Dalam kempen pilihanraya kali ini setiap parti bercakap tentang perubahan dan masing-masing parti
memberikan interpretasi perubahan itu berbeza-beza. Najib hari ini memberikan interpretasi perubahan itu sebagai perubahan dari dalam. Beliau memberikan contoh Felda telah melalui perubahan dari dalam dan tidak perlu perubahan kerajaan.
Di pihak pembangkang, perubahan itu ialah dengan mengubah kerajaan kerana kerajaan sekarang bertanggungjawab menjadikan keadaan negara kita tidak menentu politiknya, tiada arah tujuan yang betul dalam mentadbir kerajaan dan untuk membersihkan kerajaan daripada kegiatan rasuah yang tidak terkawal.
Yang lebih penting lagi perubahan kepada kerajaan terpaksa dilakukan
kerana sememangnya sudah sampai masa BN itu berada dipihak pembangkang
pula setelah BN membina budaya politik perkauman yang terlalu menebal
dalam negara hari ini. Tujuan ‘ultimate’ kita ialah untuk mencapai tahap
perpaduan nasional dan itu adalah idaman semua rakyat yang mempunyai
tahap pemikiran yang bersih dan jernih.
Isu inilah yang saya ingin melakukan sedikit kupasan kerana ini adalah
matlamat terakhir kita sebagai rakyat dalam negara majmuk seperti
Malaysia ini.
Bagi saya definasi perubahan itu ialah perubahan sikap dan mentaliti
dan persepsi kepada sesuatu perkara yang berlaku dan akan kita lakukan
serta cara kita mengambilnya. Pertamanya rakyat ramai berfikir yang
perubahan perlu dilakukan kerana kelemahan yang di tunjukkan oleh UMNO
keterlaluan.
Kelemahan UMNO itu di antaranya ialah penggunaan kuasa dengan
sewenang-wenangnya sehinggakan tidak lagi dapat membezakan yang mana
penggunaan kuasa yang betul dan yang tidak betul. Tidak tahu tindakan
apa yang bertentangan dengan etika demokrasi dan yang mana satu yang
tidak patut dilakukan.
Semuanya ini berlaku kerana UMNO sudah terlalu tersasar dari yang
sepatutnya dilakukan sebagai parti siasah dan politik dan parti itu
tidak membawa bersama roh perjuangannya sejak hampir tiga puluh tahun
lalu. Ramai diantara pemimpin-pemimpin UMNO tidak tahu kenapa dan
mengapa mereka berada dibarisan kepimpinan parti di setiap peringkat.
Ramai terkeliru apa sebenarnya yang menjadikan mereka itu pemimpin.
Adakah wang ringgit dengan permainan politik wang dan sebagainya? Adakah
mereka menjadi pemimpin secara ‘tut’ dengan hanya menjadi pengampu dan
‘court jester’ kepada pimpinan tertinggi atau oleh kerana hubungan
perniagaan dengan pucuk pimpinan yang berniaga bersama dengan rakyat
yang mereka pimpin.
Kekeliruan ini telah berlaku sejak tiga puluh tahun dahulu dan tidak
dapat diselesaikan dan diperbaiki sehingga hari ini. Hasilnya dari
seorang pimpinan ke pimpinan seterusnya kelemahan ini diwarisi sampailah
kepada pimpinan Najib sekarang. Hatta rakyat mula bangkit dan mengambil
segala kesempatan serta berpakat-pakat untuk menyertai program
perubahan yang dirancang oleh rakyat sendiri.
Rakyat biasa yang tidak berpuas hati bersatu dengan mereka yang tidak
mempunyai matlamat yang betul untuk melakukan perubahan itu. Dalam hal
ini semua yang jujur dan setia untuk melakukan perubahan ini bersatu
dengan pihak yang mahu mengambil kuasa kerana semata-mata untuk
mendapatkan kuasa. Berarak lah semua yang telah bersatu ini ke utara dan
ke selatan, ke timur dan ke barat bagi memberikan semangat kepada
rakyat yang ramai untuk bersama.
UMNO begitu panik dan tidak tentu arah sehinggakan pemimpin yang sudah
pencen seperti Dr Mahathir kembali bercakap dan mundar mandir berusaha
mempertahankan UMNO dan BN itu, parti yang beliau sabotaj sendiri dalam
PRU yang lepas. Kalau pihak BN menuduh pihak Pakatan tergila-gila
mendapatkan kuasa, pihak BN juga tergila-gila mempertahankan kuasa
dengan cara yang tidak beretika dan bersalahan dengan semangat demokrasi
sebenarnya.
Isu perkauman menjadi isu hangat dan topik yang lancar di mulut
kedua-dua belah pihak. Mahathir telah membelasah DAP dan PKR yang
dikatakannya kedua-dua parti ini adalah parti rasis tetapi pihak DAP
juga menuduh BN itu ‘coalition’ yang rasis juga yang diketuai oleh MCA
dan lain-lain. Pihak Pakatan juga memainkan isu yang UMNO memainkan isu
rasis dan chauvinis Melayu. DAP telah memaparkan imej yang parti itu
adalah parti 'multiracial' tanpa mengira kaum dan agama. Laungan DAP ini
mendapat tempat di hati orang Melayu dan parti ini telah mendapat
sokongan Melayu yang agak menular.
Sekarang tarikh pilihanraya telah pun di tetapkan oleh SPR dan
pengundian akan dilakukan oleh 13.5 juta rakyat yang layak mengundi pada
5hb Mei yang akan datang ini. Rakyat terutamanya yang masih diatas
pagar akan menentukan siapa yang menang dan kalah. Akhir-akhir ini saya
selalu mengingatkan, siapa yang melakukan kesilapan akan menerima padah
yang besar, kerana kekuatan kedua-dua belah pihak adalah seimbang.
Saya mendapat reaksi yang besar melalui email yang saya terima setiap
hari. Kebanyakan mereka menanyakan soalan yang saya amat sulit untuk
menjawabnya. Soalan-soalan itu datang dari serata tempat dalam negara
ini yang terdiri dari mereka yang berbilang kaum.
Persoalan yang popular ada dua. Pertamanya adakah wajar kita memberikan
UMNO dan BN sekali lagi untuk mentadbir negara. Soalan itu mudah saya
jawab kerana saya selalu menulis tentang perlunya BN di tundukkan kali
ini.
Persoalan yang kedua yang selalu saya terima ialah betulkah Pakatan
Rakyat melaksanakan janji-janji politiknya. Tidak ada siapa yang
mempersoalkan PAS kerana rata-rata nampaknya menerima PAS sebagai parti
‘alternative’ yang terbaik bagi rakyat kecuali penyokong tegar UMNO yang
menyokong parti tanpa soal itu.
Yang terbanyak soalan yang saya terima ialah kenapa DAP masih
memaparkan imej sebagai parti Cina kerana penampilan calon Melayu yang
‘negligible’ dalam senarai calon-calon mereka dalam pilihanraya ini.
Adakah DAP sudah merasakan ia sudah kuat dan tidak memerlukan sokongan
Melayu lagi? Satu lagi persoalan besar ialah soalan yang berkait dengan
PKR.
PKR di persoalkan kredibilitinya sebagai sebuah parti yang baik kerana
terlalu banyak percakaran diantara pimpinan mereka di setiap peringkat
itu.
Soalan-soalan inilah yang perlu mendapat jawapan dari DAP dan PKR dalam
menghadapi pilihanraya ini. Jika DAP dan PKR merasakan soalan ini tidak
perlu di jawab tidak mengapa. Biarkan sahaja soalan itu tidak berjawab.
Kadangkala jika satu-satu soalan itu payah untuk dijawab, elok
diabaikan sahaja soalan-soalan itu dan biarkan mereka yang diatas pagar
itu membuat penilaian mereka sendiri. Kalau hendak dijawab nanti,
terpaksa pula menambah janji-janji baru pula.
Mungkin ada yang tidak berkenan dengan tulisan saya ini kerana tidak menulis apa yang mereka hendak dengar. tetapi saya memohn maaf, kerana kebenaran dari sudut pandangan saya itu lebih penting untuk saya muatkan dalam posting ini.
Mungkin ada yang tidak berkenan dengan tulisan saya ini kerana tidak menulis apa yang mereka hendak dengar. tetapi saya memohn maaf, kerana kebenaran dari sudut pandangan saya itu lebih penting untuk saya muatkan dalam posting ini.
No comments:
Post a Comment