof, pada sidang medianya berkata tindakan itu perlu dilakukan segera bagi membantu pelajar yang kini berada di negara yang penuh dharurat itu sebelum nasi menjadi bubur.

Pada sidang medianya semalam ibubapa pelajar yang kini belajar di sana turut hadir untuk turut menggesa kerajaan Pusat membantu pelajar.

“Masaalah tidak akan selesai sekiranya pelajar dibawa masuk ke negara ketiga,”ujarnya.

Sambungnya, keadaan pelajar kini tidak lagi selamat berikutan ketegangan itu berlaku.

Lebih 11,000 pelajar Malaysia kini sedang mengikuti pengajian di sana, di mana 1,281 orang adalah dari Kelantan.

Salah seorang pelajar yang selamat pulang, Tengku Nur Farah Ain Qistina Tuan Kamarulbahrain, mengakui keadaan tegang menyebabkan rakyat Mesir termasuk pelajar dalam ketakutan.

Bukan itu sahaja, makanan juga semakin berkurangan berikutan semua urusan jual beli dan sebagainya telah terputus termasuk bank juga tidak lagi beroperasi.

“Sewaktu saya ke airport untuk pulang, mereka hanya memohon doa keselamatan untuk mereka disamping membawa mereka pulang ke tanah air,”ujarnya.

No comments: