Monday, February 21, 2011

Malaysia beli peralatan pertahanan itu dengan harga 'gila-gila'

Apakah benar kos peralatan pertahanan negara melambung tinggi sehingga mencecah RM 6 bilion untuk enam kapal peronda pesisir pantai OPVs? Wartawan Harakah, NYZA AYOB cuba mengcungkil isu ini dari kaca mata Brig. Jen (B) Abdul Ghani Mahludin yang berpengalaman luas dalam bidang ketenteraan selama 31 tahun. Pada awal 1980-an beliau memegang jawatan Pengarah Perancang Pertahanan di Bahagian Staf Perkhidmatan Bersama, Kementerian Pertahanan sebelum bersara pada 1984.


Berdasarkan pengalaman saudara terlibat dalam bidang ketenteraan dan pertahanan negara, boleh jelaskan sedikit apa prosedur bagi sesuatu pembelian peralatan keselamatan negara?

BRIG. JEN (B) ABDUL GHANI: Saya terlibat dengan perancangan pertahanan negara berakhir pada 1982. Waktu itu perancangan yang saya buat bersama kumpulan saya selesai untuk kegunaan sehingga tahun 2000. Dalam pasukan tersebut kita tentukan untuk beli alat tempoh kegunaannya untuk 20 tahun. Ia termasuk untuk kegunaan tentera laut, tentera darat dan tentera udara. Prosedurnya kita lakukan tender dengan syarikat-syarikat daripada negara yang membuat peralatan tersebut. Dan mereka bida seterusnya kita beli dengan harga terbaik. Ia sama seperti  tender yang lain.  Bagaimana pun, saya tidak terlibat dengan urusan pembelian senjata atau peralatan ketenteraan. 

Jadi, apa peranan saudara?

Saya terlibat dalam merancang apa bentuk senjata yang kita perlukan. Musuh kita sekian rupa, ancaman kita sekian rupa, jadi bagaimana hendak mempertahankan negara? Contohnya pada waktu dahulu musuh kita yang terjauh ialah Vietnam. Jadi kita perlu beli kapal terbang, sampai ke sana jatuhkan bom dan patah balik. Jika tidak sempat balik dan tidak cukup minyak, kita kena beli kapal terbang untuk review mid air. Itu perancangan saya. Yang membeli peralatan tersebut angkatan tertentu. Mereka yang beli kapal terbang tentera udara atau kapal laut tentera laut. Saya cuma menetapkan apakah jenis senjata yang diperlukan untuk mengadap musuh sebelum musuh sampai ke negara kita.

Sejauh mana peralatan yang dibeli itu boleh membantu pertahanan negara?

Pada masa itu perancangan yang kita buat boleh bertahan untuk masa-masa tertentu sebelum kita minta bantuan daripada negara lain. Masa itu kita bersahabat dengan pertahanan lima negara iaitu Malaysia, Singapura, Australia, New Zealand dan Britain. Kita ada menandatangani pertahanan skim lima negara. Malaysia salah satu daripada ahlinya. Maksudnya sekurang-kurangnya kita mesti pertahankan negara kita sebelum negara-negara lain dapat bantu kita.

Sepanjang maklumat yang diperolehi, adakah terdapat masalah  ketirisan dalam pembelian peralatan pertahanan negara memandangkan kita dapati harga yang dibeli semuanya tinggi?

Sewaktu saya berkhidmat dahulu, kami berbincang iaitu terdapat dua cara membeli senjata ini iaitu secara terus menerus. Bermakna kita membeli senjata negara ke negara (government to government).
Lazimnya pembelian senjata pertahanan negara tidak boleh dibeli terus daripada syarikat yang mengeluarkan. Ia hendaklah diluluskan oleh kerajaan tersebut barulah boleh dijual. 
Katakanlah kita hendak membeli sesuatu peralatan dari Amerika, kerajaan kita mesti mendapat persetujuan dahulu daripada negara itu. Apabila kerajaan Amerika dah luluskan barulah boleh jual dan barulah kita boleh beli. 

Bagaimana dengan kaedah 'orang tengah'?

Sejak zaman saya berkhidmat  lagi didapati Malaysia suka menggunakan kaedah 'orang tengah'. Biasanya orang tengahlah yang buat duit. Ini saya berani cakap. Semasa saya merancang pertahanan negara dahulu pun, sudah nampak perkara ini berlaku. Contohnya bagi harga peralatan tersebut kita kena bayar RM 1 juta tapi kita bayar RM2 juta. RM1 juta untuk orang tengah. Syarikat tersebut terima tidak sampai pun RM2 juta. Itu contohnya. Kemungkinan besar harga terlampau tinggi kerana adanya 'orang tengah' -  
BRIG. JEN (B) ABDUL GHANI: Berdasarkan laporan audit negara setiap tahun, Kementerian Pertahanan sering menerima kritikan mengenai kaedah perbelanjaan  yang peruntuk. Ini menunjukkan kementerian gagal buat pertimbangan?

Iya gagal itu... seperti kita menuntut ilmu, jika ada kesalahan cikgu akan membuat pembetulan dan komen tetapi ada kalanya kita buat tidak kisah. Itulah yang saya sifatkan di Kementerian Pertahanan.  Orang tegur buat tidak tahu sahaja. Sebab jawapannya... ini pertahanan negara. Sewaktu saya berkhidmat dahulu ada orang menggunakan kiasan pertahanan negara ini seperti insurans. Kita ambil insurans ini untuk keluarga kita, apabila kita meninggal atau apabila kita sudah tua, insurans tu digunakan semasa kita hidup. Jadi orang yang sekarang gunakan tidak dapat. Apabila kita sebut insurans premiumnya agak tinggi.

Jadi kenapa Malaysia beli peralatan pertahanan itu dengan harga 'gila-gila' tingginya berbanding harga sebenar?

Mengapa? Saya tidak dapat jawab. Tetapi saya boleh katakan antara sebabnya kerana menggunakan 'orang tengah'. Satu lagi sebab tentera tidak pegang duit. Senjata yang dibeli itu bahagian kewangan Kementerian Pertahanan yang bertanggung jawab. Kami tidak dibenarkan menggunakan wang. Kami boleh buat sesuatu, hantar bil pada mereka. Sebelum kami hendak beli, kami kena minta approval. Jika hendak beli kapal berharga RM1 juta, bagi tahu kepada mereka dan mereka memberi kebenaran untuk beli kapal tersebut dengan nilai RM1 juta. Apabila dapat bil, mereka yang akan bayar. Sama ada  mereka bayar RM1 juta atau lebih, kita tidak tahu. Kami tidak tahu perkara tersebut. Memang peraturan di Kementerian Pertahanan, pihak awam yang memegang bil dan duit, kami di pihak tentera cuma memilih barang apa yang hendak beli dan kami sentiasa dinasihatkan beli barang yang murah tetapi memenuhi keperluan pertahanan.

Pada pandangan saudara, kenapa kerajaan perlu bayar komisyen yang tinggi kepada 'orang tengah'?

Itu saya tidak dapat jawab juga. Kalau saya jawab saya menuduh orang. Dan mungkin tidak tepat. Saya boleh katakan sebagai contoh kita beli durian daripada orang kampung. Orang kampung jual satu bakul. Tapi saya jual di pasar mengikut harga saya. Mengapa kita beli peralatan pertahanan melalui orang tengah? Ia sama jugalah seperti orang kampung yang tidak dapat menjual terus kepada pembeli. Dia dah cipta sistem.

Mungkin 'orang tengah' boleh dipercayai dalam merahsiakan maklumat mengenai pembelian tersebut?

Dalam soal menentukan kemampuan alat itu bukan dia yang berhak. Dia yang menentukan harga. Yang menentukan alat itu baik atau tidak adalah tentera sendiri. Berdasarkan pengalaman saya, terdapat pegawai yang berpangkat kapten yang menguji alat tersebut dan mengesyorkan kepada orang atasan sama ada patut atau tidak peralatan tersebut dibeli. Soal menentukan peralatan memang pihak tentera tentukan tetapi mengenai pembelian peralatan dan harga ditentukan pihak lain iaitu pihak awam yang bertanggung jawab terhadap kewangan.

Sebagai contoh dalam kes pembelian kereta perisai, Malaysia beli daripada syarikat yang tidak berpengalaman dalam bidang teknologi dan pembuatan. Apa risiko atau kesannya kepada negara?

Jika tidak mempunyai pengalaman dalam pembuatan tersebut, dibimbangi apabila sampai waktu senjata itu nak digunakan... bertempur, kereta perisai tersebut hanya boleh digunakan untuk tempoh yang singkat sahaja. 
Berdasarkan pengalaman juga, apabila kita beli sesuatu alat itu, kita juga beli teknologi bagaimana hendak memperbaiki kerosakan tersebut. Bukan beli begitu sahaja. Kita ada juruteknik kita sendiri untuk  memperbaiki kerosakan tersebut -
BRIG. JEN (B) ABDUL GHANI: Mungkinkah terdapat salah guna kuasa dalam isu pembelian peralatan pertahanan?

Daripada segi harga yang disebut sebagaimana yang didedahkan dalam Harakah iaitu enam kapal peronda pesisir pantai OPVs yang didakwa 870 peratus lebih mahal daripada bayaran yang dibuat negara lain untuk kapal yang sama, kemungkinan memang ada. Jika tidak, kenapa sampai 870 peratus lebih mahal. Ia memang terlampau tinggi dan hampir 1000 peratus. Pada pendapat saya memang terdapat manipulasi daripada orang tengah. Itu saya berani cakap kerana berdasarkan pengalaman saya sendiri. Ia memang lebih mahal daripada negara lain yang membelinya. 

Kerajaan mengatakan pembelian kereta perisai tersebut tinggi kerana pemindahan teknologi...

Pemindahan teknologi itu merupakan satu keperluan kita. Begitu juga dengan negara lain. Seperti New Zealand, negara tersebut tidak mempunyai teknologi untuk membuat kapal. Negara itu juga perlukan teknologi. Tetapi kenapa negara tersebut dapat beli peralatan dengan harga lebih murah. Pendek kata pemindahan teknologi itu standard. Jadi kita memang kena latih orang kita untuk perbaiki segala kerosakan. Adakah kapal peronda yang dibeli ini yang baru atau yang lama? Kenapa perlu harga tinggi sangat? Kegunaan peralatan ini, hanya pihak tentera atau gerak gempur saja yang tahu. Orang awam biasanya memang tidak tahu. Itu alasan yang biasa mereka bagi. Pada saya alasan tersebut, alasan sedia ada. Bila alasan teknikal, orang bukan teknikal memang tidak boleh jawab.

Sebagai seorang yang cukup berpengalaman dalam pertahanan negara, apakah harapan tuan agar isu seperti ini dapat diselesaikan?

Kita memang akui peralatan pertahanan memang mahal. Dan apabila kita membelinya, kita bukan menggunakannya seperti menggunakan kereta untuk tempoh kegunaan sepuluh tahun. Ia untuk kegunaan 20 tahun dan jika kita boleh perbaiki sendiri kegunaannya sehingga 30 tahun sehingga tidak boleh diperbaiki lagi. Itu bermaksud kita membeli sebahagian daripada teknologi tersebut. Apabila kita gunakan untuk berperang, mesti kita guna dengan 'lasak' dan bukan boleh digunakan secara 'jimat cermat'.  Orang tembak kita, kita tembak orang balik. Jadi, kenapa  kita membeli dengan harga lebih mahal? Memang terbukti negara lain beli lebih murah daripada Malaysia? 

Adakah kita kena tipu? 

Jika kita kena tipu, orang yang bertanggung jawab membeli barangan di Kementerian Pertahanan kena buat semakan semula. Memang jelas kita negara yang beli dengan harga termahal. Kecualilah Kementerian Pertahanan boleh tunjukkan negara mana yang beli peralatan pertahanan ini lebih mahal daripada negara kita. 
Jika memang betul ada negara yang beli lebih mahal dari Malaysia, itu bermaksud Malaysia membeli senjata paling murah. Sepatutnya kita tidak boleh kena tipu. Dan saya berharap sangat kerajaan mesti memberi butiran secara jelas dan tidak memadai dengan alasan pemindahan teknologi. Itu tidak memadai. Sebagai seorang bekas  tentera saya memang menyokong pendedahan yang dibuat Harakah baru-baru ini - tamat

1 comment:

Anonymous said...

apa hal itu dapat memperkuat pertahanan?? :)