Thursday, February 28, 2013

Altantuya : Bala Mengaku SD1 Benar, Batalkan Selepas Diugut Adik TPM

Scorpene najib altantuya razak baginda
KUALA LUMPUR, 28 FEB: Penyiasat persendirian, P. Balasubramaniam hari ini mengakui akuan bersumpah pertama (SD) beliau yang didedahkan pada 3 Julai 2008 tentang pembunuhan model sambilan Altantuya Shaariibu merupakan satu pengakuan yang benar.
Bagaimanapun menurut Balasubramaniam beliau dipaksa membatalkan SD pertama dengan membuat SD kedua keesokkan harinya apabila beliau diugut oleh seorang lelaki yang mendakwa beliau Nazim Razak, iaitu adik kepada Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.

Ugutan itu berlaku dalam satu pertemuan dengan Nazim yang diaturkan oleh ahli perniagaan, Deepak Jaikishan di The Curve, Damansara pada malam hari selepas beliau mendedahkan SD pertama.
Balasubramaniam berkata demikian dalam program pendedahan ‘Siapa Bunuh Altantuya?’ yang diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur di sini.
“Dia (Nazim) hanya cakap tiga ayat sahaja, adakah anda orangnya? Saya jawab, ya.
“Adakah anda sayang keluarga anda? Saya jawab ya dan dia menyambung, jika anda sayang keluarga anda, ikut sahaja arahan Deepak,” kata Balasubramaniam dihadapan kira-kira lebih 2,000 orang malam tadi.
Pada masa sama Balasubramaniam mendakwa beliau diberitahu isterinya melalui panggilan telefon terdapat beberapa orang yang tidak dikenali berada di sekitar kawasan kediaman mereka.
Balasubramaniam juga difahamkan oleh Deepak, anggota perisikan tentera turut berada di kawasan rumahnya bagi memantau pergerakan beliau dan keluarganya.
“Saya menyuruh isteri saya tutup pintu dan jangan keluar rumah sehingga saya balik,” kata beliau lagi.
Menurut Balasubramaniam, selepas beliau membuat SD kedua, beliau dan keluarga bersembunyi sebelum dibawa ke Lapangan Terbang Changi, Singapura dan diterbangkan ke Bangkok, Kathmandu, New Delhi dan akhir sekali di Chennai, India.

Balasubramaniam pulang selepas empat tahun meninggalkan negara, pada Ahad lalu bagi membantu Pakatan Rakyat tetang pembunuhan Altantuya pada 2006.
Dua anggota polis dari Unit Tindakan Khas telah dijatuhkan hukuman mati setelah didapati bersalah di dalam kes tersebut.
Kes itu mendapat perhatian awam setelah ia membabitkan seorang pegawai kanan Najib ketika itu, Abdul Razak Baginda yang turut dituduh.
Bagaimanapun, Abdul Razak dibebas daripada tuduhan.

No comments: