Tuesday, April 30, 2013

PRU13: Buktikan slogan ‘PAS For All’ jadi kenyataan

Setelah Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) ditubuhkan secara rasmi buat pertama kalinya akan bertanding dalam PRU13. Slogan “PAS Untuk Semua” benarbenar menjadi realiti. DHPP mempunyai peranan tersendiri bagi menarik golongan bukan Islam menerima PAS dan menyemarakkan perjuangan menegakkan Islam di tanah air.

Ikuti pandangan Ketua DHPP Pusat, Hu Phang Chaw ketika ditemubual oleh wartawan kanan AZIZ MUDA pada 14 April lalu.
HARAKAH: Bagaimana pandangan saudara setelah DHPP diterima oleh PAS dan kaitannya dengan slogan “PAS For All”?
HU PHANG CHAW: Setakat ini kita cukup berpuas hati dengan perkembangan yang berlaku. DHPP telah punyai calonnya untuk mewakili PAS pada PRU13. Setelah DHPP diiktiraf PAS, dapatlah kami memainkan peranannya dengan lebih berkesan bagi membantu PAS dalam perjuangannya untuk menegakkan Islam sebagai ad-deen di negara kita.
Penerimaan PAS terhadap DHPP sebagai sayap parti sesuai dengan keadaan politik semasa di negara kita.
Ini menggambarkan PAS sememangnya mengamalkan strategi politik yang sihat. Ini juga menyebabkan BN tidak mempunyai modal dan ruang untuk menghentam PAS lagi.
PAS sememangnya untuk semua kaum di negara ini. PAS juga turut diwakili semua kaum yang turut bertanding dalam pilihanraya termasuk bagi PRU13. Slogan “PAS For All” benar-benar direalisasikan oleh PAS, bukannya cakap kosong. Ini amat berbeza dengan BN.
Walaupun BN mengetengahkan slogan “1 Malaysia”, tetapi ia bercanggah dengan realiti yang dilakukan oleh mereka dalam negara kita.
Slogan BN hanya janji kosong....
BN juga hanya membuat janji kosong kepada rakyat kerana banyak janji mereka itu tidak pun dilaksanakan oleh BN. Ini berbeza dengan PAS. Apabila PAS berjanji, PAS akan tunaikan segala janjinya. Ini termasuklah janji PAS untuk semua yang turut dijelmakan oleh PAS dengan penubuhan DHPP dan kemudian ada wakil DHPP pula yang turut bertanding bagi pihak PAS.
Calon-calon DHPP bagi PRU13...

DHPP akan mempunyai calon untuk bertanding di salah satu kerusi Parlimen di Johor dan satu kerusi Dun di Johor. DHPP juga akan turut bertanding bagi satu kerusi Dun di Melaka.
Selain itu, DHPP akan turut bertanding bagi satu kerusi Parlimen di Sabah dan satu kerusi Parlimen di Sarawak.
Calon DHPP yang akan bertanding di kerusi Parlimen di Johor itu adalah saya sendiri, iaitu bagi kerusi Parlimen Ayer Hitam. Manakala calon DHPP yang akan bertanding di salah satu kerusi Dun di Johor itu adalah Kumutha Rahman yang akan bertanding di Dun Ulu Tiram. Ini telah diumumkan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat di satu majlis di Johor semalam (13 April 2013).
Pengumuman mengenai calon DHPP yang akan bertanding di salah satu kerusi Dun di Melaka dibuat oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu pada malam ini (14 April 2013). Calon DHPP yang akan bertanding di salah satu kerusi Dun di Melaka itu ialah Richard Wong yang akan bertanding di kerusi Dun Asahan.
Dokongan bukan Islam terhadap DHPP dan PAS sekarang?
Sambutan orang ramai khususnya yang bukan Islam terhadap DHPP memang cukup baik. Mereka memuji langkah PAS menubuhkan DHPP.
Pada mereka, ini merupakan salah satu langkah yang cukup bijak daripada PAS. Dengan penubuhan DHPP, PAS menjadi lebih mudah mendekati mereka yang bukan Islam termasuk daripada masyarakat Cina.
Sekarang dengan penubuhan DHPP, sokongan masyarakat Cina di negara kita keseluruhannya terhadap PAS telah meningkat kepada 70 hingga 80 peratus. Masalahnya sekarang hanyalah bagi masyarakat Melayu yang masih belum mahu berubah untuk menukarkan BN kepada PAS dan Pakatan Rakyat.
Macam mana sokongan kepimpinan PAS terhadap DHPP?
Sokongan kepimpinan PAS terhadap DHPP memang cukup baik. Kalau kepimpinan PAS sendiri tidak menyokong DHPP, takkanlah DHPP boleh ditubuhkan? Pada kami, penubuhan DHPP ini adalah satu amanah PAS kepada kami.
Jadi, saya mesti memikul tanggungjawab ini dengan baik, bagi membantu PAS dalam segala sudut, termasuk untuk membantu PAS dari segi perjuangannya dan membantu PAS mencapai kejayaan dalam PRU13 kali ini.
Apakah sasaran DHPP dalam PRU13?
Sasaran DHPP dalam PRU13 adalah untuk memastikan PAS menang dalam setiap kerusi yang ditandingi. Jadi, setiap kita dalam PAS mesti berkerja keras untuk membantu parti mencapai kejayaan yang kita harapkan itu. Dengan perkembangan yang berlaku sekarang yang semakin memihak kepada PAS dan Pakatan Rakyat, kita yakin Pakatan Rakyat akan dapat menguasai Putrajaya pada PRU13.
Namun, kita tidak boleh berpuas hati dengan apa yang berlaku. Kita mesti terus berusaha supaya kita benarbenar dapat menawan Putrajaya.
DHPP berharap agar Pakatan Rakyat akan berhadap dengan BN secara satu lawan satu, manakala Pakatan Rakyat pula mendapat undi yang lebih. Itulah sasaran DHPP.

No comments: