Tuesday, April 23, 2013

Jabatan Pelajaran disalahguna: Pemantau buat laporan polis



(Laporan polis dibuat pasukan pemantau jam 1.00 pagi di Balai Polis Kota Bharu)

KOTA BHARU: Berikutan suatu maklumat yang telah diterima daripada orang awam, pihak Pemantau Rakyat bagi negeri Kelantan telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Kota Bharu.

Ia berkaitan salahgunakuasa yang melibatkan  pihak tertinggi dalam Jabatan Pelajaran Kelantan, Pegawai Pelajaran daerah Pasir Puteh, SPR Kelantan dan SMK Kamil, Pasir Putih, kata Mohammad Faizal Che Yusof, Ketua Pasukan Pemantau Pilihan Raya Kelantan dalam kenyataannya.

Haji Abu Samah Bin Hassan yang selesai membuat laporan polis pada jam 1:00 pagi, 19 April 2013 lalu turut diiringi 30 orang aktivis-aktivis Pemantau Rakyat yang telah menyertai bengkel pemantauan pilihan raya bertemakan “Pemantau gempur pencabul demokrasi”

Tindakan salahguna kuasa tersebut telah berlaku pada 2 April 2013 (selasa) pada jam 230-500 petang bertempat di Dewan Besar SMK Kamil, Pasir Puteh, Kelantan, yang melibatkan seramai 271 kakitangan SPR.

Program yang dinamakan Wacana Strategik Pembangunan Minda Personel telah disalahguna dengan pengisian kempen Umno dan Barisan Nasional, seterusnya memburukkan Pakatan Rakyat.

Dalam program tersebut, para kakitangan SPR telah dihasut jika mengundi Pakatan Rakyat, kuasa Melayu akan terhakis.

Pelbagai kempen yang dibuat ini amat tidak wajar dan berpatutan, tegas Faizal.

"Suatu yang amat menjijikkan dalam sistem demokrasi bilamana mereka yang terlibat mengendalikan pilihan raya umum terlibat langsung dengan kempen politik dan dipaksa mengundi parti tersebut," tegasnya.

Sehingga hebahan media ini dikeluarkan,  pihak Pemantau Rakyat terus menerima bukti bertulis dan rakaman program-program salahguna dan hasutan yang melibatkan pegawai tinggi dan kakitangan awam.

"Kami tegas untuk sedaya mungkin memastikan PRU 13 dilangsungkan dengan sehabis bebas dan adil. Kami juga memberi amaran keras kepada seluruh agensi awam untuk tidak dipergunakan oleh parti-parti politik khususnya UMNO dan Barisan Nasional bagi mengekalkan sikap profesyenal dan tidak berpihak agensi-agensi awam," kata Mohamad Faizal.

Dengan bukti bertulis dan rakaman yang diterima, pihak Pemantau Rakyat akan memanfaatkan setiap saluran undang-undang yang ada bagi mengekang aktiviti-aktiviti pencabulan demokrasi ini dari terus berlaku pada masa hadapan, katanya.

Bagi beliau, setiap rakyat termasuklah kakitangan awam hendaklah dihormati hak-hak mereka selaku warga Negara dalam membuat pilihan tanpa dipengaruhi dengan unsur-unsur tidak berpatutan serta pelbagai ugutan.

No comments: