Tuesday, April 23, 2013

PRU13: Undi orang muda bakal jadi penentu?


Pilihan Raya Umum ke-13 pada 5 Mei, 2013 nanti dijangka menyaksikan saingan paling sengit sejak merdeka antara Barisan Nasional yang memerintah dengan gabungan pembangkang. Satu kumpulan penting yang akan mempunyai pengaruh signifikan terhadap keputusan pilihan raya nanti ialah pengundi muda yang merupakan 30 peratus daripada keseluruhan pengundi.


Gabungan yang dapat menarik sokongan pengundi muda bakal menawan beberapa buah negeri dan menubuhkan kerajaan di Putrajaya. Pengundi muda dalam hal ini mungkin akan menjadi penentu masa depan politik Malaysia. Persaingan untuk undi orang muda boleh difahami dengan lebih jelas lagi melalui analisis pecahan pengundi berdasarkan umur. Angka Suruhanjaya Pilihan Raya menunjukkan 70 peratus daripada 4.2 juta pengundi tidak berdaftar ialah mereka yang berumur antara 21 hingga 40. Sekitar 450,000 orang mencapai umur 21 tahun setiap tahun, usia layak mengundi. Pada 2008, pengundi muda berperanan penting dalam mengalihkan undi kepada parti-parti pembangkang. SPR telah mendaftarkan 2.4 juta pengundi baharu sejak setahun lalu, atau 30 peratus daripada jumlah yang layak mengundi.
Satu tinjauan oleh Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) mendapati 48 peratus pengundi kali pertama belum memutuskan untuk mengundi mana-mana parti. Tinjauan ini juga menunjukkan perbezaan tipis sokongan kepada kedua-dua gabungan (BN pada 42 peratus dan Pakatan Rakyat pada 37 peratus), corak pengundian pengundi atas pagar ini bakal menjadi penentu keputusan pilihan raya. Ini menjadikan undi orang muda semakin penting. Perkembangan ini dilatari peningkatan usaha kedua-dua gabungan BN dan PR untuk memenangi pengundi muda.
Kerajaan BN telah melaksanakan beberapa siri langkah populis bermatlamat menarik sokongan pengundi belia. Contohnya pada Disember 2012, kerajaan menyediakan rebat RM200 untuk telefon pintar. Kemudian, kerajaan telah mendapatkan artis popular Korea Selatan, Psy untuk membuat persembahan di majlis Tahun Baharu Cina BN di Pulau Pinang yang ditadbir DAP. Pemimpin BN berharap kegilaan terhadap penyanyi pop Korea itu boleh menarik undi untuk BN.
PR juga secara aktif mensasarkan pengundi muda melalui beberapa dasar populis. Antaranya ialah tawaran pendidikan percuma, mengurangkan harga kereta, pelaksanaan gaji minimum lebih tinggi dan mengurangkan harga rumah. Hakikat bahawa kedua-dua BN dan PR mula meletakkan lebih ramai calon muda juga menunjukkan peningkatan kepentingan undi orang muda.
Satu tinjauan oleh Yayasan Asia bertajuk Tinjauan Belia Nasional 2012 menyediakan beberapa gambaran menarik pemikiran politik belia Malaysia. Ramai orang muda cenderung untuk tidak melihat politik melalui kaca mata agama dan kaum. Lebih daripada 71 peratus pengundi muda menunjukkan kecenderungan kepada parti politik yang berbilang kaum dan oleh itu mewakili kepentingan semua rakyat Malaysia tanpa mengira etnik dan agama.
Orang muda juga mungkin lebih prihatin terhadap keadaan ekonomi secara umum seperti pekerjaan, inflasi dan keselamatan. Kebanyakan belia (sekitar 60 peratus) berpendapat kerajaan sekarang agak berjaya menangani soal ini. Walau bagaimanapun, semakin ramai yang bimbang dengan isu korupsi dan kronisme.
Berdasarkan sikap politik dan pemikiran ramai belia Malaysia, beberapa kesimpulan boleh berhubung corak pengundian mereka. Pertama, pendekatan PR yang lebih berbentuk pelbagai kaum boleh menarik orang muda. Strategi Umno berkempen dengan mengutarakan amaran tentang “ancaman” daripada etnik minoriti negara sekiranya PR membentuk kerajaan akan datang mungkin akan mencetus tindak balas negatif kepada parti pemerintah itu. Ini mungkin akan menyebabkan pengundi muda menjauhkan diri daripada pemerintah dan menyebabkan kehilangan undi mereka di kerusi negeri dan parlimen yang penting.
Kedua, kelemahan kerajaan Malaysia menunjukkan keberhasilan dalam menghapuskan korupsi dan kronisme dalam sistem politik bakal menyebabkan pakatan pemerintah kehilangan undi orang muda. Ketiga, sejumlah pengundi muda mungkin akan terus menyokong BN walaupun mereka tidak berpuas hati dengan beberapa aspek urus tadbirnya, kerana percaya yang kerajaan sedia ada masih pilihan terbaik dalam memastikan kemakmuran ekonomi dan keharmonian masyarakat yang telah dinikmati selama ini.
Undi orang muda mungkin menjadi lebih penting di beberapa kawasan yang sengit. Di negeri barisan hadapan seperti Selangor, Kedah, Negeri Sembilan dan Perak yang menyaksikan persaingan sengit, undi orang muda penting dalam menentukan pemenang. Di Selangor, negeri yang BN berusaha keras untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan PR, lebih 600,000 pengundi baharu telah didaftarkan. Corak pengundian pengundi-pengundi ini (yang sebahagian besarnya kemungkinan masih muda) boleh menjadi penentu pemenang. Hal yang sama juga disaksikan di Negeri Sembilan, negeri yang PR memerlukan pertambahan hanya empat lagi kerusi negeri untuk memperolehi majoriti mudah.
Hujah bahawa undi orang muda sahaja mampu menentukan keputusan pilihan raya umum mungkin sesuatu yang berlebihan, tetapi BN berpotensi kehilangan kuasa buat kali pertama sekiranya majority besar pengundi muda dan pengundi Cina sama-sama mengundi pembangkang. Maka, pengundi muda Malaysia menjadi semakin penting dan mampu untuk menjadi factor penentu keputusan pilihan raya. Berdasarkan perkembangan ini, dijangka kedua-dua gabungan parti akan bekerja keras mendapatkan undi penting daripada orang muda dalam peringkat terakhir kempen pilihan raya kali ini.
Mohamed Nawab Mohamed Osman ialah felo penyelidik di Program Malaysia dan Program Islam Kontemporari, di Sekolah Kajian Antarabangsa S Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang, Singapura. Artikel ini ialah terjemahan komentar bertajuk The Youth Vote in GE 2013: Kingmakers in the Making? terbitan RSIS Commentaries.  

No comments: