Thursday, April 25, 2013

PRU13: Najib tidak faham maksud ‘Ubah’

Oleh SHIRZAD LIFEBOAT
LOGIK pemimpin BN mudah. Disebabkan kerajaan BN membina sesuatu infrastruktur, justeru, ia prihatin dan peka terhadap aspirasi rakyat. Maka tak hairanlah ayat bertema sedemikian sudah menjadi umpan klasik Umno-BN menjelang pilihan raya umum atau pada bila-bila masa.


Dan kepada minda pemimpin BN, disebabkan kerajaan parti mereka telah berlaku baik kepada rakyat, maka rakyat tak perlu memilih parti lain untuk menggantikan BN sebagai kerajaan. ‘Dulu, kini dan selamanya’ (meminjam tagline Umno yang disadur dari sebuah iklan air berkarbonat suatu ketika dulu), BN semacam sudah tidak ada modal lain. Benar terdapat ayat lain lebih baru. Antaranya; 1Malaysia, Janji Ditepati, Rakyat Didahulukan. Namun semua ini hanyalah susunan kata-kata sedap didengar tetapi tidak membawa sebarang makna sama sekali kepada rakyat Malaysia.
Mungkin ketiadaan makna jitu inilah menyebabkan pemimpin BN dalam pra-kempen mereka telah mengulangi semula umpan klasik yang dikatakan itu.
Tanggal 14 April lalu, Najib Tun Razak mengulanginya semula. Mengambil peluang menerusi majlis rasmi kerajaan dan atas kapasiti sebagai PM (bukannya Pengerusi BN) tatkala merasmikan Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Bandar Tasik Selatan Kuala Lumpur, beliau berkata kerajaan sedia ada telah terbukti dapat menunaikan segala aspirasi rakyat dan untuk itu rakyat perlu berfikir secara rasional dan bertanya kepada diri sendiri bagi menentukan nasib mereka dan negara pada PRU13 pada 5 Mei ini.
Tidaklah perlu kita mengulas darjah kerasionalan Najib yang secara tidak langsung menghukum rakyat yang tidak menyokong BN tetapi sebaliknya bakal memberikan undi kepada PAS, DAP dan KeADILan sebagai tidak berfikiran rasional kerana hal ini terkeluar daripada skop perbincangan tulisan ini.
Untuk itu, Najib berkata: “Ada pihak tertarik dengan perkataan ‘ubah’, seolah-olah apa yang penting adalah untuk mengubah daripada apa yang mereka ada pada hari ini, tetapi sebaliknya yang penting bukanlah yang mengubah sedia ada pada hari ini tetapi keberhasilannya.”

Nampaknya, seperti kebanyakan pemimpin BN, Najib juga tidak faham apakah perubahan sebenarnya yang dimahukan oleh rakyat.
Memanglah betul BN buat pelbagai infrastruktur untuk kemudahan rakyat. Tak perlulah Najib membuat lawak bodoh dengan mengatakan bayangkan Malaysia tanpa KLIA, tanpa Putrajaya dan sebagainya. Negara paling miskin pun ada lapangan terbang antarabangsa, ada pusat pentadbiran kerajaan, ada terminal pengangkutan awam. Bezanya cuma canggih tidak canggih, cantik tak cantik dan mahal tidak mahal.
Hakikat kerajaan BN dari sejak Merdeka telah membina sekecil longkang tepi jalan dan semega pusat pentadbiran Putrajaya semua orang tahu. Tak payahlah nak diulang-ulang untuk kempen pilihan raya umum. Di mana negara sekalipun, kerajaan pemerintah bertanggungjawab membina prasarana dan kemudahan untuk rakyat.
Bezanya di negara berdemokrasi yang lebih maju, segala aspek pembinaan infrastruktur dilakukan dengan cara berkhemah, mematuhi pelbagai undang-undang bersabit kewangan dan tender serta tidak ada mana-mana ahli politik kerajaan terbabit menerima sebarang bentuk komisyen, hadiah atau apa sahaja habuan daripada kontraktor yang diberikan sesuatu projek (berdasarkan kemampuan dan prestasi kerja kontraktor berkenaan di masa lalu dan bukan disebabkan pertalian peribadinya dengan mana-mana ahli politik kerajaan).
Namun, amalan di Malaysia yang ditadbir oleh BN adalah berbeza. Kontrak bagi projek mega tidak ditenderkan secara terbuka.
Sejak pentadbiran Dr Mahathir Mohamad selaku PM, kontrak kelas ini diberikan secara langsung melalui apa yang disebutkan sebagai negotiated contract.
Tidak jelas apakah bentuk tawar menawar dalam pemberian tender yang sebenarnya bercanggah dengan undang-undang kewangan sebelum era Dr Mahathir. Kalau sekadar mahukan harga termurah serta berpatutan dan memastikan kontraktor terpilih berkemampuan menyiapkan kerja dalam masa ditentukan, sistem tender terbuka yang diguna pakai sejak dulu sudah terbukti sempurna untuk tujuan berkenaan.
Mungkin apa yang mahu ditentu dan dimuktamadkan dalam negotiated contract ini ialah tawar menawar mengenai banyak manakah wang yang sepatutnya dibayar semula kepada ahli politik sekiranya kerajaan memberikan sesuatu projek kepada sesuatu pihak dengan gandaan kos yang telah ditentukan oleh kerajaan.
Oleh kerana negotiated contract ini telah menjadi amalan kerajaan BN sejak diperkenalkan oleh Dr Mahathir dan mengakibatkan pembaziran serta lesapnya dana awam, menjadikan Malaysia sebagai hab rasuah yang hampir mustahil untuk dibendung, dan menafikan dana yang sepatutnya dipergunakan untuk kepentingan rakyat, maka itulah antara sebab mengapa rakyat Malaysia mahukan perubahan.
Justeru, maksud ‘ubah’ bukanlah mengubah dari apa yang mereka ada hari ini supaya ia menjadi tiada. Ini bukannya iklan biskut sekejap ada sekejap tak ada. Tentulah tak logik di bawah BN rakyat Malaysia mempunyai Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur tetapi sekiranya Pakatan Rakyat berkuasa maka rakyat mahukan kerajaan baru merobohkan bangunan terminal dan menjadikan landasannya sebagai tempat bersolat hajat meminta hujan.
Oleh itu, kalau maksud ‘ubah’ yang semudah ini dan sebagaimana dimaksudkan oleh rakyat sukar untuk difahami oleh Najib, maka apakah beliau sebenarnya layak menjadi pemimpin utama negara.
Lain yang dimaksudkan oleh rakyat, lain pula yang difahami Najib.
Begitupun Najib tidak keseorangan. Hampir kesemua pemimpin BN mengalami sindrom tidak memahami apa yang rakyat mahu. Ini satu sindrom amat bahaya untuk negara. Buktinya, awal-awal lagi Najib menganggap rakyat yang tidak menyokong BN sebagai tidak berfikiran rasional.
Oleh itu, sebelum sindrom ini menjadi parah dan menular ke seluruh negara dan merentas sempadan masa, lebih baik sahaja kita membuat perubahan.
Andai kata Najib membaca tulisan ini dan tidak faham, maksud perubahan di sini ialah mengubah parti yang memerintah kerajaan kepada parti lain.

No comments: